AHLI PPKS antara peserta projek tanaman kacip fatimah bersama Madius.
AHLI PPKS antara peserta projek tanaman kacip fatimah bersama Madius.
PEGAWAI Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Farah Fazwa Md Ariff Dr Farah (empat dari kanan) menerangkan khasiat herba kacip fatimah.
PEGAWAI Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Farah Fazwa Md Ariff Dr Farah (empat dari kanan) menerangkan khasiat herba kacip fatimah.
TAPAK semaian kacip fatimah dalam rumah pelindung hujan.
TAPAK semaian kacip fatimah dalam rumah pelindung hujan.
Mohamad Hussin


Projek penanaman herba kacip fatimah yang dilaksanakan melalui Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) mampu meningkatkan taraf ekonomi terutama golongan berpendapatan rendah.

Program itu dapat membantu menjana pendapatan tambahan RM3,200 sebulan kepada setiap peserta, malah memberi peluang menimba pengetahuan dalam bidang bioteknologi untuk pembangunan projek pertanian dilaksanakan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) menjalankan BCDP melalui dana Inovasi Sosial MOSTI (MSI).

Buat permulaan, 10 ahli Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil (PPKS), Tangkak, Johor, terpilih menyertai projek berkenaan membabitkan peruntukan RM300,000 dengan keluasan ladang kira-kira 3.2 hektar.

Projek ini juga mampu dilaksanakan ahli PPKS selain mereka tidak perlu bimbang berkenaan kebolehpasaran produk yang dihasilkan kerana jaminan belian balik dari syarikat Bioalpha East Coast Agro Sdn Bhd (BECA).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, BCDP yang diumumkan dalam Bajet 2014 menyasarkan sektor huluan dalam rantaian nilai Bioekonomi.

Beliau berkata, BCDP bertujuan membangunkan petani, koperasi dan persatuan yang kurang berkemahiran untuk menjadi Bio-Agropreneur dengan memanfaatkan syarikat berstatus BioNexus.

“Selain itu, Program Transformasi Bioekonomi (BTP) sebagai syarikat peneraju bagi menyediakan latihan teknikal, teknologi dan jaminan belian balik.

“Program MSI bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada yang boleh dilaksanakan secara mampan.

“MSI bukan saja dapat memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga meningkatkan keupayaaan individu untuk bertindak melalui jaringan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan BCDP - Projek Penanaman Herba Kacip Fatimah kepada PPKS di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir Datuk M Asojan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp Syed Agil Syed Hashim dan Pengerusi PPKS Datuk Ismail Hamdan.

Madius berkata, dana MSI yang digunakan untuk projek itu termasuk kos latihan, pembinaan rumah pelindung hujan (RPH) dan rumah keratan, pembelian peralatan dan 6,000 baka kacip fatimah berhasil tinggi iaitu Labisia pumila var. alata.

“Ahli PPKS kini mempunyai kemahiran untuk memperbanyakkan baka kacip fatimah melalui kaedah pembiakan tampang secara keratan.

“Saya difahamkan, syarikat terbabit dijangka membeli hasil tuaian kacip fatimah basah pada harga sekitar RM20 sekilogram. Bayangkan sekiranya hasil yang baik sudah pasti mereka memperoleh keuntungan.

“Projek ini berpotensi meraih 2,000 kilogram (kg) bagi setiap hektar tanaman di samping menjana pendapatan RM3,200 sebulan berdasarkan harga belian balik sekitar RM40,000 bagi setiap tuaian,” katanya.

MOSTI BIAYAI PROJEK MSI

Selain itu, katanya, MOSTI sudah membiayai 85 projek MSI (2015) dan 82 projek (2016) yang menyasarkan kelompok khusus seperti wanita, warga emas serta kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah.

“Ia sebahagian daripada usaha MOSTI untuk merakyatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang sebelum ini hanya dimonopoli golongan penyelidik.

“Sejak dilancarkan, Bioeconomy Corp berjaya memperluaskan pelaksanaan BCDP ke seluruh negara. Hingga April lalu, 33 projek BCDP tengah dilaksanakan membabitkan 1,732 peserta.

“Hingga Disember 2016, Bioeconomy Corp membantu 278 syarikat berstatus BioNexus dan 53 daripadanya bertindak sebagai syarikat utama dalam BTP yang menumpukan kepada projek pembangunan berasaskan bio yang mampan,” katanya.

Seorang peserta, Letandoteta Zaidon, 40, berkata, beliau bertuah kerana terpilih menyertai projek penanaman herba kacip fatimah sekali gus dapat menambah pendapatan keluarga.

“Saya juga terbabit secara langsung dalam bidang pertanian yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti bendi, kacang panjang dan timun.

“Paling penting kena ada minat supaya setiap yang diusahakan itu membuahkan hasil. Penjagaan tanaman kacip fatimah tidak sama dengan tanaman sayur-sayuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 11:16 AM