PUSAT Bandar Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
PUSAT Bandar Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Mohd Shahrizal Nasir

Peribahasa Melayu ada menyebut - Diberi berkuku hendak mencengkam. Ungkapan peribahasa ini merujuk sikap sesetengah orang yang apabila diberi sedikit kekuasaan lalu bertindak sesuka hati. Bagaimana agaknya hal seperti ini boleh berlaku? Dalam keadaan masyarakat bergantung harap supaya pemimpin melakukan banyak perubahan positif dalam urusan kehidupan, wujud pemimpin yang melakukan tindakan sesuka hati tanpa menghiraukan tanggungjawab sebenar mereka.

Cabaran pandemik Covid-19 belum berkesudahan. Rakyat terpaksa mencatur kehidupan masing-masing demi memastikan kesinambungan hidup berjalan dengan baik. Dengan keterbatasan pergerakan yang menyebabkan terhadnya sumber pencarian hidup, kelihatan ada sesetengah pemimpin yang terus tergamak melakukan apa saja demi memastikan survival perjalanan politik masing-masing.

Tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang, pemimpin yang memenangi pilihan raya dipilih oleh rakyat untuk mewakili suara mereka.

Ia bukan satu perwakilan yang suka-suka saja, sebaliknya perwakilan untuk memperjuangkan nasib rakyat supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik lebih-lebih lagi pada musim Covid-19. Kini golongan yang digelar pemimpin lebih kerap mengutarakan perihal kemenangan mereka, kekuasaan, pengaruh, kekuatan dan kesatuan sehingga seperti lenyap segala omongan yang dahulunya dilaungkan hanya untuk memastikan rakyat hidup dengan penuh keharmonian serta kesejahteraan.

Ingatlah setiap manusia di muka bumi ini apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin wajib menggalas amanah kepemimpinan. Dalam konteks kepemimpinan Islam, pemimpin negara mesti menjalankan tugas memakmurkan bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya. Apabila bumi ini makmur natijah daripada pelaksanaan amanah Allah SWT, maka kehidupan dunia akan terus mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Oleh itu, pemilihan manusia sebagai khalifah di muka bumi tidak boleh dipisahkan dengan ketetapan yang ditentukan Allah SWT. Tidak mungkin penciptaan manusia sebagai khalifah di dunia ini terkeluar daripada ketetapan Ilahi kerana segalanya berlangsung atas kehendak-Nya. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Daripada beberapa pengertian khalifah yang diberikan oleh ulama, satu pengertian yang masyhur seperti yang dinukilkan dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman merujuk kepada seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah.

Begitulah besarnya tanggungjawab seorang khalifah Allah SWT. Meskipun tanggungjawab sebagai khalifah adalah tanggungjawab setiap insan, tidak semua mampu melaksanakannya dengan baik. Malah, ada insan yang lupa akan amanah dipertanggungjawabkan ke atas dirinya, lantas melakukan perbuatan yang melanggar ketetapan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Keadaan yang berlaku dalam negara sekarang boleh membuatkan rakyat hilang hormat terhadap pemimpin yang mendapat pilihan majoriti dalam pilihan raya. Setiap tindakan pemimpin disaksikan rakyat, malah dibincangkan dengan begitu meluas dalam media sosial. Hasilnya rakyat sekali lagi menjadi mangsa dengan cuba membuat andaian itu dan ini terhadap tindakan pemimpin mereka. Sudah pasti pada asalnya rakyat mengharapkan muncul kepemimpinan baharu yang lebih baik daripada pemimpin sebelumnya.

Bagaimanapun, nampaknya pemimpin lebih gemar berpolemik antara satu sama lain pada saat rakyat mengharapkan wabak Covid-19 segera berlalu.

Ingat wahai sekalian pemimpin negara bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab yang sedang dipikul di atas bahu kalian. Laksanakan amanah besar ini sebaik-baiknya supaya rakyat mendapat manfaat daripada kepemimpinan yang baik dan diredai oleh Allah SWT. Kemampuan yang patut ada dalam diri setiap pemimpin perlu digunakan untuk memastikan nasib rakyat terbela dengan pelaksanaannya dibuat penuh amanah. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai). (Surah al-Qasas, ayat 36)

Antara sifat keji yang perlu ditinggalkan oleh setiap pemimpin ialah sifat dusta. Dengan pelbagai janji yang ditabur ketika kempen pilihan raya dahulu, ia mesti diusahakan secara serius demi kebaikan rakyat. Pastinya setiap anggota masyarakat berdepan dengan pelbagai masalah dan kesukaran dalam hidup. Maka menjadi tanggungjawab utama setiap pemimpin untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan atau setidak-tidaknya mengurangkan penderitaan yang ditanggung. Allah SWT memberi peringatan jelas dalam al-Quran yang maksudnya: "Wahai orang beriman, mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan? Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan." (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Rasulullah SAW turut mengingatkan pemimpin mengenai bahaya tanggungjawab apabila tidak dilaksanakan menerusi sabda baginda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan orang Islam, lantas tidak berusaha dengan bersungguh -sungguh untuk kebaikan mereka dan tak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian. Pemimpin akan sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan pemimpin. Apa yang berlaku hari ini, kelakuan pemimpin menjadi bahan bualan rakyat sehingga menerbitkan perpecahan yang membimbangkan. Setiap kelompok rakyat terbahagi kepada beberapa kumpulan yang menyokong pemimpin pilihan masing-masing.

Sekali lagi rakyat terpaksa melakukan perkara yang hakikatnya bukan kerja mereka. Rakyat tidak mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada pemimpin mereka sebaliknya pemimpin yang sepatutnya memberi perkhidmatan kepada rakyat. Satu ungkapan dalam bahasa Arab yang masyhur bermaksud: Pemimpin sesuatu kaum adalah pelayan mereka. Oleh itu, pemimpin yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat dan bukan sebaliknya.

Ketaatan kepada pemimpin ada batasannya. Oleh itu, pemimpin perlu melakukan perkara yang melayakkan dirinya mendapat ketaatan daripada orang di bawah kepemimpinannya.

Pemimpin yang baik tidak akan tergamak membuatkan rakyatnya berada dalam keadaan porak-peranda dengan terus bertikam lidah sesama sendiri hanya untuk mewajarkan tindakan pemimpin mereka.

Sebaliknya pemimpin yang baik perlu memimpin setiap orang di bawahnya agar sentiasa berada dalam keadaan baik untuk meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan.

"Jika dia (rakyat) diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) untuk dia mendengar dan mentaati (pemerintah)." Muttafaq 'alaih

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 5:59 AM