PERENCANAAN Tuhan terhadap manusia yang memimpin bumi-Nya dipenuhi dengan pelbagai hikmah sehinggakan perancangan Tuhan mengatasi kehendak makhluk.
PERENCANAAN Tuhan terhadap manusia yang memimpin bumi-Nya dipenuhi dengan pelbagai hikmah sehinggakan perancangan Tuhan mengatasi kehendak makhluk.
Addin

Rakyat Malaysia sudah menjalankan tanggungjawab dalam memilih pemimpin mampu menerajui kepemimpinan negara Malaysia bagi tempoh lima tahun. Sudah pasti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi beberapa negeri yang sudah dilaksanakan adalah manifestasi kehendak rakyat terhadap wakil yang menang bertanding memiliki kewibawaan, sekali gus mampu memikul amanah bagi memakmurkan bumi Allah SWT berteraskan prinsip islah, wasatiah, meningkatkan tradisi keilmuan, menyempurnakan amar ma'ruf nahi munkar, beramanah, kebijakan yang adil, telus, mengubah nasib golongan susah dan miskin, mengangkat martabat manusiawi dan
lain-lain lagi.

Kepemimpinan sememangnya wahana terbaik dan memenuhi maksud matlamat penciptaan manusia di dunia ini sesuai dengan ketetapan ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah ayat, 30)

Kewajiban melantik khalifah (pemimpin) merupakan satu tanggungjawab yang sangat berat. Memilih pemimpin yang salah akan memberikan dampak mudarat kepada rakyat dan negara.

Perencanaan Tuhan terhadap manusia yang memimpin bumi-Nya dipenuhi dengan pelbagai hikmah sehinggakan perancangan Tuhan mengatasi kehendak makhluk. Biar apa pun bentuk muslihat dan tipu daya dilakukan manusia yang jahat tidak mampu mengatasi kehendak Allah SWT.

Jika kita cerakinkan pemikiran dan menelusuri sirah perjuangan Rasulullah SAW menegakkan Islam dalam usaha memimpin dan meyebarkan kebenaran kepada masyarakatnya, baginda SAW sentiasa dihujani pelbagai fitnah, tohmahan, serangan peribadi dan fizikal, kecaman masyarakat, kutukan dan penindasan serta bermacam lagi bentuk sekatan dilakukan musyrikin Mekah pada ketika itu. Bahkan nyawa Rasulullah SAW menjadi taruhan dalam menegakkan Islam sehinggakan keputusan Allah SWT menghendaki Rasul-Nya berhijrah ke Madinah.

Penghijrahan Nabi SAW dan umat Islam Makkah merupakan penghijrahan yang baik bagi menyusun strategi dakwah yang lebih berkesan sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah An-Nisaa', ayat 100)

Justeru, seorang pemimpin yang mempunyai minda hijrah bagi menyempurnakan semangat islah dan tajdid merupakan strategi dakwah yang mampu membentuk satu ketumbukan kekuatan serta mampu mengatasi serangan musuh. Penghijrahan Rasulullah SAW merupakan sebahagian strategi Ilahi dalam memastikan kelancaran dakwah dan kepemimpinan Rasul-Nya di bumi Madinah.

Perancangan Allah SWT ke atas Rasul-Nya merupakan perancangan yang sudah tentu memberikan kemenangan yang pasti kerana Allah SWT memberikan satu isyarat jelas melalui firman-Nya terhadap musuh yang memerangi Rasul-Nya berdasarkan ayat: "Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merencanakan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya." (Surah Al-'Imraan, ayat 54)

Oleh itu, sebagai umat Islam wajib kita beriman bahawa Allah SWT akan sentiasa memastikan bahawa kebenaran pasti akan tertegak dan kebatilan pasti akan lenyap di muka bumi ini. Perancangan Allah SWT adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan akan menggoncangkan seluruh musuh-Nya. Kejayaan terhadap usaha Rasul-Nya pasti akan mencapai kepada kemuncak sehingga mampu menewaskan segala bentuk kekuatan musuh.

Justeru, kemenangan pemimpin sudah diketahui di dalam ilmu Allah SWT dan sudah tentu kepemimpinan yang diredai-Nya pasti akan menemui kejayaan selepas melalui pelbagai cabaran dan serangan. Kemenangan pemimpin yang dipilih mampu memberikan kemakmuran bersama di dalam memakmurkan bumi Allah SWT dengan membawa agenda islah dan mengangkat nilai kemanusiaan dan sudah pasti ia akan meninggalkan kenangan manis perjuangan setelah melalui penat lelah dan jerih payah yang panjang dalam membentuk kepemimpinan yang dikehendaki Allah SWT.

Pelantikan kepemimpinan baharu Perdana Menteri Malaysia ke-10 YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap mampu membawa aspirasi kemakmuran berteraskan prinsip al-Quran dan As-Sunah di dalam kerangka yang segar serta mampu menyatukan manusia dengan gagasan rahmah kasih sayang yang terkandung di dalam Islam. Ayuh seluruh umat Islam kita panjatkan doa agar dianugerahkan kepemimpinan dan pelapis pemimpin yang terbaik buat Malaysia.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 7:00 AM