Al-Quran adalah sebuah kitab suci mengandungi wahyu daripada Allah SWT yang tidak perlu diragui kebenarannya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2, bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa". Berdasarkan ayat tersebut, para ulama tafsir menjelaskan bahawa al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sama sekali tidak mengandungi keraguan, dan menjadi petunjuk yang berguna hanya bagi orang yang bertakwa iaitu golongan yang takut melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah serta taat melaksanakan kewajipan yang diperintahkan. Beriman kepada kitab-kitab Allah juga adalah salah satu dari rukun iman yang enam sepertimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 136 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkan lah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan malaikat-Nya, dan kitabNya, dan RasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."
Kebenaran al-Quran tidak hanya diyakini oleh kaum Muslimin, tetapi turut diakui oleh sebahagian orang kafir. Menurut catatan sejarah, Walid bin al-Mughirah iaitu seorang tokoh pembesar kafir Quraisy pada awalnya secara jujur mengakui, bahawa al-Quran bukanlah sebuah syair atau rekaan Nabi Muhammad SAW. Beliau juga mengagumi keindahan bait-bait dan keunggulan maksud ayat-ayat suci al-Quran namun akhirnya menuduh al-Quran sebagai perbuatan sihir akibat keangkuhan dan kesombongan kerana merasa terpinggir apabila wahyu al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW. Perkara itu dirakamkan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Muddaththir ayat 18-25 yang bermaksud: "Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap a l-Quran.
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci aAl-Quran, tetapi ia gagal); Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut; Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh serta ia berkata: "(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!"
Penolakan terhadap kebenaran wahyu al-Quran berlaku sejak zaman awal kemunculan dakwah Islam. Situasi itu diceritakan dalam surah Yunus ayat 38 yang bermaksud : "(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!". Sebaliknya Allah SWT sendiri mencabar golongan yang menolak kebenaran al-Quran supaya membawakan hujah yang lebih baik sepertimana Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud : "Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada penolakan al-Quran seperti sifat jahil, sombong dan angkuh. Perkara berkenaan dijelaskan dalam surah al-Ghafir ayat 35 yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!"
Namun, sehingga kini, al-Quran kekal sebagai mukjizat yang memberikan pencerahan kepada umat manusia. Isi kandungannya menjadi panduan dan pedoman dalam segenap aspek kehidupan. Bahkan keindahan al-Quran menjadi asbab golongan bukan Islam terpaut hati dengan ajaran Islam. Bukan sedikit peristiwa orang bukan Islam menerima ajaran Islam akibat terkesan dengan keindahan alunan bacaan dan makna yang tersirat di dalam ayat-ayat suci al-Quran. Sebagai contoh, kisah bekas paderi yang bernama Samuel Shropshire dari Amerika Syarikat yang menarik perhatian masyarakat apabila dikatakan mendapat hidayah kerana pekerjaannya sebagai penterjemah al-Quran dalam bahasa Inggeris di Arab Saudi. Disebabkan tugasan yang memerlukan beliau membaca al-Quran berulang kali, beliau pada awalnya langsung tidak tahu apa-apa tentang Islam akhirnya tertarik hati kepada ajaran Islam setelah membaca pelbagai kisah dan mukjizat Nabi yang diceritakan dalam al-Quran.
Beberapa siri tindakan provokatif membakar al-Quran di Sweden termasuk yang terkini dilakukan ketika umat Islam menyambut ketibaan Aidiladha amat wajar menerima bantahan dan kecaman masyarakat di seluruh dunia. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengumumkan bakal mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap perlakuan membakar kitab suci al-Quran serta menyatakan pendirian menolak perbuatan keji tersebut. Kerajaan Malaysia pula konsisten secara tegas menyuarakan bantahan dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut melalui Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.
Perdana Menteri Malaysia juga mencetuskan idea percetakan sejuta naskhah al-Quran untuk melawan naratif pelampau yang bertindak membakar al-Quran. Ihktiar itu disifatkan sebagai kaedah yang paling berfaedah sebagai tindak balas kepada kebiadapan yang dilakukan terhadap kitab suci al-Quran disusuli dengan beberapa program penghayatan dan pemahaman al-Quran. Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Restu dan Yayasan Waqaf Malaysia bekerjasama menggerakkan Kempen Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran dengan sasaran untuk mencetak sejuta al-Quran dalam pelbagai bahasa seterusnya diedarkan ke seluruh dunia. Orang ramai bolehlah merebut ganjaran pahala dengan mewakafkan tunai sebanyak RM38 bagi senaskhah al-Quran melalui Yayasan Waqaf Malaysia bagi bersama-sama menjayakan agenda tersebut. Usaha berkenaan adalah langkah progresif untuk meningkatkan perasaan saling memahami dan menghormati, memupuk budaya toleransi agama serta keharmonian dalam kalangan masyarakat selaras dengan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) yang menggalakkan dialog peradaban ke arah mengukuhkan perpaduan ummah.
Hakikatnya Allah SWT telah berjanji untuk memelihara al-Quran dari sebarang ancaman dan penyelewengan di sepanjang zaman sebagaimana firmanNya dalam surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)