GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Dr  Mohd Shukri Hanapi

Akidah tauhid adalah perkara yang paling asas dalam agama Islam dan wajib dipertahankan oleh setiap umat Islam. Ia berhubungan dengan iman kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Dalamnya terangkum pengakuan tentang kewujudan dan keesaan Allah SWT dengan berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Hadis. Pengakuan ini dimulai kepercayaan dengan hati, kemudian berikrar dengan lidah dan seterusnya dibuktikan dengan amalan.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang akidah tauhid ini. Antaranya seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tidak beranak, dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya." (Surah al-Ikhlas ayat 1-4)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?" (Surah Yunus ayat 31)

Ayat-ayat ini menerangkan tentang hakikat tauhid. Ia bukan sekadar mengakui kewujudan dan keesaan Allah SWT, tetapi juga beriktikad (kepercayaan dan pegangan) dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT merupakan Pencipta, Pemilik, Penguasa, Pentadbir dan Pengurus seluruh alam ini.

Dengan kata lain, hanya Allah SWT yang berkuasa dan mempunyai hak ketuanan ke atas segala sesuatu tanpa sebarang persekutuan dan perkongsian dengan sesiapa pun. Oleh itu, Allah SWT yang Esa (ifrad) saja yang layak disembah, ditaati dan dipatuhi secara mutlak. Ia pengesaan Allah SWT dengan beribadah, tunduk dan taat sepenuhnya.

Semua ini hakikat ketuhanan yang wajib diimani dan diyakini oleh setiap manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Lagipun ia hakikat hubungan antara manusia dengan Allah SWT atau dikenali sebagai hak Allah SWT terhadap hamba-Nya. Segala urusan diserahkan kepada Allah SWT yang mencipta segala sesuatu.

Bagi membuktikan tauhid mempunyai kedudukan terpenting dalam kehidupan manusia, al-Quran menjelaskan penegakan risalah tauhid merupakan tugas utama yang dipikul oleh para Nabi dan Rasul (Surah al-Anbiya' ayat 25 dan Surah al-Mu'minun ayat 32). Misalnya, Nabi Nuh AS (Surah al-A'raf ayat 59), Nabi Hud AS (Surah Hud ayat 25-26 & 50), Nabi Salih AS (Surah al-Naml ayat 45), Nabi Syu'ayb AS (Surah al-'Ankabut ayat 36), Nabi 'Isa AS (Surah al-Ma'idah ayat 72), Nabi Ya'qub AS (Surah al-Baqarah ayat 133), Nabi Ibrahim AS (Surah al-Mumtahanah ayat 4) dan Nabi Muhammad SAW (Surah al-Kahfi ayat 110). Risalah tauhid yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul ini adalah bagi menetap dan memelihara pegangan iman seseorang hamba daripada perkara syirik. 

Hal ini mempamerkan tauhid merupakan hak Allah SWT terhadap para hamba-Nya (al-tawhid haqq Allah 'ala al-'ibad). Ia tidak boleh ditinggal dan diabaikan sama sekali, apatah lagi dipermain-mainkan atau dicaci-cela.

Bagi mengukuhkan lagi perkara ini dibawakan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Diriwayatkan daripada Mu'az bin Jabal RA katanya: "Ketika aku ditumpangi oleh Rasulullah SAW dan tidak ada penghalang antara diriku dengan Baginda kecuali pelepah kayu yang diletakkan di belakang unta, Baginda memanggilku: Wahai Mu'az! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu. Setelah itu Baginda teruskan perjalanan dan memanggilku lagi: Wahai Mu'az! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu. Kemudian Baginda bertanya: Apakah hak Allah terhadap hamba-Nya? Aku menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Hak Allah terhadap hamba-Nya adalah supaya mereka beribadah kepada-Nya dengan sebenar-benar dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun." (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, jelaslah tauhid merupakan paksi atau tunjang bagi segala aspek kehidupan. Dalam usaha meletakkan tauhid sebagai tunjang kehidupan ini, gambaran (worldview) tentang tauhid itu perlu difahami terlebih dahulu. Melalui akidah tauhid gambaran yang jelas tentang Islam dapat difahami.

