GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin sudah jelas terbukti keunggulannya. Mereka sama sekali tidak meletakkan pangkat, kedudukan, pujian, sanjungan, kemewahan hidup dan kekayaan yang berlipat ganda itu sebagai matlamat yang ingin dicapai, tetapi mereka menjadikan reda Allah SWT sebagai matlamat utama atau matlamat akhir.

Jika disoroti sejarah kepemimpinan Rasulullah SAW dan sahabat itu, didapati tunjang kepemimpinan mereka adalah berteraskan ketauhidan kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, tidak timbul sebarang masalah pada peringkat operasional kepemimpinan mereka. Misalnya, masalah seperti pecah amanah, rasuah, penipuan, penindasan dan sebagainya.

Secara mudahnya, ketauhidan di sini adalah asas keimanan dan keyakinan manusia mengenai kewujudan dan keesaan Allah SWT (maksud Surah al-Ikhlas ayat 1-3). Mereka mengaku bahawa Allah SWT adalah Pencipta, Pemilik dan Penguasa mutlak alam ini. Dengan itu, Allah SWT sahaja yang wajib disembah dan ditaati buat selama-lamanya.

Berasaskan kedudukan tauhid itu, ia diletakkan sebagai asas kepemimpinan berteraskan Islam. Dengan kata lain, ia adalah satu pendekatan yang meletakkan aspek al-Rabbaniyyah (Ketuhanan) sebagai paksi atau tunjang bagi segala usaha yang bersangkutan dengan kepemimpinan. Apabila tauhid ini menjadi tunjang kepada aspek kepemimpinan, maka aspek lain seperti fiqh (hukum amal) dan akhlak (budi pekerti dan tasawuf) bernaung di bawahnya. Maksudnya, tauhid sebagai induk, manakala fiqh dan akhlak berada di bawahnya.

Peletakan tauhid sebagai asas kepemimpinan ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "(Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedangkan Dia tidak mempunyai isteri? Ia pula menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dialah Yang mentadbirkan segala-galanya" (Surah al-An'am ayat 101-102)

Bukan sekadar itu, bahkan nabi dan rasul pun diutuskan dengan membawa risalah tauhid (Surah al-Anbiya' ayat 25). Misalnya, Nabi Nuh AS (Surah al-A'raf ayat 59), Nabi Hud AS (Surah Hud ayat 25-26), Nabi Salih AS (Surah al-Naml ayat 45), Nabi Syu'ayb AS (Surah al-'Ankabut ayat 36), Nabi 'Isa AS (Surah al-Ma'idah ayat 72), Nabi Ya'qub AS (Surah al-Baqarah ayat 133), Nabi Ibrahim AS (Surah al-Mumtahanah ayat 4) dan Nabi Muhammad SAW (Surah al-Kahfi ayat 110).

Tujuan diletakkan tauhid sebagai asas kepimpinan itu adalah bagi menjadikan kepemimpinan yang diterajui berada dalam lingkungan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT (Surah al-Nahl ayat 36); tidak terpisah daripada tujuan beribadah kepada Allah SWT (Surah al-Zariyat ayat 56); mematuhi dan menuruti segala peraturan yang ditetapkan Allah SWT (Surah al-Isra' ayat 23-24); dan sentiasa mengesakan Allah SWT (Surah al-An'am ayat 151-153).

Daripada sudut yang lebih luas dan mendalam, konsep tauhid bertujuan menjalinkan hubungan antara manusia dengan Penciptanya (habl min Allah) dan hubungan sesama manusia (habl min al-nas). Tauhid bukan sekadar satu kalimat, tetapi satu pengajaran falsafah bagaimana membuat perhubungan sesama manusia dengan berpaksikan perhubungan dengan Allah SWT.

Oleh itu, dengan berpaksikan tauhid manusia tidak akan takut dan mengabdikan diri kepada sesama manusia, tetapi hanya takut dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Malah, manusia tidak bertindak dengan sesuka hati tanpa memikirkan pembalasan daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Sebenarnya hal ini menggambarkan fungsi manusia sebagai pelaku pembangunan (khalifah) yang menjalankan tugasnya (hubungan sesama manusia) dan lebih tinggi lagi sebagai hamba yang patuh kepada perintah Allah SWT (hubungan dengan Pencipta).

Hal ini bererti konsep tauhid meletakkan kedudukan manusia pada tahap yang sebenarnya dalam alam ini dan menerangkan kenapa dan untuk apa manusia diciptakan oleh Allah SWT.

