MENSYUKURI rezeki kurniaan Tuhan mendatangkan banyak kebaikan buat hamba-Nya. FOTO AFP / Imagen Chile / Sebastian Ojeda
MENSYUKURI rezeki kurniaan Tuhan mendatangkan banyak kebaikan buat hamba-Nya. FOTO AFP / Imagen Chile / Sebastian Ojeda
Dr Zuraimy Ali

Mensyukuri anugerah rezeki yang diberikan Allah SWT kepada kita adalah sifat yang terpuji manakala mengkufuri nikmat rezeki merupakan sifat yang tercela. Renungkanlah betapa kasih dan sayang-Nya Pencipta kepada hamba-Nya. Dikurniakan pelbagai rezeki di atas muka bumi ini sehinggakan setiap makhluk-Nya sentiasa diberikan rezeki mengikut kadar kecukupan yang ditentukan Allah SWT buat hamba-Nya. Jika setiap hamba Allah menyelami akan nikmat Tuhan buat dirinya pasti tidak mampu dihitung banyaknya nikmat tersebut. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"-  (Surah Al-Nahl, ayat 18). Disebabkan kasih sayang Allah SWT, diberikan kepada hamba-Nya limpahan rezeki yang tidak terhitung banyaknya.

Manusia yang tahu erti syukur akan sentiasa melazimi lidahnya dengan bacaan tahmid kepada Tuhan. Tiada ungkapan yang lebih Allah SWT sukai melainkan hamba-Nya yang selalui menyebutkan kalimat Alhamdulillah kerana ungkapan itu menjadikan seorang hamba sedar akan rezeki yang diperolehinya merupakan anugerah Tuhan. Sebutan tahmid itu sebenarnya menjadi punca kepada penambahan dan kurniaan yang lebih besar yang disediakan Tuhan buat hamba-Nya yang beriman sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."  (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kehidupan dunia ini sememangnya sangat mencabar. Manusia tidak terlepas daripada sifat sombong dan angkuh apabila mendapat habuan yang lebih berbanding dengan orang lain. Hakikatnya golongan ini lupa bahawa mereka ini sebenarnya miskin akhlak dari sisi pandangan Tuhan bahkan boleh terjerumus ke dalam lembah kehinaan di atas perbuatan sombong terhadap kurniaan yang diberikan Tuhan buat mereka. Mempamerkan kekayaan yang mewah bagi tujuan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang diperoleh melambangkan jiwa dikuasai oleh sifat kesombongan. Allah SWT melarang setiap hamba-Nya untuk tidak berlaku sombong
di atas muka bumi-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang."  (Surah Al-Israa', ayat 37).

Untuk itu, dalam usaha membina akhlak yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT terhadap hamba-Nya marilah kita semua berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur di atas kurniaan yang diberikan. Manusia yang memahami fadhilat bersyukur lebih menyedari dan menginsafi akan kekurangan diri. Segala yang dimiliki hakikatnya adalah milik Tuhan. Segala yang diperolehi sentiasa diingati sebagai satu anugerah Tuhan buat mereka. Golongan ini sedar dan sentiasa merendah diri bahawa rezeki itu sebenarnya datang daripada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hal keadaan ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat (dari perkara yang tidak diingini)" (Surah Al-Furqaan, ayat 63). Sifat kesombongan tidak menguasai mereka bahkan dihiasi dengan sikap yang santun serta menginsafi diri sebagai seorang hamba Allah SWT.

Justeru, dianjurkan buat umat Islam untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan agar menjadi hamba Allah yang tahu erti syukur yang sebenar. Antara doa yang terbaik boleh diamalkan bagi umat Islam ialah doa yang ma'thur di dalam al-Quran yang berbunyi: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh" (Surah Al-Naml, ayat 19). Bagi mereka yang sudah mencapai usia 4o-an adalah dianjurkan untuk selalu membaca doa ini bagi mengekalkan momentum untuk terus istiqamah dalam menjadi hamba Allah yang bersyukur sepertimana doa yang terdapat di dalam al-Quran yang berbunyi: "Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."  (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

Sebagai kesimpulannya, rezeki adalah kurniaan Allah SWT. Mensyukuri rezeki kurniaan Tuhan mendatangkan banyak kebaikan buat hamba-Nya. Limpahan rezeki Tuhan buat hamba-Nya tidak pernah putus dan sentiasa cukup melainkan golongan yang sombong dan rakus serta tidak tahu untuk bersyukur. Jadilah manusia yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rezeki kepada kita semua dan memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bersyukur.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 7:00 AM