Terdapat tiga komponen utama akidah tauhid, iaitu:

Pertama: 'Ilm (Pengetahuan). Ilmu merupakan hak dan milik Allah SWT. Manusia dikurniakan sebahagian saja daripada ilmu Allah SWT itu. Terdapat tiga sumber ilmu iaitu wahyu, akal dan pengalaman. Ketiga-tiga sumber ilmu ini membawa manusia mengenali (ma'rifah) dan mendekatkan (taqarrub) diri kepada Allah SWT serta mengikuti segala ajaran yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Dalam erti kata lain, dengan ilmu yang benar akan dapat melahirkan keimanan terhadap Allah SWT. Dengan itu, manusia dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT (pelaku pembangunan) dengan beribadah kepada Allah SWT dan memakmurkan alam berasaskan paradigma tauhid.

Kedua: Iman (Kepercayaan). Iman (akidah) ialah kepercayaan dari hati dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu dan syak. Ia lahir daripada ilmu yang benar. Iman yang benar memberi kesan kepada hati, tasawur, pemikiran, dan tingkah laku manusia dalam kehidupan seharian. Dengan itu, akan lahirlah keyakinan kepada kewujudan dan keesaan Allah SWT serta komitmen kepada ajaran wahyu yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul-Nya.

Ketiga: 'Amal (Perlakuan). Amal merupakan aplikasi hasil daripada gabungan antara ilmu dengan iman yang benar. Kebenaran iman (akidah) seseorang dapat diukur melalui usahanya melaksanakan syariat Islam. Pelaksanaan syariat Islam inilah yang dikatakan amal soleh. Dalam al-Quran kedua-dua perkara ini (iman dan amal soleh) tidak dipisahkan. Al-Quran sering menyebut dengan rangkaian orang yang beriman dan beramal soleh. Banyak ayat yang menyatakan hal ini. Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Surah al-'Asr ayat 1-3)

Dengan kata lain, kekuatan ilmu dan iman akan mendorong manusia mengerjakan amal soleh iaitu perbuatan baik dengan matlamat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Amalan yang sedemikian rupa akan dihitung oleh Allah SWT sebagai ibadah. Selain mendorong manusia melakukan amal soleh, kekuatan ilmu dan iman juga dapat menghindari manusia daripada melakukan al-fasad iaitu perbuatan yang membawa kepada kerosakan.

Jelaslah Islam itu bukan semata-mata akidah yang hanya setakat mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT. Malah ia adalah akidah dan syariat yang membimbing manusia kepada seluruh aspek kebaikan dan kebajikan dalam hidup ini. Hal ini bermakna tiada syariat dalam Islam kecuali ada akidah. Ikatan akidah dengan syariat ini tidak boleh dipisahkan sama sekali. Akidah itu menjadi asas yang menggerakkan syariat.

Apabila akidah tauhid ini difahami dengan jelas dan betul, ia membawa kepada terbentuknya tasawwur al-tawhidi (tasawur tauhid) dalam diri seseorang manusia. Dengan memiliki tasawwur al-tawhidi ini, segala persoalan yang timbul sama ada berkaitan sosial, politik, ekonomi, pembangunan, indeks pembangunan dan sebagainya dapat dilihat dari sudut pandangan tauhid.

Jika diambil istilah tauhid yang bererti keesaan Allah SWT ini sebagai tunjang dalam ilmu fard 'ayn, akan ditemui segala sesuatu itu akhirnya akan dikembalikan kepada Allah SWT yang Maha Esa. Akhirnya hal ini diyakini boleh menyedarkan manusia bahawa Allah SWT adalah yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan seterusnya.

Oleh itu, segala perubahan yang berlaku dalam sosial, politik, ekonomi, pembangunan, indeks pembangunan dan sebagainya itu akan menjurus kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah SWT. Kesan dari reda Allah SWT itu ialah mendapat al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat. 

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 7:00 AM