K DEVAN yakin skuad kendaliannya itu mampu mempamerkan kebangkitan. FOTO Owee Ah Chun
K DEVAN yakin skuad kendaliannya itu mampu mempamerkan kebangkitan. FOTO Owee Ah Chun
Mohd Amin Jalil


KETUA jurulatih PJ City FC, K Devan yakin skuad kendaliannya itu mampu mempamerkan kebangkitan apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bersambung semula pada awal September depan.

Walaupun cabaran selepas ini dirasakan lebih getir kerana perubahan format perlawanan kepada satu pusingan tanpa penonton, namun beliau yakin dan percaya hasratnya untuk melihat kebangkitan pasukan itu boleh dilakukan.

Pengendali berpengalaman itu berkata, selain boleh memanfaatkan semua pemain utama yang dimiliki apabila beberapa pemain terbabit yang cedera kini kembali pulih, format perlawanan satu pusingan juga boleh membawa tuah kepada pasukan itu.

"Format perlawanan satu pusingan sememangnya mencabar kerana pasukan tidak berpeluang untuk memperbaiki atau memperbetulkan sebarang kesilapan atau kekurangan.

"Pemain juga perlu turun dalam setiap perlawanan dengan komitmen melebihi 100 peratus dan perlu pastikan kutipan mata tertinggi diperolehi menerusi perlawanan itu.

"Malah, kita juga sedar bakal berhadapan jadual perlawanan yang padat setiap minggu, tetapi saya yakin dan percaya, pemain PJ City mampu hadapinya dengan baik dan peluang kami untuk bangkit memburu kemenangan dan kejayaan boleh dicapai," katanya ketika di sini hari ini.

Devan yang memasuki musim ketiga mengendalikan skuad berkenaan yang dulunya dikenali sebagai MISC-MIFA berkata, pihaknya sedang merangka perancangan terperinci bagi mempersiapkan pasukan terutama aspek kecergasan fizikal dan mental pemain.

Menurutnya, walaupun ketika ini pemain hanya menjalani latihan kecergasan di rumah masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi pihaknya berpuas hati dengan komitmen mereka yang mematuhi arahan diberikan.

"Saya berharap dapat memulakan latihan penuh secepat mungkin supaya semua pemain dapat mencapai tahap prestasi terbaik menjelang saingan itu nanti. Namun kita kena tunggu perkembangan dan kebenaran daripada pihak berkuasa," katanya.

Mengenai jadual perlawanan, bekas pengendali Negeri Sembilan itu berkata, PJ City bakal berhadapan dengan dua perlawanan getir iaitu bertemu Selangor dan Kedah di tempat lawan.

Menurutnya, setakat ini PJ City sudah mengutip empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tewas sekali serta berada di tangga ke lapan carta.

Katanya, fokus utama pasukannya adalah tidak kecundang dalam baki lapan perlawanan liga dan seterusnya mampu menamatkan kempen Liga Super musim ini sekurang-kurangnya di tangga kelima carta.

"Itu KPI (petunjuk prestasi utama) yang kita tetapkan musim ini dan percaya sasaran itu boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak dalam pasukan," katanya turut menyambut baik cadangan Liga Bolasepak Malaysia

(MFL) untuk meneruskan saingan Liga M musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:42 PM