DEVAN akan menguji empat pemain import dari Brazil, Argentina, Senegal dan Vietnam
DEVAN akan menguji empat pemain import dari Brazil, Argentina, Senegal dan Vietnam
Mohd Amin Jalil


BIARPUN setakat ini sudah menguji tiga pemain import sepanjang bulan lalu, namun pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) belum menemui pemain yang dicari dalam usaha membuat persiapan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sehubungan itu, ketua jurulatihnya, K Devan berkata, pihaknya akan menguji empat lagi pemain import masing-masing dari Brazil, Argentina, Senegal dan Vietnam pada sepanjang sesi latihan minggu ini di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengambil tiga lagi pemain import bagi melengkapkan kuota empat pemain selepas mengekalkan penyerang import musim lalu dari Liberia, Kpah Sean Sherman.

“Saya akan menguji empat pemain import sepanjang latihan minggu ini sebaik mereka tiba di negara ini dan kita memerlukan tiga lagi pemain berkenaan bagi mengisi kuota yang diperlukan masing-masing di posisi pertahanan, tengah dan penyerang.

“Saya dan pengurusan pasukan juga sudah menyaksikan persembahan pemain terbabit menerusi video serta peneliti prestasi semasa mereka ketika masing-masing beraksi dengan pasukan terakhir sebelum ini.

“Saya berharap keempat-empat pemain berkenaan dapat menunjukkan prestasi sebenar sepanjang ujian itu nanti dan jika menepati kriteria diperlukan pasukan, kita akan menawarkan kontrak kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam saingan Liga Perdana musim 2017, MISC-MIFA berjaya memberikan saingan sengit walaupun ia penyertaan musim pertama mereka menyertai liga tempatan kedua itu dan sekadar menamatkan saingan di tangga ke-10 carta liga.

Devan berkata, walaupun pihaknya terpaksa menunggu sedikit masa bagi mendapatkan khidmat pemain import selepas berjaya mengunmpulkan pemain sejak awal Disember lalu, tatkala saingan Liga-M 2018 bakal membuka tirainya sebulan lagi namun ia tidak menjejaskan perancangan latihan yang disusun.

Malah, pengendali berpengalaman yang sebelum ini memegang jawatan selaku Pengarah Teknikal pasukan berkenaan, juga berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan dua lagi pemain tempatan berpengalaman bagi melengkapkan senarai 23 pemain sedia ada yang majoritinya tenaga muda bawah 26 tahun.

Bekas ketua jurulatih Negeri Sembilan itu berkata, beliau juga sudah menyusun program latihan khusus bagi pemain baharu yang akan menyertai pasukan itu, supaya mereka dapat menyelami taktikal dan corak persembahan yang cuba diterapkan.

“Bagi memastikan prestasi pasukan berada di tahap memuaskan, kami juga sudah menyusun beberapa aksi persahabatan yang akan diadakan sepanjang bulan ini iaitu membabitkan pertemuan dengan Selangor, PKNP FC, Perak, FELDA United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Apa pun, usaha membentuk pasukan mantap tampak berjalan lancar, malah kekuatan yang ditampilkan kali ini diyakini lebih baik berbanding musim lalu.

“Hasrat utama kami ialah tidak mahu tampil sebagai pelengkap saingan Liga-M 2018, sebaliknya mahu menjadi antara pencabar terkuat saingan itu dan seterusnya dapat meraih pencapaian lebih baik berbanding musim lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 3:11 PM