SETIAP manusia di muka bumi ini apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin wajib menggalas amanah kepemimpinan. FOTO Arkib NSTP
SETIAP manusia di muka bumi ini apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin wajib menggalas amanah kepemimpinan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Shahrizal Nasir

Kini Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melabuhkan tirainya. Hasil percaturan para pemimpin negara akhirnya semua rakyat perlu akur dengan proses pilihan raya yang bukan sahaja menelan belanja mengurus yang besar, namun melibatkan masa dan tenaga semua orang. Di universiti, kelas pengajian perlu ditangguh kerana urusan pilihan raya. Begitu juga bagi sektor pekhidmatan, banyak majikan memberi cuti kepada pekerja masing-masing untuk tujuan pilihan raya. Tidak kurang juga yang terpaksa mengambil cuti sendiri bagi melunaskan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Pengorbanan rakyat bagi urusan memilih pemimpin perlu dihargai semua calon PRU-15 yang berjaya mendapat tempat sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Tidak kira sama ada pemimpin terpilih berada di barisan kerajaan ataupun pembangkang, hakikatnya semua yang menang adalah pemimpin yang menggalas tanggungjawab kepada seluruh rakyat di tempat masing-masing dan rakyat Malaysia secara amnya.

Pada ketika ini, usah ada percaturan yang mementingkan hal peribadi melebihi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Kini masanya sudah tiba bagi semua pemimpin memenangi PRU-15 untuk bekerja dan melaksanakan tanggungjawab melunaskan janji ditaburkan sepanjang kempen pilihan raya. Jangan jadikan perkara mendatang sebagai halangan lantas memberi seribu satu alasan menidakkan perjuangan menunaikan janji yang diungkapkan semasa berkempen tempoh hari.

Sesungguhnya setiap manusia di muka bumi ini apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin wajib menggalas amanah kepemimpinan. Dalam konteks kepemimpinan Islam, para pemimpin negara mesti menjalankan tugas memakmurkan bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya. Apabila bumi ini makmur natijah daripada pelaksanaan amanah Allah SWT, maka kehidupan dunia terus mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Pemimpin Muslim perlu menginsafi setiap tindakan mereka melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan akan dinilai bukan saja oleh manusia tetapi oleh Allah SWT. Perbuatan tidak berusaha menggalas tanggungjawab kepemimpinan sebaiknya ialah tindakan mengkhianati amanah sedangkan mereka dengan sukarela mencari dan mendapatkan tempat sebagai pemimpin. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah Al-Anfal, ayat 27)

Ingatlah wahai sekalian pemimpin negara bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai tanggunjawab dipikul di atas bahu masing-masing. Laksanakan amanah besar ini sebaiknya agar rakyat mendapat manfaat daripada kepemimpinan baik dan diredai Allah SWT. Kemampuan yang patut ada dalam diri setiap pemimpin perlu digunakan untuk memastikan nasib rakyat terbela dengan pelaksanaan dibuat dengan penuh amanah. Allah SWT berfiman dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." (Surah Al-Qasas, ayat 36)

Antara sifat keji perlu ditinggalkan setiap pemimpin ialah sifat 'dusta'. Dengan pelbagai janji ditabur semasa kempen pilihan raya baru-baru ini, ia mesti diusahakan secara serius demi kebaikan rakyat.

Allah SWT memberi peringatan jelas dalam al-Quran yang maksudnya: "Wahai orang beriman, mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan." (Surah Al-Munafiqun, ayat 1-2)

Rasulullah SAW turut mengingatkan para pemimpin tentang bahaya tanggungjawab yang tidak dilaksana menerusi sabda baginda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan orang Islam, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Apabila membicarakan soal janji, para pemimpin dan semua pihak perlu menyedari sikap orang yang mengabaikan janji dibuat. Realitinya, tidak ada seorang pun tidak berjanji sepanjang k   empen pilihan raya sebelum dipilih menjadi pemimpin. Pastinya semua janji ditaburkan difikir semasak-masaknya. Justeru, kini tibalah masanya para pemimpin melaksanakan janji tersebut sebelum tergolong dalam kalangan orang munafik.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, (iaitu) jika berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia tidak menepati janjinya, dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya." (Muttafaq 'alaih)

Ketiga-tiga sifat munafik dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadis tersebut boleh terjadi dalam diri seorang pemimpin.

Seorang pemimpin yang inginkan dirinya dipilih rakyat diberi ruang luas untuk berkempen. Lalu dalam ucapan kempennya, ada kalanya diri terjebak dalam perkataan dusta. Tidak kurang juga yang terjebak dalam perkataan dusta tatkala berdepan situasi untuk menyelamatkan diri daripada cabaran kepemimpinannya. Semua ini mencerminkan watak dan perwatakan golongan munafik.

Begitu juga dengan segala janji manis yang jika gagal ditunaikan boleh menyebabkan diri seseorang pemimpin terjerumus ke lembah kemunafikan. Oleh itu, manfaatkanlah masa sedari awal mencapai kejayaan menjadi pemimpin sebagai masa untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh demi memastikan janji ditunaikan.

Allah SWT memberi ancaman kepada golongan munafik menerusi firman-Nya bermaksud: "Allah menjanjikan orang munafik lelaki dan perempuan serta orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka dan Allah melaknat mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal." (Surah At-Taubah, ayat 68)

Perkara ketiga dinyatakan Rasulullah SAW berkaitan golongan munafik amat dekat dengan situasi pemimpin perlu berusaha melaksanakan amanah kepemimpinannya. Usah jadikan jawatan sebagai Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai penyebab menjadi orang yang rugi di akhirat nanti. Sebaliknya jawatan disandang sebagai pemimpin boleh menjadi jambatan mendapat pahala yang banyak sekiranya ia dilaksanakan dengan penuh amanah.

Pemimpin yang baik adalah mereka yang bekerja membantu rakyat kerana mengharap ganjaran Allah SWT serta mengelak dimurkai oleh-Nya. Justeru, bekerjalah dengan bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya Allah SWT menilai setiap perbuatan dan tindakan yang nantinya dikurniakan ganjaran bagi setiap kebaikan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar." (Surah An-Nisa', ayat 40)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 7:01 AM