LOGA (dua dari kanan) dan Aini (kanan) mendengar penerangan mengenai anak benih dalam tepak semaian.
LOGA (dua dari kanan) dan Aini (kanan) mendengar penerangan mengenai anak benih dalam tepak semaian.
PESERTA Rakan Bakti Putra UPM sedang memasukkan sabut kelapa dalam beg semaian.
PESERTA Rakan Bakti Putra UPM sedang memasukkan sabut kelapa dalam beg semaian.
LOGA melihat medium yang digunakan dalam beg semaian.
LOGA melihat medium yang digunakan dalam beg semaian.
Mohamad Hussin


Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Tunas Nasional Holdings Sdn Bhd (Tunas Nasional) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian.

UPM menerusi Fakulti Rekabentuk dan Senibina serta Taman Pertanian Universiti (TPU) mengambil inisiatif kolaborasi dengan pihak berkenaan.

Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, usaha sama UPM dan Perbadanan Putrajaya telah bermula sejak 2012 yang diterajui Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM dengan Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya.

“Melalui usaha sama ini, UPM ingin memperluaskan bidang kerjasama dengan membabitkan beberapa fakulti lain antaranya Fakulti Perhutanan dan Fakulti Pertanian.

“Beberapa bidang kerjasama sudah dirangka terutama bidang hortikultur yang meliputi florikultur, olerikultur, pomologi dan pengurusan tapak semaian, apiari, pengurusan dan penyelenggaraan landskap selain perancangan dan reka bentuk bandar.

“Ia termasuk pengurusan alam sekitar, tasik dan wetland, pembangunan serta perkhidmatan bandar, perhutanan bandar, pertanian bandar, rekreasi dan eko pelancongan selaras hasrat negara mencapai pembangunan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis MoU dan perasmian tapak semaian di UPM, Serdang, baru-baru ini. Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail, Pengarah Urusan Tunas Nasional Mohd Hassan Bosarah, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir dan Pengarah TPU UPM Prof Dr Japar Sidik Bujang.

Dr Aini berkata, melalui kerjasama ini, kepakaran yang dimiliki UPM dapat diterjemahkan, dipindahkan dan diperkembangkan.

“Ia melalui perkongsian maklumat, ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam pelbagai aspek termasuk latihan, kemajuan kerjaya, perancangan, pembangunan dan pengurusan landskap serta alam sekitar.

“UPM juga turut bekerjasama dengan Tunas Nasional iaitu sebuah syarikat yang mempelopori penanaman bunga semusim di Malaysia.

“Usaha sama UPM dan Tunas Nasional bukan sesuatu yang baru kerana projek kedua-dua pihak telah dan sedang berjalan melalui usahasama projek Rakan Bakti Putra (RBP) UPM dan Tunas Nasional,” katanya.

Menurutnya, melalui usahasama ini, Tunas Nasional diberi kebenaran untuk membuka pusat tanaman bunga di UPM dalam kawasan seluas lebih 0.6 hektar di kelab golf UPM.

“Sementara kami bakal menyediakan tenaga pelajar daripada golongan asnaf seramai 20 orang untuk menyediakan 150,000 beg semaian bunga semusim setiap bulan dengan dipantau TPU.

“Usaha sama ini bukan hanya tertumpu kepada penanaman bunga tetapi boleh diperluaskan lagi melalui kaloborasi pintar UPM dan Tunas Nasional dalam mengkaji serta menemukan jenis bunga semusim yang boleh dikomersialkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 10:46 AM