ALLAH SWT memerintahkan kita   terus memakmurkan bumi-Nya sebaik mungkin tanpa membuat kerosakan pada alam ciptaan-Nya.
ALLAH SWT memerintahkan kita terus memakmurkan bumi-Nya sebaik mungkin tanpa membuat kerosakan pada alam ciptaan-Nya.
Dr Zuraimy Ali

Alam ciptaan Allah SWT sangat unik dan menarik untuk direnung dan dihayati bersama supaya ia membangkitkan rasa keinsafan dan ketenangan dalam jiwa.

Penerokaan tabiat alam ciptaan Allah SWT seperti bukit bukau, hutan belantara, tumbuhan menghijau, alor denai dan sungai sangat memberikan inspirasi kepada insan untuk terus memelihara keindahan anugerah Allah SWT supaya ia sentiasa kekal terpelihara dan menjadi manfaat besar buat manusia. Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud "Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya). Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya). (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu."(Surah An-Naazi'aat 79, ayat 30-33).

Bagi sebahagian insan yang inginkan kedamaian dan keindahan suasana yang hilang daripada kebisingan dan kesibukan bandar maka boleh mencuba mendapatkan sentuhan alam ciptaan Allah SWT dengan meneroka dan melalui kehidupan hijau hutan belantara dan menikmati udara yang segar.

Hal ini hanya akan dapat dirasai jika setiap kita memelihara keindahan alam dan sentiasa mengekalkan keaslian hutan yang kita miliki.

Allah SWT juga memerintahkan kita untuk terus memakmurkan bumi-Nya sebaik mungkin tanpa membuat kerosakan pada alam ciptaan-Nya sebagaimana ayat yang berbunyi "Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya."(Surah Hud 11, ayat 61).

Selain itu, alam ciptaan Allah SWT seperti bukit bukau memberikan pengalaman baharu bagi meneroka sumber khazanah alam yang mampu memberikan pelbagai ilmu terkait dengan tumbuh-tumbuhan dan haiwan kecil yang mampu menjadikan manusia sentiasa berfikir untuk menghasilkan pelbagai penemuan ubat-ubatan dan rawatan untuk dijadikan penawar bagi pelbagai penyakit.

Hal ini disebabkan kewujudan pelbagai spesies flora dan fauna yang dijumpai dapat dijadikan sebagai bahan kajian untuk manfaat manusia. Selain itu juga, aktiviti menjalani kehidupan dalam hutan juga membantu meningkatkan keyakinan seseorang bagi mendepani situasi mencabar dan mempelbagaikan kemahiran hidup yang mampu dimanfaatkan seseorang ketika berada di hutan.

Kejernihan air sungai mahupun air bukit yang kelihatan tenang dan mengalir dengan irama yang sangat asyik mendatangkan ketenangan dalam keadaan suasana damai. Air yang mengalir dari sungai, bukit, laut ataupun lainnya memberikan pelbagai manfaat untuk manusia, haiwan dan tumbuhan.

Hal ini bersesuaian dengan firman-Nya yang bermaksud "Ia menurunkan air (hujan) daripada langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya."(Surah Ar-Ra'd 13, ayat 17).

Semua ciptaan-Nya sangat membantu memberikan ketenangan dan kebahagiaan buat hamba-Nya supaya sentiasa bersyukur dan memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin.

Akhir kalam, jika kita merenung keindahan alam ciptaan Allah SWT dengan hati yang ikhlas kita pasti menemui kasih sayang Allah buat hamba-Nya.

Dijadikan alam ini bagi memberikan pelbagai manfaat buat makhluk-Nya dan di situ kita pasti mempelajari sesuatu yang akan memberikan rasa insaf bahawa kurniaan-Nya terlalu banyak dan sangat besar manfaatnya untuk manusia.

Syukuri nikmat kurniaan Allah SWT dengan memelihara alam ciptaan-Nya sebaik mungkin untuk diwarisi generasi akan datang.


Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi
Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 6:00 AM