MENGHAYATI secara amali semampu mungkin semua yang berkaitan sunah Nabi SAW antara kaedah mengelak daripada terjerumus kesesatan.
MENGHAYATI secara amali semampu mungkin semua yang berkaitan sunah Nabi SAW antara kaedah mengelak daripada terjerumus kesesatan.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Kejahilan mengenai kedudukan Nabi SAW antara punca utama kemunculan pelbagai fahaman menyeleweng daripada landasan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ).

Antaranya, fahaman yang menganggap Nabi SAW hanyalah manusia biasa yang diberikan wahyu oleh Allah SWT. Maka, tiada apa-apa yang istimewa padanya selain daripada itu. Ibarat seorang posmen yang menghantar sepucuk surat, kemudian berlalu pergi. Maka, sebagai manusia biasa beliau juga tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap. Justeru, yang sewajarnya dipegang menurut mereka hanyalah al-Quran semata-mata.

Lebih dahsyat lagi daripada itu, fahaman yang menganggap Nabi Muhammad SAW sebenarnya adalah Allah SWT. Ia sekali gus menggabungkan fahaman sesat Batiniyyah dan Mujassimah. Sedangkan, seorang Mukmin yang waras pasti tidak akan tergamak untuk menyatakan kalimah kufur sedemikian. Namun sedihnya, fahaman sesat sejauh ini pun masih mendapat sambutan daripada segelintir masyarakat.

Jelasnya, semua ini berpunca akibat tiada ilmu dan jahil mengenai hakikat sebenar kedudukan Nabi SAW. Lalu apabila datang fahaman yang dianggap 'luar biasa', mereka menganggapnya sebagai ajaran sebenar yang patut diikuti. Walhal, mufti, ulama, khatib dan ustaz bertauliah sentiasa sahaja bertungkus-lumus siang malam mencurah ilmu, peringatan serta nasihat kepada masyarakat Islam. Namun ketahuilah, jika hati sudah ditutup untuk mengikuti alim ulama, ia pasti akan dibuka untuk mengikuti golongan selain daripada mereka!

Maka, adalah amat penting bagi umat Islam mempelajari, memahami dan mengenali hakikat kedudukan Baginda Nabi SAW dengan sebenar-benarnya. Hanya dengan cara ini mereka akan lebih mencintai Nabi SAW dan mempertahankan ajarannya lebih daripada segalanya. Inilah ubat dan penawar mujarab bagi kejahilan yang boleh menjerumuskan seorang Muslim kepada kesesatan yang hina.

Antara langkah yang mesti dilaksanakan bagi memperolehnya ialah pertama, mempelajari dan membaca hadis Nabi SAW. Sangat banyak kitab hadis yang telah disusun oleh ulama hadis daripada yang sebesar-besarnya hingga yang sekecil-kecinya, manfaatkan semua kitab ini dengan sebaik-baiknya. Membaca kitab hadis boleh dimulakan dengan kitab kecil seperti Hadis 40 Imam an-Nawawi, kitab Riyadh as-Solihin sehingga kitab-kitab hadis yang besar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud dan sebagainya.

Kedua, mempelajari dan membaca sirah Nabi SAW yang menceritakan secara lengkap perjalanan hidup dan perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Ulama telah menyusun pelbagai versi kitab sirah daripada yang berbentuk ringkas sehinggalah yang berbentuk tebal dan terperinci, sama ada karya klasik seperti Sirah Ibn Hisyam mahupun karya moden seperti ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri, pemenang karya sirah terbaik dalam Pertandingan Penulisan Sirah Nabawiyyah Sedunia pada 1979. Dengan menghayati sirah, mampu menambahkan lagi kecintaan seorang Muslim kepada Nabi SAW. Bahkan, ia adalah antara ilmu asas yang wajib dipupuk dalam jiwa sejak peringkat kanak-kanak.

Ketiga, mempelajari dan membaca syama'il Nabi SAW yang secara khusus membicarakan mengenai peribadi agungnya sama ada daripada aspek jasmani mahupun rohani, fizikal mahupun spiritual. Terdapat banyak kitab yang dihasilkan mengenai syama'il Nabi SAW. Antara kitab yang terawal dan termasyhur ialah as-Syama'il al-Muhammadiyyah oleh Imam at-Tirmizi. Antara kitab terbaik mengenainya juga ialah as-Syifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadhi 'Iyadh yang membicarakan mengenai hak Nabi SAW yang wajib diketahui oleh setiap Muslim.

Keempat, menelaah dan membaca kisah sahabat RA dalam mencintai Nabi SAW dan mengikuti sunahnya. Ini kerana mereka adalah golongan manusia yang terbaik sesudah nabi dan rasul AS. Perjuangan dan ketaatan mereka tentunya suri teladan yang unggul bagi umat Islam dalam mematuhi segala petunjuk Nabi SAW. Antara kitab yang terkenal mengenainya ialah Hayat as-Sahabah RA oleh Syeikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi.

Kelima, menghayati secara amali semampu mungkin semua yang berkait dengan sunah Nabi SAW daripada perihal cara tidur, bangun tidur, masuk dan keluar tandas, masuk dan keluar masjid, berserta segala bacaan doanya, berselawat atasnya sehinggalah semua hal sunat yang mengiringi segala ibadah fardu yang dilaksanakan. Termasuk juga menyiar dan menyebarkan kecintaan terhadap Nabi SAW, khususnya pada munasabah tertentu seperti Maal Hijrah, Maulid Nabi, Israk Mikraj, puasa Ramadan dan musim haji.

Dengan mengamalkan semua langkah ini, insya-Allah mampu mengukuhkan rasa cinta terhadap Nabi SAW, di samping memelihara akidah seseorang Muslim daripada mudah terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang menyimpang daripada pegangan ASWJ.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 6:00 AM