ELEMEN landskap menjadi keutamaan The Crystal.
ELEMEN landskap menjadi keutamaan The Crystal.
PAPARAN visual penyelesaian seni bina landskap di Denmark mencuri perhatian Ruge (tiga dari kiri) dan tetamu kehormat lain.
PAPARAN visual penyelesaian seni bina landskap di Denmark mencuri perhatian Ruge (tiga dari kiri) dan tetamu kehormat lain.
Hartini Mohd Nawi


Idea seni bina landskap yang sempurna tidak hanya berinspirasikan persekitaran hijau semata-mata.

Melalui visual dan perkongsian pengalaman menangani permasalahan landskap juga antara pendekatan yang saling berkaitan.

Menyedari kepentingan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dengan kedutaan besar Denmark di Kuala Lumpur kini mengadakan pameran ‘Copenhagen: Create A Better Life For People.’

Ia bagi berkongsi idea, penyelesaian diaplikasikan Denmark dalam menangani masalah perubahan cuaca dan usaha ke arah perancangan mampan.

Sekali gus ia memberi gambaran kepada masyarakat Malaysia berkenaan perkembangan reka bentuk yang diterajui arkitek dari Denmark itu.

Bertempat di Galeri Serdang, UPM pameran berkenaan dirasmikan Duta Besar Denmark Nicolai Ruge dan dijangka berakhir 31 Mac ini.

“Penekanan kepada pemuliharaan persekitaran dan kemampanan sosial antara yang diberi tumpuan utama.

“Pada masa sama pameran ini bertindak sebagai pengantara dalam menjalinkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Denmark.

“Ia termasuk perubahan sosio-budaya dan persekitaran, reka bentuk serta perancangan bandar antara kedua-dua negara,” katanya.

Di bawah ‘Copenhagen: Create A Better Life For People,’ terdapat tiga pameran berlainan iaitu ‘Copenhagen Solutions,’ ‘Architecture With People’ dan ‘Contemporary Danish Architecture.’

“Copenhagen Solutions umpamanya cuba berkongsi inspirasi penyelesaian seni bina landskap yang lebih praktikal.

“Ia membentangkan gandingan kepakaran pelbagai pihak termasuk universiti dan syarikat teknologi bersih dalam membangunkan perbandaran Copenhagen.

“Khususnya dari segi tenaga yang efisien serta neutral Copenhagen menjelang 2025,” katanya.

Pengalaman seni bina landskap

Serentak dengan pelancaran pameran itu, turut dilancarkan ialah buku Cerita laman Kehidupan Copenhagen karya Dr Shureen Faris Abd Shukor yang juga antara tenaga pengajar di Fakulti Rekabentuk dan Senireka UPM.

Buku itu membawa gambaran pengalaman beliau sepanjang berada di Denmark untuk pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dari 2009 hingga 2013.

Berlandaskan latar belakang profesional Dr Shureen dalam seni bina landskap, buku itu secara majoritinya memberi fokus kepada reka bentuk taman dan ruang hijau di sekitar bandar Denmark.

Turut hadir Naib Canselor Datin Paduka Dr Aini Ideris, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hubungan Antarabangsa Prof Datuk Dr Husaini Omar, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Prof Osman Mohd Tahir, duta dan delegasi Suruhanjaya Eropah, Finland, Hungary, Jerman serta Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:04 AM