MASJID Nabawi di Madinah yang menempatkan makam Rasulullah. Ada hadis palsu mengenai kelebihan menziarahi
MASJID Nabawi di Madinah yang menempatkan makam Rasulullah. Ada hadis palsu mengenai kelebihan menziarahi
Dr Mohd Khafidz Soroni

Ahli ilmu yang menguasai disiplin ilmu usul, hadis dan fiqah dengan cukup baik boleh memahami jika dikatakan: "Hadis palsu tidak bererti amalannya palsu." Mereka juga boleh memahami jika istilah 'palsu' ditukar dengan istilah 'sahih' demikian: "Hadis sahih tidak bererti amalannya sahih." Ini kerana ada hadis sahih yang mansukh (tidak lagi diguna hukumnya), khusus untuk Nabi SAW, berlaku percanggahan dengan dalil sahih yang lebih kuat, ada kekeliruan pada matan dan sebagainya.

Namun, rupanya terdapat segelintir orang yang memahami frasa itu di luar konteksnya. Lebih parah lagi apabila kefahamannya yang salah itu dijadikan bahan untuk menyerang orang yang tidak pun memahami frasa berkenaan seperti fahamannya itu dengan tuduhan membela hadis palsu dan seumpamanya.

Padahal dari segi hukum semua mengetahui haramnya meriwayat dan menyebarkan hadis palsu dengan sengaja serta pelakunya dikira berdosa besar kerana berdusta ke atas Nabi SAW dengan diancam masuk ke dalam api neraka.

Hakikatnya frasa itu boleh difahami dengan mudah iaitu: 'Hadis palsu tidak semestinya bererti amalan yang disebutkan oleh hadis itu juga palsu.' Bukan difahami dengan maksud: 'Hadis palsu tidak bererti mengamalkannya juga palsu.' Dua fahaman yang sangat jauh berbeza.

Fahaman pertama, maksudnya cukup jelas iaitu amalan yang disebutkan oleh hadis palsu itu boleh jadi sahih sabit melalui hujah dan dalil yang lain bukan bersandarkan kepada hadis palsu berkenaan. Ini yang sering diungkapkan oleh ulama terhadap sesuatu hadis: 'Tidak sahih, tetapi maknanya sahih' atau 'Tiada sumber asal, tetapi maknanya sahih' disebabkan ada hujah serta dalil lain yang sahih dan menjadi asas kepada apa yang disebutkan dalam hadis berkenaan.

Sedangkan fahaman kedua, maksudnya ialah boleh mengamalkan hadis palsu! Walhal, amat jelas hatta pelajar hadis biasa pun mengetahui hukum mengamalkan hadis palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW secara sengaja adalah haram serta berdosa. Melainkan orang yang mengamalkannya tanpa mengetahui ia palsu boleh jadi akan dimaafkan.

Walaupun sesuatu hadis itu jelas palsu dan bukan daripada Nabi SAW, namun tiada halangan untuk kita melihat bagaimana bentuk isi kandungannya. Jika asalnya adalah kata-kata hikmah, ulama atau orang soleh maka perlu dinisbahkan semula kepada kata-kata hikmah, ulama atau orang soleh itu bukan lagi kepada Nabi SAW. Contohnya: 'Dunia adalah ladang akhirat, Cinta tanah air sebahagian daripada iman, Siapa kenal dirinya maka dia kenal Tuhannya' (kata-kata ini menjadi kaedah muktabar dalam disiplin ilmu tasawuf), 'Tuntutlah ilmu daripada buaian sampai ke liang lahad dan Kebersihan sebahagian daripada iman.'

Malah ada juga hadis palsu yang kandungannya adalah pegangan ijmak Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ), seperti 'al-Quran adalah kalam Allah bukannya makhluk, Iman itu boleh bertambah dan berkurang, Iman ialah mengenal dengan hati, mengucapkan dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota badan' (dengan makluman hadis terakhir ini diperselisihkan statusnya antara palsu dan daif).

Tiada seorang pun ulama ASWJ mengatakan makna terkandung dalam hadis itu tertolak. Bahkan, sesiapa yang tidak berpegang dengan kandungannya ini dianggap terkeluar daripada fahaman ASWJ. Hanya ia tidak boleh dinisbahkan sebagai hadis Nabi SAW. Adapun jika teksnya adalah hasil rekaan orang yang mereka-rekanya maka ia perlu dilemparkan serta tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai sandaran hukum dan sebagainya. Bagaimanapun, apa yang dikandung oleh hadis palsu itu barangkali sesuatu yang sahih sabit melalui hujah dan dalil yang lain. Justeru, apa yang dipegang atau diamalkan adalah berdasarkan hujah dan dalil lain itu, bukannya hadis palsu berkenaan. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan: 'Hadis palsu tidak bererti amalannya palsu'.

Misalnya, ada hadis palsu tentang kelebihan puasa Rejab maka bukan bererti tidak perlu berpuasa sunat pada bulan itu. Atau ada hadis palsu mengenai kelebihan puasa sunat tarwiyah maka bukan bererti tidak perlu berpuasa sunat pada hari berkenaan. Atau ada hadis palsu kelebihan menziarahi makam Nabi SAW maka bukan bererti tidak perlu langsung menziarahi makam baginda SAW.

Jelasnya, tiada ilmuwan ASWJ yang waras akan mempertahankan hadis palsu apabila sudah jelas nyata lagi terang kepalsuannya. Maka, janganlah suka mengatakan apa yang tidak diperkatakan, walaupun ia orang yang kita tidak suka atau tidak sealiran dengan kita sekalipun. Jangan lupa bahawa hukumnya adalah haram dan berdosa.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:00 AM