KIAN Meng (atas) tekad layakkan diri ke Tokyo 2020.
KIAN Meng (atas) tekad layakkan diri ke Tokyo 2020.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: “Banyak yang saya belajar dan rasa tercabar di Olimpik Rio,” kata pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng yang dibawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke Brazil sebagai rakan sepelatih.

Menurut Kian Meng, walaupun hanya menjadi watak tambahan kepada pemain negara yang beraksi di temasya itu, dia berasa sangat bertuah kerana memperoleh sesuatu ketika berada di negara itu.

“Saya rasa banyak yang dipelajari di sana, terutama semangat melawan pemain negara kita dan fokus mereka sebelum dan ketika perlawanan,” kata Kian Meng yang berpasangan dengan Pei Jing dalam acara beregu campuran.

Jelasnya, walaupun hadir sebagai rakan sepelatih, Kian Meng dapat melihat sendiri bukan hanya pemain negara malah beberapa atlet lain dari pelbagai negara melakukan persiapan di temasya paling terulung dunia itu.

“Satu lagi rasa sangat bersemangat apabila Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya mara ke perlawanan akhir dan membawa pulang perak. Saya harap boleh mengikut jejak langkah mereka selepas ini,” kata Kian Meng.

Kejayaan bersejarah dicatatkan Peng Soon-Liu Ying itu memberi satu cabaran besar buat beregu campuran kedua negara, Kian Meng-Pei Jing untuk cuba memahat nama di Olimpik 2020 Tokyo.

“Bagi Tokyo 2020, jika mahu melayakkan diri kami perlu bekerja keras dari sekarang,” kata pemain kelahiran Pontian itu.

Bagaimanapun, Kian Meng-Pei Jing mempunyai misi penting di peringkat domestik apabila mahu merangkul kejuaraan kali kedua berturut-turut di Sirkit Kebangsaan Terbuka Kedah (24-28 Ogos).

“Harap kami boleh mara ke perlawanan akhir terlebih dulu, memang sasaran kami untuk muncul juara. Bagaimanapun kami tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 10:01 AM