SPIETH teruja beraksi Kejuaraan BMW.
SPIETH teruja beraksi Kejuaraan BMW.
AFP

CHICAGO, Amerika Syarikat: Dua kali muncul naib juara pada siri playoff Piala FedEx dalam Jelajah PGA AS menyebabkan Jordan Spieth teruja untuk melakar kemenangan pada Kejuaraan BMW minggu ini.

Kejohanan ketiga playoff itu bermula awal pagi esok di Conway Farms berdekatan Chicago.

Dua penamat tangga kedua dalam dua kejohanan pertama siri empat kejohanan itu membantu Spieth mengungguli kedudukan playoff - dengan pemenang siri selepas Kejuaraan Jelajah menjulang Piala FedEx dan bonus AS$10 juta (RM42 juta).

“Amat teruja,” kata Spieth awal pagi tadi. “Saya berada di posisi hebat, dalam laluan baik untuk kekal di tangga nombor satu. Piala FedEx satu pencapaian mengagumkan, sesuatu yang saya idamkan selama ini.”

Pada usia 24 tahun, Spieth sudah menjuarai Piala FedEx 2015 di samping tiga kejuaraan utama - terbaru pada Terbuka British tahun ini.

Rakannya yang turut berusia 24 tahun, Justin Thomas, yang merangkul kejuaraan utama sulungnya pada Kejuaraan PGA Ogos lalu, mengalahkan Spieth bagi memenangi Kejuaraan Dell di Massachusetts dua minggu lalu dan hadir di Conway Farms di tangga kedua dalam kedudukan ranking, 27 mata di belakang Spieth.

Pemain nombor satu dunia Dustin Johnson yang menewaskan Spieth menerusi penentuan playoff di Northern Trust, kejohanan pertama playoff Ogos lalu, mengakui bersaing dengan pemain seperti Spieth dan Thomas serta Hideki Matsuyama, 25, dan pemain Sepanyol, Jon Rahm, 22, menyebabkan dia berasa sudah tua.

“Saya tidak katakan saya berasa tua, tapi ya sudah tentu saya yang paling tua,” kata Johnson, ketika ini di tangga ketiga kedudukan di depan Matsuyama dan Rahm.

“Mereka pemain yang amat bagus pada usia yang terlalu muda,” kata Johnson. “Saya suka menyaksikannya. Permainan ini memerlukannya dan membantu saya terus bekerja keras. Jadi saya sukakannya.”

Mana-mana pemain dalam kelompok lima teratas boleh meraih hadiah bonus dengan memenangi Kejuaraan Jelajah - dan hanya 30 pemain terbaik akan layak ke kejohanan penamat di Atlanta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:10 PM