PERLAWANAN liga premier antara MISC-MIFA dan Perlis. Foto file
PERLAWANAN liga premier antara MISC-MIFA dan Perlis. Foto file
Mohd Amin Jalil


TRIO berpengalaman menjadi antara tunjang utama kekuatan MISC-MIFA dalam memberikan saingan sengit pada kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengurus pasukan Y Rajendran berkata, trio itu adalah bekas pemain Kelantan, S Subramaniam, bekas pemain Perak, Wan Syukri Wan Ahmad dan bekas pemain PKNS FC, P Rajesh.

“Tiga pemain ini mempunyai pengalaman luas dalam liga tempatan, malah mereka bekas pemain yang beraksi dalam Liga Super musim lalu.

“Mereka boleh dianggap sebagai tonggak utama pasukan dan saya yakin dengan kemampuan serta pengalaman mereka, mampu membantu memperkasakan lagi kekuatan MISC-MIFA untuk memberi saingan terbaik dalam Liga Perdana musim ini.

“Saya harap pemain berpengalaman seperti ini dapat memainkan peranan berkesan dalam menjana kekuatan pasukan dan seterusnya memastikan kejayaan MISC-MIFA,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MISC-MIFA antara pasukan yang berjaya memberikan saingan dalam Liga Perdana musim lalu dan biarpun sebahagian besar pemain muda, namun pasukan itu berjaya memperagakan kekuatan tersendiri hingga berjaya kekal dalam liga divisyen dua itu.

Musim ini, MISC-MIFA dibimbing jurulatih berpengalaman, K Devan, yang mempunyai sasaran tersendiri untuk meletakkan pasukan itu selaku pencabar terkuat dalam liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 3:22 PM