SYAWAL  mengandungi semangat peningkatan iman dan amal soleh.
SYAWAL mengandungi semangat peningkatan iman dan amal soleh.
Oleh Dr Muhammad Fahmi  Md Ramzan

Syawal  merupakan  bulan  ke sepuluh  yang  menyusul  setelah berlalunya  bulan  Ramadan  berdasarkan  kalendar  hijrah.  Secara  etimologi, kata  Syawal  berasal  daripada  bahasa  Arab,  iaitu  'syala'  yang  sinonim  dengan  kalimah 'irtafa'a'  bermaksud  menaik,  meningkat  atau  meninggi.

Sebagaimana  dinukilkan  oleh  Ibnu Manzur di  dalam  kitab Lisan al-Arab,  "Dinamakan  bulan  Syawal  dari pada kata  'syalat an-naqah bi dzanabiha' yang  bermaksud  unta  betina  menaikkan ekornya."  Berdasarkan  takrifan  ini,  bulan  Syawal  adalah waktu  di mana  unta  betina  tidak  mahu  dikahwini  oleh  unta jantan. Ketika  didekati  unta  jantan,  unta  betina  akan menaikkan  ekornya  sebagai  isyarat  penolakan.

Muhammad  Ibnu  Allan  di  dalam  kitabnya, Dalil al-Falihin li Turuq Riyadh as-Salihin  pula  menyatakan,  dinamakan  demikian  kerana  dahulu  orang-orang Arab  menggantungkan  alat-alat  perang  (di  tempat  yang  tinggi) disebabkan sudah  dekat  dengan  bulan-bulan  haram yang  merupakan  bulan  larangan  untuk  berperang." 

Sebahagian  pemikir  pula  berpendapat  bahawa  dinamakan Syawal  kerana  terdapat  'peningkatan'  terhadap  populasi penduduk  Makkah kerana orang-orang dari  luar   mulai berkumpul  untuk  melaksanakan  ibadah  haji. Melalui  keterangan- keterangan  yang  dikemukakan,  dapat diambil  beberapa  falsafah  di  sebalik  makna  Syawal  untuk dihubungkan  dengan  kondisi  setelah berlalunya  bulan Ramadan  iaitu:

Pertama:  Di  bulan  Syawal,  darjat  kaum  Muslimin  meningkat di  sisi  Allah  disebabkan  mereka  mendapat  pengampunan setelah  menunaikan  ibadah  puasa  di  bulan  Ramadan. Sebagaimana  sabda  Rasulullah SAW:ﷺ "Barang siapa  berpuasa  di  bulan  Ramadan kerana  iman  dan  pengharapan maka  dosa-dosanya  akan  diampuni  oleh Allah." (HR al-Bukhari, no. 38) 

Kedua:  Secara  moral dan spiritual,  kaum  Muslimin  perlu istiqamah  meneruskan  nilai-nilai  amaliah  Ramadan pada  bulan  ini  dan  bulan-bulan  berikutnya  sehingga  muncul kembali  Ramadan pada  tahun  berikutnya. Dalam  hal  ini,  Syawal  dapat  dimaksudkan  bulan  peningkatan  iman  dan  amal soleh  sebagai  kesinambungan  daripada  pendidikan  moral dan spiritual yang  dilaksanakan  selama  sebulan  penuh  di  bulan Ramadan.

Dengan  demikian,  pasca  Ramadan  diharapkan  orang-orang yang  beriman  dapat  meraih  darjat  ketakwaan  sehingga  di  bulan  Syawal  ini  kualiti  keimanan  mereka  semakin meningkat. Tidak  hanya  kualiti  amal  ibadah,  tetapi  juga  kualiti  dari  sudut  akhlak  yang  selama  di  bulan Ramadan  telah dilatih  secara  zahir  dan  batin.

Anjuran  puasa  6  hari

Sebagai  kesinambungan  daripada  puasa  Ramadan,  makna  dan  semangat  peningkatan  amal  soleh  di  bulan  Syawal  ini  dapat diterjemahkan  salah  satunya  melalui  pelaksanaan  puasa sunah  6  hari  di  bulan  Syawal.  Walaupun  hukumnya  sunah,  tetapi  ia sangat  dianjurkan  (sunah  muakkad) kerana  besar ganjaran  pahala  yang  menanti,  sepertimana  sabda Rasulullah ﷺ SAW: "Sesiapa  yang  berpuasa  Ramadan,  kemudian  diiringinya dengan  puasa  (sunah) enam  hari  dalam  bulan  Syawal,  itu  adalah menyamai  seperti  puasa  selama  setahun  penuh." (HR Muslim, no. 1164)

Perihal  mengapa  ganjarannya  seperti  berpuasa  setahun  penuh,  terdapat  riwayat  hadis yang  menjelaskan: "Puasa Ramadan  pahalanya  menyamai  puasa  selama  sepuluh  bulan  dan puasa  enam hari di  bulan  Syawal  pula  menyamai  puasa  selama  dua  bulan. Maka  ia mencukupi  setahun." (HR Ahmad, no. 21378). Menurut  riwayat  Ibnu Majah,  ditambah  keterangan, "Ini  adalah  kerana  firman  Allah  di  dalam  surah al-An'am,  ayat  160 yang  bermaksud: "Sesiapa  yang  melakukan  amal  kebaikan, maka  akan  digandakan  kepadanya  pahala  sepuluh  kali  ganda."

