Siti A'isyah Sukaimi


POKOK angsana yang menjadi ikon Universiti Putra Malaysia (UPM) dipaparkan pada satu daripada pesawat syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dihasilkan menerusi kerjasama strategik kedua-dua pihak berkenaan.

Naib Canselor UPM Prof Datin Dr Aini Ideris berkata, idea menghasilkan reka bentuk meliputi motif pokok, nama serta logo universiti pada pesawat berkenaan tercetus menerusi perbincangan beliau bersama Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes pada 20 Jun tahun lalu.

Menurutnya, paparan reka bentuk jenama UPM pada pesawat Airbus 320 dengan nombor pesawat 9MAQD itu mula kelihatan sejak 2 Ogos lalu di ruang udara dan ia tidak berunsur komersil.

"AirAsia menyediakan platform kepada UPM untuk menghasilkan rekaan, kreativiti dan seni dalam projek berimpak tinggi.

"Sebagai rakan strategik UPM, beliau (Tony) mengenepikan aspek komersil dalam projek ini tetapi, mementingkan imu iaitu dengan memartabatkan institusi pendidikan tinggi," katanya pada pelancaranUPM-AirAsia : Livery UPM di Sepang Aircraft Engineering (SAE) New Hangar, Sepang, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh serta turut dihadiri Tony.

Reka bentuk pesawat itu bermula Julai tahun lalu manakala ia dihasilkan oleh Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, pensyarah kanan Jabatan Rekabentuk Perindustrian Shahrul Azman Shahbudin dan pereka FRSB Arizy Valentino Ramu.

Selain itu, ia menggunakan konsep imej, motif serta warna korporat UPM daripada logo rasmi universiti itu serta digabungkan dengan motif pokok angsana.

Pokok berkenaan adalah ikonik kepada UPM berada di Taman Pertanian Universiti malah, kerap digunakan sebagai penggambaran televisyen, akhbar atau majalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 3:37 PM
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bergambar bersama Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika majlis kerjasama strategik UPM-Airasia yang telah menghasilkan livery pada sebuah pesawat Airasia hasil rekaan Fakulti Rekabebtuk dan Senibina UPM di Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bergambar bersama Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika majlis kerjasama strategik UPM-Airasia yang telah menghasilkan livery pada sebuah pesawat Airasia hasil rekaan Fakulti Rekabebtuk dan Senibina UPM di Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah