SETIAP Muslim harus menyempurnakan segala amalan ibadat sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. FOTO AFP
SETIAP Muslim harus menyempurnakan segala amalan ibadat sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. FOTO AFP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Menurut al-Quran, salah satu ciri orang yang bertakwa adalah orang yang selalu berbuat ihsan dalam kehidupan sehariannya. Jika kita perhatikan dalam al-Quran dari sebanyak enam belas kali ayat yang mengandungi kalimah 'Allah mencintai' terdapat lima di antaranya disandarkan kepada orang-orang yang berbuat ihsan iaitu muhsinin. 

Menurut ulama tafsir al-Raghib al-Ashfahani, ihsan itu bermakna melimpahkan kenikmatan atau kebajikan kepada pihak lain baik secara fizikal mahupun spiritual. Di samping itu, ketundukan manusia secara tulus ikhlas  kepada Allah SWT juga termasuk dalam pengertian ihsan sebagai mana dapat difahami daripada firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya." (Surah al-Nisa', ayat 125).

Selain itu, pemberian maaf oleh seseorang kepada pihak lain yang bersalah juga disebut sebagai  ihsan. Allah berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."  (Surah Ali Imran, ayat 134)

Bagi kaum sufi, ihsan adalah ibadah yang disertai sifat keinsafan rohani yang amat mendalam sehingga memiliki pengaruh secara moral. Nabi SAW menyuruh kita supaya melakukan ibadah seperti itu sebagai mana dalam sebuah hadis yang panjang dari Abu Hurairah RA, di mana Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi SAW dan di sana ada menyebut mengenai maksud ihsan.

"Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab: 'Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.'" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, ibadah yang digambarkan dalam hadis ini, memperlihatkan kesempurnaan iman dan kesedaran rohani yang sangat tinggi, juga memperlihatkan rasa cinta dan pengenalan manusia kepada Allah yang sangat tinggi. Sebagai konsep yang mengandung idea peningkatan kualiti ibadah dan kebajikan, ihsan menurut al-Jauziyah memiliki tiga tingkatan sebagai mana berikut:  

Pertama kebaikan dalam niatnya, di mana setiap orang harus mengarahkan perhatiannya menuju Allah SWT. Pada tingkat ini, seseorang harus memasang niat dan motivasi yang kuat. Namun, ia harus membekalkan dirinya dengan ilmu supaya niat dan tujuannya tidak melencong dan keluar dari syariat Islam.

Kedua kebaikan dalam sikap dan perilaku. Pada tingkat ini, seseorang harus mampu menjaga dan memelihara kebaikan sikap dan perilakunya secara konsisten. Tanpa pemeliharaan ini, kebaikan sikap dan perilaku itu akan hilang dan lenyap. Selanjutnya, dia harus berusaha menjadikan kebaikan sikap dan perilaku itu sebagai penampilannya sehingga tidak mudah dipengaruhi oleh situasi dan cabaran yang mendatang. Namun, pada tingkat ini, dia harus tetap menyembunyikan dan merahsiakan kebaikan-kebaikannya kerana memperlihatkan kebaikan bukanlah cara hidup orang-orang yang bertakwa. Sebaliknya, memperlihatkan kebaikan secara terbuka dapat diterima jika memang ada kepentingan untuk itu atau dipandang boleh membawa kemaslahatan yang lebih besar kepada orang lain.

Ketiga kebaikan dalam waktu. Pada tingkat ini, seseorang harus berusaha supaya sepanjang waktu dia dapat menyaksi Allah iaitu yang disebut musyahadah. Di sini, dia harus menjaga cita-cita dan perhatiannya supaya tidak beralih kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Dia juga harus mengarahkan seluruh perjalanan hidupnya hanya menuju kepada Allah. Pada tingkat ini, ihsan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya.

Pada tingkat yang paling tinggi ini, ihsan akan memperlihatkan kematangan tauhid, ajaran Islam yang paling fundamental. Tauhid adalah kunci syurga. Maka, tidak ada balasan ihsan kecuali syurga yang penuh kenikmatan. Menurut al-Jauziyah lagi, inilah makna firman Allah yang bermaksud: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga." (Surah al-Rahman, ayat 60)

Justeru, setiap Muslim hendaklah menyempurnakan segala amalan ibadat sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. Wadah ini penting supaya amalan diterima tanpa sebarang cacat cela dan memperoleh ganjaran berlipat ganda di sisi Allah.

Ibadat solat contohnya, setiap Muslim dituntut memelihara segala syarat dan rukun solat dengan sempurna di samping dituntut khusyuk serta tawaduk supaya solat itu dapat mencegahnya daripada kemungkaran dan maksiat. Firman Allah yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Perlu diingat konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah semata-mata, malah ihsan juga merangkumi perbuatan dan perlakuan sesama manusia, sama ada bersangkutan perkara duniawi atau ukhrawi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara." (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Asfahani mentafsirkannya ihsan dalam muamalat dengan dua pengertian iaitu memberikan limpahan nikmat untuk kesejahteraan dan kepentingan pihak lain, selain mempertingkatkan kualiti kerja. Pengertian pertama dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam komuniti Islam. Dalam lingkungan kekeluargaan, setiap unit dalam keluarga iaitu ibu, bapa, anak, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab serta rasa saling hormat menghormati.

Pengertian kedua daripada skop ihsan dalam muamalat yakni mempertingkatkan kualiti kerja amat bergantung kepada dua syarat utama iaitu ilmu pengetahuan menyeluruh dan ketrampilan kemahiran yang mantap. Tanpa kedua-dua syarat itu, tidak akan lahir perbuatan atau kerja yang berkualiti ihsan. 

Demikianlah konsep ihsan yang perlu difahami, dihayati serta dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan. Penghayatan secara menyeluruh terhadap konsep ihsan membolehkan manusia mencapai matlamat yang diimpikan ke arah melahirkan individu bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:15 AM