GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Dalam pengurusan kehidupan, konsep yang dominan dalam tasawur lazim seperti dualisme, pengkotakan (compartmentalization) dan pemisahan (dichotomy) masih banyak diguna pakai sedangkan ia jelas bertentangan dengan paradigma tauhid.

Tauhid didefinisikan sebagai mengakui kewujudan dan keesaan Allah SWT dengan berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis. Pengakuan ini merangkumi kepercayaan dengan hati, ikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota badan.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat menjelaskan paradigma tauhid ini. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): '(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya." (Surah al-Ikhlas ayat 1-4)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "(Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimana Dia mempunyai anak sedangkan Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya. Yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu maka beribadahlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dialah yang mentadbirkan segala-galanya." (Surah al-An'am ayat 101-102)

Begitulah juga firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup serta siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?" (Surah Yunus ayat 31)

Semua ayat ini menerangkan tentang hakikat tauhid. Ia bukan sekadar mengakui kewujudan dan keesaan Allah SWT, tetapi juga beriktikad (kepercayaan dan pegangan) dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT adalah Pencipta, Pemilik, Penguasa, Pentadbir dan Pengurus seluruh alam ini. Dengan itu, Allah SWT yang Esa (ifrad) sahaja yang layak disembah, ditaati dan dipatuhi secara mutlak. Ia adalah pengesaan Allah SWT dengan beribadah, tunduk dan taat sepenuhnya.

Semua ini hakikat ketuhanan wajib diimani dan diyakini oleh setiap manusia (pelaku pembangunan) sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di bumi.

Bagi membuktikan tauhid mempunyai kedudukan terpenting dalam kehidupan manusia, al-Quran menjelaskan bahawa penegakan risalah tauhid adalah tugas utama yang dipikul oleh sekalian nabi dan rasul.

Hal ini memperlihatkan tauhid adalah hak Allah SWT terhadap hamba-Nya (al-tawhid haqq Allah 'ala al-'ibad). Ia tidak boleh ditinggal dan diabaikan sama sekali. Bagi mengukuhkan lagi perkara ini, dibawakan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA katanya: 'Ketika aku ditumpangi oleh Rasulullah SAW dan tidak ada penghalang antara diriku dengan baginda kecuali pelepah kayu yang diletakkan di belakang unta, baginda memanggilku: 'Wahai Muaz! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu. Setelah itu baginda teruskan perjalanan dan memanggilku lagi: Wahai Mu'az! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu. Kemudian baginda bertanya: Apakah hak Allah terhadap hamba-Nya? Aku menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Hak Allah terhadap hamba-Nya adalah supaya mereka beribadah kepada-Nya dengan sebenar-benar dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.'" (Riwayat al-Bukhari, No Hadis 6500)

Oleh itu, jelaslah bahawa tauhid paksi atau tunjang bagi segala aspek kehidupan. Dalam usaha peletakan tauhid sebagai tunjang kehidupan ini, gambaran (worldview) tentang tauhid itu perlu difahami terlebih dahulu. Melalui paradigma tauhid gambaran yang jelas tentang Islam akan dapat difahami.

Terdapat tiga komponen utama yang menunjangi paradigma tauhid.

Pertama, al-Ilm (pengetahuan). Ilmu adalah hak dan milik Allah SWT. Manusia hanya dikurniakan sebahagian sahaja daripada ilmu Allah SWT itu. Terdapat tiga sumber ilmu iaitu wahyu, akal dan pengalaman. Ketiga-tiga sumber ilmu ini membawa manusia mengenali (ma'rifah) dan mendekatkan (taqarrub) diri kepada Allah SWT serta mengikuti segala ajaran yang disampaikan oleh rasul-Nya. Dalam erti kata lain, dengan ilmu yang benar akan dapat melahirkan keimanan terhadap Allah SWT. Dengan itu, manusia dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah (pelaku pembangunan) di bumi dengan beribadah kepada Allah SWT serta memakmurkan alam berasaskan paradigma tauhid.

Kedua, al-Iman (kepercayaan). Iman (akidah) ialah kepercayaan dari hati dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu dan syak. Ia adalah lahir daripada ilmu yang benar. Iman yang benar memberi kesan kepada hati, pandangan hidup (tasawur), pemikiran, dan tingkah laku manusia dalam kehidupan seharian. Dengan itu, akan lahirlah keyakinan kepada kewujudan dan keesaan Allah SWT serta komitmen kepada ajaran wahyu yang disampaikan oleh para nabi dan rasul-Nya.

Ketiga, al-Amal (perlakuan). Amal adalah aplikasi hasil daripada gabungan antara ilmu dengan iman yang benar. Kebenaran akidah seseorang dapat diukur melalui usahanya melaksanakan syariat Islam. Pelaksanaan syariat Islam inilah yang dikatakan amal soleh. Dalam al-Quran kedua-dua perkara ini (iman dan amal soleh) tidak dipisahkan. Al-Quran sering menyebut dengan rangkaian orang yang beriman dan beramal soleh.

Banyak ayat al-Quran yang menyatakan hal ini. Antaranya termasuklah firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-Asr ayat 1-3)

Dengan kata lain, kekuatan ilmu dan iman akan mendorong manusia mengerjakan amal soleh iaitu perbuatan baik dengan matlamat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Jelas di sini Islam itu bukanlah semata-mata akidah yang hanya setakat mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT. Malah ia adalah akidah dan syariat yang membimbing manusia kepada seluruh aspek kebaikan dan kebajikan dalam hidup ini. Hal ini bermakna tiada syariat dalam Islam kecuali ada akidah. Ikatan akidah dengan syariat ini tidak boleh dipisahkan sama sekali. Akidah itu menjadi asas yang menggerakkan syariat.

Apabila paradigma tauhid ini difahami dengan jelas dan betul, ia membawa kepada terbentuknya tasawwur al-tawhidi (pandangan tauhid) dalam diri seseorang manusia. Dengan memiliki tasawwur al-tawhidi ini, segala persoalan yang timbul sama ada berkaitan sosial, politik, ekonomi, pembangunan, indeks pembangunan dan sebagainya dapat dilihat daripada sudut pandangan tauhid.

Jika diambil istilah tauhid yang bererti keesaan Allah SWT ini sebagai tunjang dalam ilmu fard 'ayn, akan ditemui bahawa segala sesuatu itu akhirnya akan dikembalikan kepada Allah SWT. Akhirnya hal ini diyakini boleh menyedarkan manusia bahawa Allah SWT adalah yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan begitulah seterusnya.

Daripada sudut yang lain, pendekatan tauhid ini membantu manusia sebagai hamba dan khalifah dalam menyediakan segala bentuk perancangan pengurusan kehidupan mereka secara sepadu dan holistik. Misalnya, perancangan pembangunan, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.

Oleh itu, segala perubahan yang berlaku dalam sosial, politik, ekonomi, pembangunan, indeks pembangunan dan sebagainya itu akan menjurus kepada matlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Kesan daripada reda Allah SWT itu ialah mendapat al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat.


Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 12:00 AM