THOMAS (tengah) meraikan kejayaan menjuarai Piala FedEx bersama  ibu dan bapanya. - Foto AFP
THOMAS (tengah) meraikan kejayaan menjuarai Piala FedEx bersama ibu dan bapanya. - Foto AFP
Reuters

TORONTO, Kanada: Kempen menakjubkan Justin Thomas membolehkannya dicalonkan bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA di samping Dustin Johnson, Hideki Matsuyama dan Jordan Spieth, menurut jelajah itu semalam.

Thomas, yang mengungguli anugerah pemain terbaik tahunan berdasarkan mata PGA Amerika selepas menjuarai Piala FedEx dan bonus AS$10 juta (RM42 juta) Ahad lalu, melakar lima kejuaraan musim ini termasuk kejayaan pada Kejuaraan PGA bagi kejuaraan utama pertamanya.

Pemain AS berusia 24 tahun itu turut menyertai Jack Nicklaus, Tiger Woods dan Spieth sebagai pemain yang menang lima kejuaraan termasuk satu kejuaraan utama dalam semusim sebelum berusia 25 tahun sejak 1960.

Pemain nombor satu dunia Johnson, yang menang anugerah itu tahun lalu, menang empat daripada 20 kejohanan disertainya termasuk kejayaan pada kejohanan lumayan Kejuaraan Mexico-WGC dan Match Play Dell Technologies-WGC.

Johnson, tiga kemenangan berturut-turutnya terencat selepas berehat kerana kecederaan belakang dialami sebelum Masters AS April lalu, menikmati lapan penamat 10 terbaik musim ini dan di tangga keempat playoff Piala FedEx.

Spieth, yang dinamakan Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA 2015, menang pada Terbuka British, yang mana dia merangkul kejuaraan utama ketiga kariernya, AT&T Pebble Beach Pro-Am dan Kejuaraan Travelers.

Pemain berasal dari Texas berusia 24 tahun itu turut mencatat 12 penamat 10 terbaik, yang menyamai rekod Thomas sepanjang musim ini. Dia juga berakhir dalam kelompok 10 teratas bagi semua empat kejohanan playoff Piala FedEx.

Pemain Jepun, Matsuyama meraih kemenangan pada kejohanan Juara-Juara HSBC-WGC, Terbuka Phoenix Waste Management dan Jemputan Bridgestone-WGC serta berakhir di tangga kelapan Piala FedEx.

Undian bagi pengiktirafan itu, dikenali sebagai Anugerah Jack Nicklaus, akan tamat pada 2 Oktober depan dengan pemenangnya akan diumumkan minggu itu.

Wesley Bryan, Patrick Cantlay, Mackenzie Hughes, Grayson Murray dan pemenang Kejuaraan Jelajah, Xander Schauffele muncul lima calon bagi anugerah Pemain Rookie Terbaik Tahunan Jelajah PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 1:51 PM