GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Datuk Mohd Ajib Ismail

DI  dalam  sejarah  Islam,  pernah  dikisahkan  tentang seorang  lelaki  tempang  bernama  Amr bin  al-Jamuh yang  syahid  di  dalam  peperangan  Uhud.  Beliau termasuk  dalam  kalangan  para  sahabat  Rasulullah  SAW  yang  memiliki  alasan  yang  dibenarkan  syariat  untuk tidak  menyertai  peperangan  kerana  ketempangannya.  Namun  keadaan  tersebut  tidak  melunturkan semangatnya  untuk  ikut  berperang.  Ibn al-Mubarak  meriwayatkan  bahawa  Amr bin al-Jamuh  RA  pernah bertanya  kepada  Rasulullah SAW: "Bagaimana pendapat,  jika  aku  meninggal  hari  ini,  dapatkah  aku menginjak  syurga  dengan  kakiku  yang  tempang  ini?"  Rasulullah  SAW  menjawab: Ya."  Kemudian  Amr RA  berkata: "Demi Allah yang  telah  mengutusmu  dengan  al-Haq,  insya-Allah  aku  benar-benar  akan  menginjakkan kakiku  ini  di  syurga  hari  ini."  Kemudian  Amr bin al-Jamuh  RA  terjun ke  medan  tempur  sehingga  akhirnya keinginan  beliau  untuk  syahid  tercapai.

Begitulah  ujian  kecacatan  dan  kekurangan  tidak menghalang  seseorang  untuk  berbakti  dan  dikurniakan darjat  kemuliaan  di  sisi  Allah SWT. Di  dalam  sebuah hadis  daripada  Anas RA berkata: "Saya  pernah mendengar  Rasulullah  SAW  bersabda: "Sesungguhnya Allah  Ta'ala  berfirman:  "Apabila  Aku  menguji  salah  seorang  hamba -Ku  dengan  buta  kedua  matanya kemudian  dia  bersabar  maka  Aku  akan  menggantikan kedua  matanya  dengan  syurga," (Riwayat al-Bukhari). Setiap  ujian  ketidaksempurnaan  pada  diri  manusia mengandungi  kebaikan  dan hikmah  tersirat  yang  sesuai dengan  kadar  kemampuan  individu.  Firman  Allah SWT  dalam  al-Quran surah al-Anbiya  ayat  35  yang  bermaksud:  "Tiap-tiap  diri  akan  merasai  mati dan Kami  menguji  kamu  dengan  kesusahan  dan  kesenangan sebagai  cubaan; dan  kepada  Kamilah  kamu  semua akan  dikembalikan."

Beberapa  rukhsah  atau  keringanan  juga  dikhususkan kepada  golongan  tersebut  menurut  kadar  kekurangan dan  kecacatan  masing-masing.  Sebagai  contoh,  kesempurnaan  akal  menjadi  penanda  aras  dalam menentukan  seseorang  itu  mukallaf  atau  tidak seperti mana  sabda  Rasulullah  SAW yang  bermaksud: "Diangkat  pena  daripada  tiga  golongan: Orang yang  tidur  sehingga  dia  bangun,  daripada  bayi  sehingga  dia remaja  (baligh) dan  daripada  orang yang  cacat  mental  sehingga  dia  berakal."  (Riwayat al-Tarmizi).  Selain  itu,  Allah SWT  berfirman  dalam  al-Quran surah  al-Fath  ayat 17 yang  bermaksud:  "Tidaklah  menjadi  salah  kepada orang  buta, dan  tidaklah  menjadi  salah  kepada  orang  tempang, dan  tidaklah  menjadi  salah  kepada  orang  sakit (tidak  turut  berperang, kerana  masing-masing  ada uzurnya). Dan (ingatlah),  sesiapa  yang  taat  kepada Allah dan  Rasul-Nya,  akan  dimasukkan-Nya  ke  dalam Syurga  yang  mengalir  di  bawahnya  beberapa  sungai; dan  sesiapa  yang  berpaling  ingkar,  akan  diseksa-Nya dengan  azab  yang  tidak  terperi  sakitnya."

Dalam  hal  kekurangan  seperti  autisme  atau  gangguan perkembangan  saraf,  beberapa  pandangan  hukum merumuskan  bahawa  autisme  adalah  hampir  kepada penyakit  mental.  Perbuatan  mereka  yang  mungkin  di  luar  tindakan  manusia  normal  adalah  dimaafkan  dan  terlepas  daripada  bebanan  taklif.  Hukum-hakam berkaitan  individu  autisme  seperti  ibadat,  munakahat,  muamalat, dan  jenayah  dibincangkan  secara  khusus dalam  ilmu  fikah.  Misalnya  boleh  dan  tiada  masalah untuk  berkahwin  dengan  individu  autisme.  Begitu  juga,  adalah  harus  dan  dibolehkan  untuk  menikahkan  individu autisme  oleh  walinya  sekiranya  terdapat  keperluan  dan  hajat  kepada  perkahwinan.  Perbahasan  yang  lain  boleh ditelaah  melalui  buku  terbaharu  bertajuk  fiqh  autism  karangan  saudara  Nur  Arif  Al-Autisme  yang  merupakan pelajar  austime  peringkat  ijazah  kedoktoran,  Universiti Islam  Antarabangsa  Malaysia (UIAM)  merangkap  Ikon  Anak  Istimewa  Selangor  (ANIS).

