KIAN Meng (kanan) dan Pei Jing giat menjalani latihan.
KIAN Meng (kanan) dan Pei Jing giat menjalani latihan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hapuskan segera masalah besar. Itu yang dimahukan Ketua Jurulatih Beregu Campuran Negara, Chin Eei Hui kepada anak buahnya, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjelang Terbuka Denmark dan Perancis bulan ini.

Menurutnya, Kian Meng-Pei Jing sudah mula rasa tertekan apabila di atas kertas, mereka boleh dilabel sebagai pasangan utama negara dan menduduki ranking ke-10 dunia.

“Harapan yang tinggi diletakkan ke atas mereka dan dalam masa sama mereka tidak boleh mengawalnya dengan baik. Mereka rasa mahu menang setiap perlawanan tapi tidak tahu bagaimana untuk mengawal tekanan. Permainan mereka pun jadi tidak seperti biasa apabila terlalu fikir hendak memberikan yang terbaik,” katanya kepada Arena Metro ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Jelas Eei Hui, beliau mengharapkan Kian Meng-Pei Jing boleh kembali beraksi dengan permainan sebenar menjelang Terbuka Denmark dan Perancis.

“Saya tidak mahu mereka berlatih dengan memberi komitmen 90 peratus, tapi bila di kejohanan hanya bagi tiga peratus. Harap mereka kembali pada tahap sebenar. Memang jika sebut soal mental ia susah dijangka, hanya pemain itu sendiri saja boleh mengatasinya namun saya mahu mereka perbaikinya segera.

“Berdasarkan ranking, mereka adalah pasangan nombor satu negara. Bagaimanapun, saya melayan semua pasangan sama saja kecuali Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang saya lihat masih lagi gandingan terbaik negara,” kata bekas pemain beregu wanita itu.

Ujarnya, mereka sekarang ini meneruskan misi jangka panjang dan pendek, apabila memisahkan Peng Soon-Liu Ying untuk digandingkan bersama pemain muda.

“Kita masih mempunyai masa empat tahun menjelang 2020 (Sukan Olimpik Jepun). Jadi tempoh yang ada ini adalah untuk memperkasakan pemain remaja dan senior. Kita memang sentiasa mempunyai perancangan kepada mereka,” katanya.

Di Terbuka Denmark yang berlangsung 17 hingga 22 Oktober ini, Kian Meng-Pei Jing akan berdepan Seung Jae Seo-Kim Ha Na dari Korea Selatan di pusingan pertama manakala di Terbuka Perancis (24 hingga 29 Oktober) mereka harus melepasi halangan Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul (Thailand) untuk mara ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:05 AM