SEBAHAGIAN delegasi yang akan ke Kazakhstan bersama Madius (duduk tiga dari kiri).
SEBAHAGIAN delegasi yang akan ke Kazakhstan bersama Madius (duduk tiga dari kiri).
Mohamad Hussin

Ekspo Astana 2017 yang bertemakan Inovasi Hijau, Menjana Masa Depan Anda bakal memfokuskan kepada kemampanan penggunaan teknologi biologi kitar semula.

Ia termasuk penukaran kepada produk nilai tambah dalam industri makanan, biokimia, tenaga dan penjagaan kesihatan, melalui teknologi yang inovatif serta cekap.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pameran itu bertujuan meninjau peluang baru bagi kerjasama dan menarik pelaburan daripada institusi serta syarikat yang terletak di rantau Asia Tengah.

“Kami sedang melihat pelaburan yang berpotensi dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) yang menampilkan teknologi hijau serta berasaskan bio dari Asia Tengah pada masa akan datang.

“Keutamaan kami adalah untuk memulakan perbincangan dengan rakan perniagaan strategik yang juga pendukung inovasi dan pada masa sama untuk mempamerkan kelebihan Malaysia kepada pelabur di rantau ini.

“MOSTI dijangka menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) berkenaan teknologi hijau pada hari pelancarannya di Ekspo Astana 2017 di Kazakhstan, dijangka 26 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat kepada wakil media dan delegasi yang mengikuti rombongan ke Kazakhstan di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Putrajaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Industri Bio, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) yang juga Pengarah Projek Ekspo Astana 2017 Zainal Azman Abu Kasim.

Program anjuran MOSTI dengan kerjasama Bioeconomy Corp, SIRIM Berhad (SIRIM) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) membabitkan beberapa syarikat swasta.

Madius berkata, MoU itu membabitkan syarikat Ronser Biotech Bhd dan Nusantara Associates Limited Liability Partnership (LLP) Kazakhstan, iCycle Sdn Bhd dan Daerah Tianhe di Guangzhou serta iCycle dan negeri Kerala di India.

“MoU itu akan membolehkan syarikat mengkaji langkah untuk melengkapi antara satu sama lain dalam meningkatkan akses pasaran bagi produk dan perkhidmatan mereka selain menggalakkan lebih banyak pelaburan merentas sempadan.

“Kami berharap perjanjian ini akan membantu syarikat yang terbabit meningkatkan perniagaan mereka dan kadar penembusan pasaran ke negara lain,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan bertindak sebagai pentas untuk menyebarkan maklumat berkenaan usaha terkini dalam bidang STI di Malaysia dan menyediakan pentas buat syarikat berasaskan bio Malaysia.

“Ia juga peluang untuk usahawan mendapatkan akses kepada pengalaman meluas, ilmu pengetahuan dan inovasi dalam ekosistem sambil menyediakan sokongan yang diperlukan bagi aktiviti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Zainal Azman berkata, ia memberikan kesempatan terbaik buat syarikat STI di Malaysia untuk menembusi pasaran Kazakhstan yang terbesar di Asia Tengah.

“Syarikat Malaysia yang kami bawa masuk ke Ekspo Astana 2017 kebanyakannya terdiri dari bidang teknologi bio dan inovasi hijau.

“Antara syarikat tempatan yang terbabit ialah Free the Seed Sdn Bhd (Biodegradable food packaging), Ronser Biotech Sdn Bhd (Organic Waste Water Treatment), Cube Global Sdn Bhd (Forest Mapping Solutions), Caiser UKM (Development of Intelligent System).

“iCycle Malaysia Sdn Bhd (Recycling System /Solution), Muhibbah Sinergia Resources Sdn Bhd (Halal, Organic & innovative products) dan tiga agensi MOSTI membabitkan YIM, SIRIM dan Bioeconomy Corp,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 11:58 AM