MENJADI tanggungjawab berat sebagai pemimpin untuk bersikap adil dan bijaksana dalam mengurus tadbir negara.
MENJADI tanggungjawab berat sebagai pemimpin untuk bersikap adil dan bijaksana dalam mengurus tadbir negara.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Malaysia adalah sebuah negara Islam yang bersifat progresif dan sederhana dari sudut memberikan ruang dan peluang rakyat memilih wakil pemimpin melalui sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Malaysia juga memiliki keunikan keragaman atau kepelbagaian rakyat yang mempunyai perbezaan etnik, agama dan budaya.

Keragaman ini sewajarnya harus disatukan melalui kepemimpinan negara yang sentiasa menitik beratkan soal perpaduan, keharmonian dan saling berkasih sayang antara satu sama lain. Untuk itu, Perlembagaan Persekutuan menggariskan beberapa perkara yang menjadi tonggak kepada kesejahteraan rakyat dan negara. Perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui bersama terutamanya terkait dengan bahasa Melayu, agama Islam, institusi raja-raja dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera telah menjadikan urus tadbir negara sentiasa kekal stabil.

Inilah kejayaan sebenar bagi mana-mana pemimpin yang mewakili suara rakyat Malaysia untuk melihat keragaman kaum dan agama tidak menghalang perpaduan rakyat dicapai.

Hakikatnya, kepemimpinan adalah amanah dan bukannya keistimewaan yang perlu dikejar bagi tujuan mendapatkan sanjungan dan pujian bahkan ia adalah satu bebanan berat yang akan dipertanggung jawab di mahkamah Allah SWT. Ini kerana kewajipan melantik pemimpin yang kasih terhadap rakyat dan mampu memakmurkan bumi-Nya adalah tugasan yang besar dan mencabar. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 30)

Menyingkap hikmah Ilahi terhadap jawatan khalifah di muka bumi-Nya bukanlah sesuatu yang perlu dianggap biasa melainkan segala tanggungjawab sebagai seorang pemimpin perlu menyempurnakan maksud dan matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kewajipan pemimpin memakmurkan bumi-Nya di dalam konteks kenegaraan ialah dengan memastikan keadilan berjalan dengan lancar, kebenaran dijulang, kebatilan dipadamkan, sentiasa kasih terhadap rakyat, tidak melanggari peraturan dan sentiasa mentaati pemimpin, tidak menyembunyikan kebenaran, tidak menyeleweng harta rakyat dan sebagainya.

Ia bertepatan dengan saranan ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan janganlah kamu campur aduk yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 42)

Menjadi tanggungjawab berat sebagai pemimpin negara perlu bersikap adil dan bijak di dalam mengurus tadbir negara dengan mengamalkan prinsip Islam seperti sentiasa berlaku adil, bijak membelanjakan wang negara demi menjaga maslahah rakyat, tidak memunggah kekayaan negara demi mengekal tampuk kuasa, sentiasa cakna dengan pemuliharaan alam.

Selain itu, tidak membangkitkan sikap perkauman dan agama yang sempit, sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, sentiasa menyantuni dan membela nasib rakyat yang kurang berkemampuan, menjaga adab dan memberi contoh akhlak baik, sentiasa mendengar denyut nadi rakyat terhadap pelbagai isu dan lain-lain lagi sehingga menjadikan seorang pemimpin itu sentiasa kasih kepada rakyat dan rakyat sentiasa mendoakan kebaikan buat pemimpin negara.

Justeru, pendekatan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sedaya upaya membina kekuatan perpaduan dan keharmonian kaum di dalam negara Malaysia tercinta. Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri ingin melakar sejarah Malaysia yang cemerlang dan tanda kasih beliau terhadap rakyat Malaysia dengan mengangkat semula martabat dan darjat rakyat Malaysia di persada dunia.

Usaha ini adalah sebahagian besar menjadi agenda utama untuk memakmurkan bumi Allah SWT dengan mempamerkan sikap pemimpin yang sentiasa kasih dan sayang terhadap rakyat seperti kisah khalifah umat Islam yang terdahulu seperti kejayaan Sultan Salahudin Al-Ayubi dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang berjaya mengangkat martabat rakyat melalui usaha murni kedua-duanya dan berteraskan prinsip Islam yang telah digariskan melalui acuan al-Quran dan hadis.

Negara Malaysia kekal stabil dan kukuh jika ramai pemimpin sentiasa hadir mengasihi rakyat dan menunjukkan kasih sayang demi membela nasib rakyat. Setiap rakyat Malaysia pasti mendambakan pemimpin yang benar-benar menjalankan amanah di bumi Allah SWT ketimbang mereka yang hanya berebut jawatan demi kepentingan peribadi dan keluarga mereka sahaja.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:00 AM