Dalam usaha meletakkan tauhid sebagai asas kepemimpinan ini, gambaran mengenai tauhid itu perlu difahami terlebih dahulu. Dalam konsep tauhid ada tiga perkara asas iaitu iman (kepercayaan), 'ilm (pengetahuan) dan 'amal (perlakuan). Iman sangat penting kerana ia memberi maksud kepercayaan dari hati tanpa ragu-ragu yang memberi kesan kepada pemikiran, tingkah laku dan kelakuan manusia dalam kehidupan seharian. 'Ilm pula adalah pengetahuan yang sebenar hasil daripada kepercayaan (iman) yang sebenar, manakala 'amal (perlakuan) yang dibataskan dengan 'ilm dan iman itu akan dihitung oleh Allah SWT sebagai ibadah.

Apabila konsep tauhid ini difahami dengan jelas dan diterapkan dalam aspek kepemimpinan, ia akan membawa kepada penghayatan Islam. Begitu juga dengan segala perubahan yang berlaku dalam aspek kepemimpinan, ia akan menjurus kepada penghayatan Islam.

Dalam hal ini, tauhid wajib diterapkan dalam semua aktiviti kehidupan manusia termasuk bidang kepemimpinan ini. Untuk itu, pemimpin diwajibkan mencorakkan kehidupan diri, masyarakat dan negara mengikut konsep tauhid. Pengabdian diri kepada Allah SWT dalam urusan kepemimpinan adalah bertujuan memandu pemimpin ke arah mencapai kecemerlangan yang mutlak dan berkekalan.

Sebenarnya konsep tauhid mengikat pemimpin Muslim dengan hakikat iman, ilmu dan amal. Tauhid menekankan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai nilai utama yang mengatasi segala nilai lain diwujudkan dalam sistem organisasi kepemimpinan. Ia memberikan implikasi setiap pekerjaan adalah untuk kebaikan manusia dengan matlamat mendapat keredaan Allah SWT, bukan untuk matlamat kebendaan dan kedudukan.

Dalam diri dan jiwa setiap pemimpin Muslim terbentuk keyakinan bahawa Allah SWT itu adalah Pemilik mutlak segala ciptaan-Nya. Segala hasil kekayaan, harta dan sumber di bumi adalah hanya milik-Nya. Pemimpin adalah khalifah di muka bumi yang diamanahkan untuk menjaga, mengurus semua hasil di bumi ini secara baik dan hak.

Sebagai pemegang amanah Allah SWT, manusia perlu menggunakan segala ilmu, harta, kemahiran dan keseluruhan dirinya untuk kepentingan ummah. Kerja dan kegiatan adalah sebagai satu proses ibadah. Motivasinya pula bukan ganjaran dunia, tetapi pengharapan balasan di akhirat. Dengan berasaskan paradigma tauhid, setiap pemimpin Muslim menyedari bahawa kehidupan di dunia mempunyai tujuan lebih jauh dan tinggi daripada kesenangan di dunia iaitu untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat; dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas ayat 77)

Dalam menunaikan tanggungjawab ini, pemimpin Muslim mesti memperlengkapkan diri dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Kedua-dua bahagian ilmu ini tidak boleh dipisahkan. Ia berkait rapat dengan konsep perhambaan dan pengurusan kepimpinan di bumi Allah SWT. Seseorang pemimpin Muslim diwajibkan mempelajari dan menguasai ilmu fardu ain seperti akidah (tauhid), fekah dan akhlak agar mampu menjadi seorang hamba yang baik dan taat kepada Allah SWT. Demikian juga mereka diwajibkan mempelajari ilmu fardu kifayah seperti kepimpinan dan pembangunan bagi melengkapkan diri untuk mengurus dan membangunkan bumi Allah SWT ini.

Oleh itu, kedua-dua ilmu ini iaitu fardu ain dan fardu kifayah perlu dikuasai secara seimbang dengan kefahaman yang betul. Ilmu yang benar menjadi asas kepada amal manusia. Pemimpin Muslim yang mengambil kira konsep tauhid (ilmu fardu ain) akan memastikan ilmu kepimpinan (ilmu fardu kifayah) yang dimiliki dapat meningkatkan kualiti ibadah dan menjadi hamba yang bersyukur dan diredai Allah SWT.

Keyakinan dan ilmu sebegini seterusnya membawa kepada amal soleh. Ia diterjemahkan dalam hubungan manusia dengan Allah SWT (hab min Allah), hubungan sesama manusia (habl min al-nas) dan juga hubungan dengan alam semesta. Nilai-nilai ketuhanan dan kemanusiaan yang bersifat intrinsik (dalaman) mahupun ekstrinsik (luaran) seperti beriman, takwa, berilmu, adil dan amanah yang terkandung dalam akhlak Islam akan mendasari perlakuan pemimpim Muslim dan segala tindakan mereka dalam aktiviti kepimpinan. Segala perlakuan dan aktiviti kepimpinan dilingkungi dengan elemen pahala dan dosa. Dengan kata lain, konsep ubudiyyah (perhambaan) menjadi teras kepada perlakuan dan aktiviti pemimpin Muslim.


Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 6:00 AM