DARI kiri: Soon Huat, Shevon, Caroline dan Candra ketika menjamu selera. Foto Instagram shevonlai
DARI kiri: Soon Huat, Shevon, Caroline dan Candra ketika menjamu selera. Foto Instagram shevonlai
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Sebelum menyertai Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai sempat berlatih selama seminggu di bawah kendalian bekas jaguh beregu dunia Candra Wijaya dari Indonesia.

"Meninggalkan Bali dengan memori yang hebat! Sebulan di sini dengan terlalu banyak pengalaman... tiga minggu kejohanan dan seminggu berlatih bersama jurulatih Candra Wijaya @cwibc1.

"Terima kasih tidak terhingga kepada jurulatih dan isteri Caroline kerana memberi tunjuk ajar, motivasi, menjaga kami dengan baik dan bertemu orang baharu! Kami belajar sesuatu yang 'sukar' dalam tempoh beberapa minggu terakhir selain berseronok di Bali," tulis Shevon dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

"Kini kami akan menuju ke Kejohanan Dunia di Sepanyol, perhentian terakhir kami bagi 2021," katanya.

Susulan berita perpisahan beregu veteran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Soon Huat-Shevon kini beregu campuran terbaik negara ketika ini kerana mereka berada di ranking ke-14 dunia.

Bagaimanapun tempoh tiga minggu di Bali tidak begitu menggembirakan buat pasangan kekasih itu yang tewas pada pusingan kedua Masters Indonesia (kalah kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong) dan pusingan pertama Terbuka Indonesia (tewas kepada pasangan senegara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing).

Mereka tidak layak ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF juga di Bali walaupun pada Januari lalu, mereka melakar catatan terbaik tahun ini apabila mara ke separuh akhir kejohanan sama di Bangkok (tewas kepada beregu Korea Selatan, Seo Seungjae-Chae Yujung).

Selain itu, Soon Huat-Shevon layak ke suku akhir Terbuka Switzerland (Mac) dan Terbuka Perancis (Oktober).

Di Kuala Lumpur mereka menjalani latihan di bawah tunjuk ajar bekas pemain beregu negara Chin Eei Hui namun menerusi perjanjian dengan penaja, mereka akan dilatih dan diselia Candra, yang mempunyai akademi badminton di Jakarta, jika mereka bertanding di Indonesia.

Pada Kejohanan Dunia bermula Ahad ini, beregu itu bertuah kerana mendapat 'bye' pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:34 PM