Perihal  pelaksanaannya  pula,  Imam an-Nawawi  sewaktu mensyarahkan  hadis ini  di  dalam  kitab al-Minhaj  Syarh Sahih Muslim  menjelaskan:  "Yang paling  utama  (afdal)  dalam melaksanakan  puasa  sunnah enam  hari  di  bulan  Syawal  adalah secara  berturut-turut  bermula  selepas  1  Syawal.  Namun sekiranya  tidak  dilaksanakan  berturut-turut,  misalnya  sehari puasa  dua  hari  tidak  kemudian  sambung  semula  puasa sehingga  genap  enam  hari  di  dalam  bulan  Syawal,  maka seseorang  itu  juga  turut  mendapat  fadhilat 'al-Mutaba'ah'  (puasa  yang  mengiringi)." 

Malah,  sebahagian  ulama  mengharuskan  puasa  sunah enam  hari di  bulan  Syawal  diniatkan  bersama  puasa  qada  Ramadan  sebagaimana  hujah  yang  pernah  dinukilkan oleh  Imam Ibnu Hajar al-Haitami  di  dalam  kitabnya  al-Fatawa  al-Kubra  al-Fiqhiyyah  'ala  Madzhab  al-Imam  asy-Syafi'i.  Beliau menjelaskan: "Contohnya,  sesiapa yang  berniat  puasa  qada pada  hari  Isnin dan  dalam  masa yang  sama  berniat  puasa sunnah  hari  Isnin,  maka  hal  tersebut  dibolehkan  serta mendapat  ganjaran  kedua-duanya.  Sebaliknya  jika  diniatkan puasa  sunah  sahaja,  maka  gugur  tuntutan  yang  satu  lagi  dan  tidak  mendapat  ganjarannya." 

Oleh  itu,  hukum  menggabungkan puasa  qada  dengan  puasa sunah  enam  hari  di  bulan  Syawal  adalah  harus  dan  dengan  izin Allah  akan  mendapat  ganjaran  pahala  kedua-duanya  walaupun ganjaran  tersebut  tidaklah  menyamai  ganjaran  pahala seseorang  yang    menyempurnakan  puasa  Ramadan  sepenuhnya.  Bahkan  menyegerakan  qada  puasa  itu  adalah amalan  yang  terpuji  dan  dituntut  oleh  syarak.

Adapun hikmah  berpuasa  enam hari  di  bulan  Syawal, Ibnu Rajab al-Hanbali di  dalam  kitab  Lataiful  Ma'arif  berkata: "Sesungguhnya  kembali  berpuasa  setelah  puasa  Ramadan  merupakan  tanda  diterimanya  amalan  puasa  Ramadan. Kerana Allah  jika  menerima  amalan  seseorang  hamba, Dia  akan mengurniakan  taufiq  untuk  melaksanakan  amalan  soleh setelahnya."

Kesimpulannya,  bulan  Syawal  hakikatnya  mengandungi semangat  peningkatan  iman  dan  amal  soleh  bersesuaian dengan  akar  kata  kalimah  Syawal  itu  sendiri.  Oleh  sebab  itu,  sayang  sekali  apabila  di  antara  sebahagian  kaum  Muslimin  setelah  berlalunya  bulan  Ramadan  kembali  melakukan  dosa-dosa dan  berpaling  daripada  petunjuk  Allah.  Memang  pada  dasarnya  manusia  tidak  terlepas  daripada  melakukan kesalahan  dan dosa,  tetapi  hendaklah  kita  berusaha  untuk terus  istiqamah  dengan 'latihan' yang  telah  ditempuhi sepanjang  berada  di  dalam  madrasah Ramadan  tempoh  hari agar  tidak  larut  dan  hanyut  dalam  dosa. Salah  satu  'latihan' yang perlu  diteruskan  ialah  dengan  melaksanakan  puasa  6  hari di  bulan  Syawal  yang  sudah  pasti  sangat  besar  ganjarannya.  Wallahu a'lam.

Penulis   Pengasas  Pusat  Pengajian  Abu Faqih Centre

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 7:01 AM