PROSES mengambil jerami padi di sawah.
PROSES mengambil jerami padi di sawah.
MADIUS (dua dari kanan) dan Nor Sabrina mendengar penerangan daripada Abdullah (kanan) cara memampatkan jerami sebelum diproses.
MADIUS (dua dari kanan) dan Nor Sabrina mendengar penerangan daripada Abdullah (kanan) cara memampatkan jerami sebelum diproses.
 JERAMI padi yang sudah diproses.
JERAMI padi yang sudah diproses.
PENGGUNA dijamin kebolehpercayaan dan keselamatan produk.
PENGGUNA dijamin kebolehpercayaan dan keselamatan produk.
TEKNOLOGI mesin yang canggih menghasilkan produk pembungkusan.
TEKNOLOGI mesin yang canggih menghasilkan produk pembungkusan.
SEBAHAGIAN produk biodegradasi yang menggunakan jerami padi.
SEBAHAGIAN produk biodegradasi yang menggunakan jerami padi.
ANTARA produk yang sudah siap untuk dieksport.
ANTARA produk yang sudah siap untuk dieksport.
 NOR Sabrina bersama peserta PPK Pendang Selatan.
NOR Sabrina bersama peserta PPK Pendang Selatan.
Mohamad Hussin


Biasanya jerami padi akan dibakar atau dibuang begitu saja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya. Malah, segelintir petani mengganggap ia sampah yang perlu dibuang.

Namun jangan terkejut jerami boleh dijadikan produk pembungkusan biodegradasi yang bernilai tinggi di Malaysia di samping menggalakkan kelestarian alam sekitar dan kemajuan teknologi hijau negara.

Oleh itu, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corp) menerusi perjanjian 10 tahun dengan syarikat berstatus BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd (FTS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan membabitkan nilai RM7.41 juta.

Bioeconomy Corp di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjalankan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) bagi meningkatkan pertumbuhan produk terbiodegradasi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, negeri itu membekalkan 40 peratus daripada keluaran beras negara dan salah satu komponen penting bagi ekonomi di Kedah.

Beliau berkata, negeri itu tidak boleh menentukan fokus kepada pengeluaran padi saja malah sektor agrikultur perlu dikembangkan dengan kekayaan alam semula jadi yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan seperti kosmeseutikal, kesihatan, pemakanan dan perindustrian.

“Projek ini dapat membantu petani meraih pendapatan tambahan dengan membekalkan jerami padi kepada syarikat untuk diproses menjadi produk pembungkusan terbiodegradasi atau mesra alam.

“Ia antara langkah terbaru yang penting dalam bidang pertanian Kedah kerana proses dalam seluruh rantaian nilai ini adalah mesra alam dan mengelakkan pencemaran udara akibat pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pertukaran dokumen perjanjian jual beli antara FTS dan PPK Pendang Selatan di Pendang, Kedah, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah Datuk Nor Sabrina Mohd Noor.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp

Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain, Pengarah FTS Hamsidi Shaharah dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Pendang Selatan Abdullah Mohamad.

Projek perjanjian itu membolehkan petani dari PPK Pendang Selatan membekalkan 57,000 tan jerami padi daripada 12 sawahnya kepada FTS.

Sementara itu, Madius berkata, teknologi FTS menggunakan tindak balas enzim dipatenkan World Intellectual Property Orgnisation (WIPO)

dan membenarkan syarikat untuk menghasilkan kira-kira 60 juta unit bahan pembungkusan setahun.

“FTS berjaya menerima pengiktirafan tempatan dan antarabangsa bagi produk terbiodegradasi seperti Winner of Waste to Wealth Award sempena Global Greentech Innovation Programme serta pensijilan SIRIM ECO 009:2016 oleh kerajaan untuk produk berasaskan biomas bagi aplikasi makanan.

“Melalui pensijilan ini, pengguna dijamin kebolehpercayaan dan keselamatan produk dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa.

“Dengan penggunaan teknologi ini, FTS mampu menukar sisa pertanian padi kepada pelbagai bentuk produk pembungkusan untuk industri makanan, penggunaan hospital dan pembungkusan barangan pembuatan,” katanya.

Mohd Shuhaizam pula berkata, industri pembungkusan terbiodegradasi berpotensi terus berkembang hasil daripada usaha yang dilaksanakan kerajaan dan negara lain dalam mengurangkan penggunaan bahan plastik dan polistirena.

“Menurut kajian Transparency Market Research, pasaran pembungkusan mesra alam global dijangka mencecah AS$177.7 bilion (RM762 bilion) pada 2018.

“Jerami padi ini diproses melalui teknologi enzim untuk menghasilkan produk pembungkusan terbiodegradasi pasaran tempatan dan eksport luar negara termasuk Belanda, Jerman dan United Kingdom,” katanya.

Seorang petani, Mat Hassan Saud, 68, dari Kampung Sungai Jagong, Pendang, berkata sebelum ini dia hanya membakar jerami kerana tidak tahu ia boleh dimanfaatkan untuk membuat pelbagai produk.

“Saya bersyukur kerana jerami padi kini dibeli syarikat untuk membuat produk pembungkusan. Ia sekali gus dapat menambah pendapatan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 2:37 PM