RAZMAN (kanan) tekad tingkat persefahaman dengan rakan sepasukan.
RAZMAN (kanan) tekad tingkat persefahaman dengan rakan sepasukan.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Keyakinan mengemudi benteng pertahanan sudah mula wujud dalam diri kapten Tok Gajah Razman Roslan selepas mempamerkan persembahan terbaik pada saingan Piala FA menentang MISC-MIFA di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Berdepan episod ngeri apabila kediamannya ditembak dua minggu lalu ternyata menyentak tumpuan pemain itu hingga memaksa jurulatih, Zainal Abidin Hassan merehatkanya.

“Alhamdulilah...keyakinan saya kini semakin bertambah untuk beraksi bersama pasukan Pahang dan ujian pertama bertemu kelab MISC-MIFA kelmarin menjadi pentas penilaian kepada jurulatih dan pengurusan pasukan.

“Walaupun perasaan berdebar masih lagi ada, namun dengan sokongan keluarga, peminat, jurulatih dan rakan sepasukan saya kuatkan semangat dan berserah sepenuhnya kepada Yang Maha Esa untuk membantu,” katanya.

Razman berkata, dia akan berusaha melupakan sejarah hitam dilalui bagi memberi peluang kepadanya fokus kepada aksi bersama pasukan Tok Gajah pada saingan Liga Super, Piala FA dan Piala AFC.

Menurutnya, dia akan memperbaiki beberapa kelemahan yang ada dalam usaha memastikan peluang berada dalam kesebelasan utama tidak terus terlepas disebabkan kesilapan sendiri.

Katanya, tidak dinafikan persefahaman yang sedikit longgar dengan rakan sepasukan terutama dengan Damion Stewart dapat dilihat pada perlawanan dengan MISC-MIFA, kelmarin hingga hampir menutup peluang Pahang ke suku akhir Piala FA.

“Saya berjanji untuk memperbaiki setiap kelemahan seterusnya melupakan kisah lalu sebaliknya memberi sepenuh tumpuan kepada aksi bersama pasukan sepanjang musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:48 AM