KIAN Meng (kiri) dan Pei Jing gigih berlatih bagi menghadapi Terbuka Denmark. FOTO/OWEE AH CHUN.
KIAN Meng (kiri) dan Pei Jing gigih berlatih bagi menghadapi Terbuka Denmark. FOTO/OWEE AH CHUN.
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng mahu menjadikan saingan Terbuka Denmark yang bermula hari ini sebagai medan menebus kekecewaan selepas dia dan pasangannya, Lai Pei Jing beraksi hambar dalam dua kejohanan terakhir sebelum ini.

Memegang status sebagai beregu campuran utama negara, Kian Meng mengaku sukar untuk dia dan Pei Jing lari daripada tekanan dan ia faktor utama kemerosotan prestasi mereka dalam dua kejohanan sebelum ini - Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Jepun.

Di Korea, Kian Meng-Pei Jing ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua manakala mereka tersingkir seawal pusingan pertama di Jepun.

Kian Meng-Pei Jing mengambil alih status beregu campuran utama negara selepas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2017, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa dipisahkan susulan pembedahan bahu yang dijalani Liu Ying, Mei lalu.

“Dalam tempoh dua minggu ini memang saya fokus untuk memperkuatkan mental agar kami tidak lagi beraksi dalam keadaan tertekan.

“Dua kejohanan sebelum ini kami tidak bermain dengan baik disebabkan tekanan. Saya akui kami perlu lebih banyak pengalaman untuk belajar cara mengatasi tekanan.

“Jadi, saingan Terbuka Denmark kali ini kami akan cuba untuk tebus kegagalan kami. Kuncinya kami perlu turun ke gelanggang dan menikmati setiap perlawanan tanpa fikir perkara lain... kami perlu lebih positif,” kata Kian Meng.

Pasangan ke-10 dunia itu akan membuka tirai saingan Terbuka Denmark menentang gandingan Korea Selatan, Seung Jae Seo-Kim Ha Na di pusingan pertama.

Cabaran utama buat Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh dijangka hadir di suku akhir yang menyaksikan mereka kemungkinan besar berdepan pilihan utama, Zheng Siwei-Chen Qingchen dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 3:42 PM