AFP

CHICAGO, Amerika Syarikat: Mark Leishman (gambar) merakam 67 pada pusingan akhir awal pagi tadi untuk melengkapkan kemenangan bergaya pada Kejuaraan BMW, mengatasi Justin Rose dan Rickie Fowler dengan lima pukulan.

Pemain Australia, Leishman menguasai acara kedua terakhir dalam siri playoff Piala FedEx Jelajah PGA AS itu dengan catatan mengagumkan 62 Khamis lalu.

Dia memulakan pusingan akhir di Conway Farms dengan mendahului lima pukulan namun dua kali dirapati perbezaan dua pukulan oleh Rose sebelum Leishman menamatkannya dengan yakin menerusi tiga birdie dalam empat lubang terakhir.

Dia menolak masuk dari jarak 19 kaki dari fringe lubang ke-72 untuk meraikan kemenangan ketiganya dalam Jelajah PGA AS dengan 23 bawah par keseluruhan 261.

Kemenangan itu wajar selepas Leishman gagal menang dua minggu lalu di TPC Boston, apabila cabarannya berakhir dengan lima bogey dalam sembilan lubang terakhir.

“Mungkin ada kesan sedikit daripada dua minggu lalu,” kata Leishman. “Saya amat berazam untuk mengelak perkara sama berulang, cuba dan memberikan tumpuan penuh bagi memastikannya berjaya. Akhirnya saya menyempurnakannya.”

Pemain England, Rose membenam tujuh birdie dan satu bogey pada lubang ke-17 sekali gus menamatkan aksi dengan 65 bagi 266.

Fowler pula membenam lima birdie untuk mengumpul empat bawah par 67 sekali gus menyertai Rose dengan 18 bawah par keseluruhan.

Leishman, yang menjuarai kejohanan Jemputan Arnold Palmer Mac lalu, melonjak ke tangga keempat kedudukan Piala FedEx menjelang kejohanan penamat musim Kejuaraan Jelajah di Atlanta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 2:55 PM