GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Shukri Hanapi

Isu penggunaan kalimah Allah adalah isu asas yang paling besar dalam agama Islam. Dalam setiap agama, tonggak yang paling besar ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan yang disembah.

Al-Quran telahpun menjelaskan terdapat perbezaan antara akidah Islam dengan ajaran anutan agama-agama lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun ayat 8). Maksudnya, Allah SWT yang disembah oleh umat Islam tidak sama dengan  Jesus,  Lord,  Father  God  dan  Holy Spirit  yang dianuti oleh penganut Kristian. Begitulah juga Allah SWT tidak boleh disamakan dengan dewa, berhala dan sebagainya.

Dalam Islam, akidah tauhid iaitu mengesakan Allah SWT itu adalah sangat penting. Malahan sudah menjadi salah satu daripada amalan hidup Islam, Allah SWT itu sentiasa ada bersama-sama dengan orang beriman pada setiap masa dan sentiasa diucapkan-Nya. Misalnya, ketika hendak makan, minum, berjalan, menaiki kenderaan, tidur dan masuk serta keluar tandas diucapkan  basmalah, bayi yang baru lahir ke dunia juga disambut dengan azan dan kalimah Allah, malah orang yang sedang nazak pun diajarkan kalimah  syahadah. Hal ini mempamerkan bahawa kalimah Allah sentiasa berada dalam diri orang yang beriman dan juga asas akidah tauhid.

Jika diteliti pula penggunaan kalimah Allah SWT dalam al-Quran, misalnya dalam Surah al-Baqarah (2) yang mengandungi 286 ayat, didapati kalimah Allah diulang sebanyak 279 kali. Hal ini menunjukkan hampir setiap ayat dalam surah tersebut ada disebut kalimah Allah. Malah ada juga surah yang bilangan pengulangan kalimah Allah dalamnya melebihi bilangan ayatnya, misalnya dalam Surah al-Mujadalah (58) yang mengandungi 22 ayat, diulang kalimah Allah sebanyak 34 kali. Menurut Nurul Izzah Sidek dalam artikelnya yang bertajuk  Pemahaman Konsep Allah, pengulangan kalimah Allah dalam al-Quran melebihi 20,000 kali. Dalam mengerjakan solat lima waktu sehari semalam pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat. Hal ini mempamerkan betapa dekatnya kalimah Allah dengan umat Islam.

Umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa menyebut dan menulis kalimah Allah daripada kitab suci al-Quran. Kalimah Allah ini tidak diterjemahkan ke bahasa masing-masing, kerana ia tidak mampu diterjemahkan ke bahasa lain. Untuk melihat pendirian Islam berhubung perkara ini, umat Islam terlebih dulu perlu merujuk al-Quran dan hadis.

Dalam al-Quran ada dinyatakan kisah golongan musyrikin yang menyebut kalimah Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Maka sudah tentu mereka akan menjawab, Allah. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (daripada menyembah dan mengesakan-Nya)? Dan (Dialah Tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku (Allah)! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang enggan beriman (maka terserahlah kepadamu untuk mengadilinya)." (Surah al-Zukhruf ayat 87-88)

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya jika Engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik)." (Surah al-'Ankabut ayat 63)

Ayat-ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang mempamerkan golongan bukan Islam sedar dan mengakui bahawa Allah SWT sebagai Pencipta, Pengurus dan Pentadbir alam semesta ini. Malah dalam ayat 63 daripada al-'Ankabut Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW bersyukur apabila golongan bukan Islam mengakui Allah SWT yang menurunkan hujan dan menciptakan alam ini.

Masalahnya di sini apabila golongan  musyrik sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 87-88 daripada Surah al-Zukhruf dan ayat 63 daripada Surah al-'Ankabut hanya mengakui Allah SWT sebagai Pencipta, Pengurus dan Pentadbir alam semesta ini, namun mereka ingkar bila diajak menyembah Allah SWT. Akidah mereka terpesong apabila mereka menjadikan berhala-berhala yang mereka sembah seperti  Latta  dan  'Uzza  sebagai perantara antara mereka dengan Allah SWT.

Selain itu, ketika menjelaskan tujuan peperangan untuk mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya tanpa sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Jika Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." (Surah al-Hajj ayat 40)

 Dalam ayat ini jelas diakui bahawa tempat-tempat ibadah itu banyak disebut nama Allah SWT.

 Adapun dalam hadis mengenai perjanjian damai Hudaibiyah antara Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin Quraisy Makkah diwakili Suhail bin 'Amr, Rasulullah SAW bersabda: "Barangkali aku boleh tulis bismillahirrahmanirrahim. Lalu Suhail berkata: Adapun bismillah (dengan nama Allah) kami tidak tahu apa itu bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu bismikallahumma (dengan nama-Mu ya Allah)." (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, jelas Rasulullah SAW menerima bantahan itu. Ternyata di sini mereka ada menggunakan nama Allah.

Meskipun nampak seperti tiada larangan daripada al-Quran dan hadis berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam, namun Allah SWT tetap melarang dakwaan Dia adalah satu daripada yang tiga (triniti), yakni kepercayaan tentang kewujudan tiga entiti membentuk satu Tuhan. Dalam triniti, ada disebut anak Tuhan (Nabi Isa AS). Allah SWT berfirman yang bermaksud:  "Sesungguhnya kafirlah mereka yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada yang tiga (triniti). Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan (Allah) Yang Maha Esa." (Surah al-Maidah ayat 73)

Dalam akidah Islam, Nabi Isa AS adalah seorang Rasul yang mulia. Rasul bukan anak Tuhan, tetapi ia manusia yang dipilih Allah SWT untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada manusia. Di sini wujud perbezaan besar antara akidah Islam dengan agama lain.

Oleh itu, kedudukan Allah SWT dalam akidah tauhid tidak boleh sama sekali disamakan dengan apa juga. Maka penggunaan kalimah Allah dalam Islam adalah selari dengan akidah tauhid, yakni merujuk kepada Allah Yang Esa dan sama sekali tidak secocok dengan konsep triniti. Justeru, sekiranya nama Allah digunakan dengan sesuka hati, ia akan menimbulkan kekeliruan berhubung Allah dalam konteks akidah Islam dan Allah dalam pemahaman ajaran agama lain. Jika ini terjadi, dibimbangi kedua-dua agama akan disamakan sedangkan pada hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza.

Perlu ditegaskan penggunaan  God  adalah konotasi Tuhan secara umum, manakala Allah SWT adalah khusus sama ada dari segi makna dan segala sifat-Nya. Justeru, hakikat Allah SWT adalah bersifat Esa dan bukannya berbilang-bilang. Oleh itu, atas sebab-sebab  maslahah 'ammah  (kemaslahatan umum) orang bukan Islam tetap dilarang menggunakan kalimah Allah. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh mengelirukan akidah umat Islam dan menimbulkan ketegangan hubungan antara agama.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 7:00 AM