SHERMAN (tengah) kekal bersama MISC-MIFA buat semusim lagi. -Foto fail
SHERMAN (tengah) kekal bersama MISC-MIFA buat semusim lagi. -Foto fail
Mohd Amin Jalil


PASUKAN Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) mengekalkan penyerang import dari Liberia, Kpah Sean Sherman untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua jurulatihnya, K Devan berkata, Sherman, 25, menjadi satu-satunya pemain import musim lalu yang dikekalkan dan beliau berharap dapat mencari empat lagi import bagi melengkapkan kuota.

“Kami sedang menguji lebih empat pemain dan menilai prestasi mereka sebelum ditawarkan kontrak kerana kita tidak mahu tersalah pilih yang akhirnya tidak membantu kepada kejayaan pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Devan berkata, setakat ini beliau sudah mempunyai senarai 23 pemain tempatan yang majoritinya tenaga muda bawah 25 tahun dan hanya memerlukan dua lagi pemain untuk mengisi posisi penjaga gol dan penyerang.

“Justeru, kita masih membuka pintu kepada pemain muda yang berminat untuk menyarung jersi pasukan dan jika kita gagal mendapatkannya, mungkin kita akan meminjam daripada mana-mana pasukan,” katanya dihubungi, hari ini.

Bekas pengendali Negeri Sembilan itu berkata, pasukan kendaliannya sudah memulakan latihan sejak Isnin lalu dan sedang mengatur tiga aksi persahabatan bermula minggu depan untuk menguji kombinasi dan kecergasan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:55 PM