Dalam  pelbagai  situasi,  golongan  orang  kurang  upaya (OKU)  juga  memberikan  sumbangan  yang  signifikan kepada  masyarakat  melalui  keistimewaan  yang  dimiliki. Berbuat  kebajikan  terhadap  golongan  tersebut  adalah perkara  yang  dituntut  oleh  ajaran  Islam.  Dalam  hal  ini,  sebuah  hadis  pernah  merekodkan  bahawa  Sa'd  melihat dirinya  memiliki  kelebihan  yang  tidak ada  pada yang lain,  lalu  Rasululah  SAW  bersabda: "Bukankah  kalian  tidak mendapat  pertolongan  (kemenangan) dan  rezeki melainkan  disebabkan  oleh orang-orang  lemah  di antara kalian?"  (Riwayat al-Bukhari).  Justeru  tindakan penganiayaan  dan  pengabaian  yang  dilakukan  terhadap golongan  OKU  melalui  kes  penderaan  dan  jenayah sehingga  menyebabkan  kematian  adalah  sangat ditentang  oleh  ajaran  Islam.

Islam  sama  sekali  tidak  menafikan  hak  dan  keperluan golongan  OKU  untuk  mendapatkan  pendidikan,  pekerjaan  dan  berkeluarga.  Kementerian  Sumber Manusia  (KSM)  melalui  Pertubuhan  Keselamatan  Sosial (Perkeso)  misalnya  pernah  menganjurkan  Karnival Kerjaya  untuk  golongan  OKU  dengan  seramai  2,874  golongan  OKU  telah  mendapat  pekerjaan  sejak  Januari 2021  hingga  31 Mac 2023.  Usaha  untuk  menyediakan pendidikan  bagi  pelajar  OKU  yang  mengalami  masalah pembelajaran,  autistik,  disleksia,  palsiserebrum,  attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), dan  seumpamanya  perlu  diperluaskan. Terbaharu,  kerajaan  melaui  Kementerian  Pengangkutan memperluaskan  lagi  kemudahan  kepada  pemegang  kad OKU  dengan  memberikan  tambang  percuma  bagi perkhidmatan  kenderaan  awam  kendalian  Prasarana.

 Jabatan  Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)  juga  sentiasa  memberikan  penekanan  terhadap  usaha pengislahan  masyarakat  melalui  metodologi  dakwah  billisan  dan  dakwah  bil hal  kepada  semua  lapisan masyarakat  termasuk  golongan  OKU.  Program  khusus yang  dilaksanakan  kepada  golongan  tersebut  bermula semenjak  tahun  2000  meliputi  kategori  OKU  penglihatan dan  pendengaran  bertujuan  untuk  memberikan kefahaman  ilmu  fardu  ain,  bimbingan  asas  membaca  al-Quran dan  pengukuhan  institusi  keluarga  ke  arah penghayatan  Islam yang  syumul.  JAWI  menjadikan program  dakwah  dan  kefahaman  Islam  kepada golongan  OKU  sebagai  salah  satu  keutamaan  selaras dengan  Pelan  Transformasi  Hal  Ehwal  Agama  Menuju Malaysia  Madani  (Al-Falah) yang  mengutamakan  prinsip ihsan.

Di  dalam  Kelas al-Quran dan  Fardu  Ain (KAFA)  Sekolah Kebangsaan  Putrajaya  Presint  18 (SKPP) 18 (1)  misalnya,  murid-murid  autisme, OKU  pendengaran  dan  penglihatan  diajar  mengaji  al-Quran,  bacaan  dan  pergerakan  dalam  solat, dan  cara  berwuduk.  Biasanya untuk  anak-anak  autisme,  kaedah  pengulangan digunakan  lebih  kerap  dari pada murid  biasa  kerana  mereka mengambil  sedikit  masa  untuk  menerima  pembelajaran kerana  mudah  hilang  fokus.  Dalam  sesetengah  kes pembelajaran  KAFA  bagi  murid  autisme,  bermula  daripada tidak  boleh  bercakap  dan  berkomunikasi  sehinggalah mereka  dapat  membaca  al-Quran dan  menghafal  surah-surah  pendek  hasil  bimbingan  guru dan  sokongan ibu  bapa.  Bahkan  terdapat  ibu  bapa  yang  tidak menyangka  anak-anak  autisme  boleh  membaca  iqra',  pandai  menulis  jawi dan  menghafal  surah al-Ikhlas.  Melihat  perkembangan  dan  kemajuan  positif  anak-anak autisme  di  depan  mata,  benar-benar  menyentuh  jiwa.  Semoga  segala  usaha  bagi  menyediakan  pelbagai kemudahan  kepada  golongan  OKU  terus  dipergiatkan dan  penghormatan  kepada  golongan  tersebut  diberikan sesuai  dengan  darjat  kemuliaannya  sebagai  seorang insan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 5:59 AM