Umat Islam juga harus melatih diri mereka daripada melakukan apa–apa perkara atau perbuatan yang boleh merosakkan pahala serta amalan puasa mereka.
Umat Islam juga harus melatih diri mereka daripada melakukan apa–apa perkara atau perbuatan yang boleh merosakkan pahala serta amalan puasa mereka.
Dr Muzaffar Syah Mallow

Syukur kepada Allah SWT, bulan dinanti–nantikansemua umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia iaitu bulan Ramadan Al–Mubarak kini sudah tiba. Bulan Ramadan adalah antara bulan Islam yang penting kerana ia penuh dengan rahmat, keberkatan, kemuliaan serta membawa ganjaran pahala yang besar buat umat Islam yang memenuhi bulan terbabit dengan amal ibadah serta mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.

Kedatangan bulan ini menjanjikan peluang besar untuk umat Islam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ini jelas diterangkan oleh Allah SWT melalui Surah Al–Baqarah: Ayat 183: "Wahai orang–orang yang beriman, telah difardhukan (diwajibkan) ke atas kamu puasa seperti mana telah difardhukan ke atas orang–orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa."

Namun agak sedih melihat gelagat segelintir umat Islam yang beranggapan kedatangan Ramadan ini sekadar menahan diri daripada makan dan minum dari terbitnya matahari hingga terbenamnya matahari sahaja. Segelintir umat Islam ini tidak sedar kedatangan Ramadan bukan hanya sekadar untuk tidak makan ataupun minum, malah tujuan kedatangan bulan yang mulia adalah lebih daripada itu.

Matlamat di sebalik puasa Ramadan disebut dalam ayat Al- Quran iaitu semoga kamu bertakwa, sekali gus menunjukkan matlamat utama kita beribadah di bulan Ramadan bukan sekadar menahan diri kita dari lapar dan dahaga sahaja. Umat Islam harus melatih diri mereka daripada melakukan apa–apa perkara atau perbuatan yang boleh merosakkan pahala serta amalan puasa mereka seperti perkara yang boleh membawa kepada dosa, rafats, dan lagha.

Dosa ialah melakukan perkara–perkara yang jelas dilarang oleh Allah SWT seperti berjudi, mencuri, meninggalkan sembahyang dengan sengaja, fitnah menfitnah, mengumpat dan lain–lain perkara yang menjerumus kepada kemungkaran dan kerosakan terhadap diri sendiri serta orang sekeliling. Rafats adalah perbuatan atau perkataan yang mengundang syahwat seperti khalwat, zina serta apa–apa perkataan yang tidak senonoh atau tidak sedap didengar. Lagha pula perbuatan yang tidak membawa sebarang berfaedah dan manfaat kepada diri pelaku. Oleh yang demikian, adalah penting supaya umat Islam mengambil serius terhadap perkara ini serta memastikan mereka tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menjadikan ibadah sia–sia.

Sebagai contoh, perokok khususnya perokok dalam kalangan umat Islam perlu mengambil peluang di dalam bulan yang mulia ini untuk menghentikan masalah ketagihan mereka terhadap tabiat merokok.

Sepanjang waktu siang. semua orang Islam yang berpuasa tidak akan merokok kerana merokok akan membatalkan puasa mereka. Perokok yang berpuasa akan mula menahan diri mereka daripada merokok dalam tempoh masa 12 hingga 13 jam iaitu jumlah waktu berpuasa dalam negara kita. Jika ini berjaya dilakukan oleh perokok, ini membuktikan tabiat merokok sebenarnya boleh dihentikan jika dilakukan melalui kekuatan iman dan kesedaran untuk tidak merokok.

Jelas sekali kejayaan tidak merokok di dalam tempoh berpuasa di siang hari dapat dilakukan dengan kekuatan minda dan emosi. Ketika berpuasa, minda dan emosi akan mula bersatu untuk mengatakan tidak terhadap keinginan untuk merokok. Sekiranya tempoh berpuasa 12 hingga 13 jam di siang hari mampu untuk mereka bertahan, mengapakah ia tidak dilanjutkan selepas proses berbuka puasa untuk beberapa jam lagi sebelum waktu tidur.

Usaha ini sebenarnya tidak sukar dilakukan memandangkan waktu malam sepanjang Ramadan sentiasa digalakkan untuk dipenuhi dengan amal ibadat. Jika golongan perokok dapat mengisi masa mereka melakukan amal ibadat, maka mereka tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk merokok.

Jika dilakukan secara berterusan dan konsisten sepanjang Ramadan, keinginan terhadap merokok akan mula hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya dapat menghentikan masalah ketagihan merokok itu sendiri.

Bagi umat Islam, isu merokok perlu dipandang berat kerana sudah wujud fatwa jelas mengenai isu rokok dalam negara kita. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu membincangkan isu mengenai Hukum Merokok Dari Pandangan Islam dan bersetuju memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Berdasarkan fatwa pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit jelas menunjukkan pengharaman rokok sudah lama dikeluarkan majlis berkenaan iaitu lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang. Perkara sama juga diputuskan terhadap pengunaan vape. Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bersidang pada 21 Disember 2015 lalu memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik termasuk vape adalah haram untuk umat Islam.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua umat Islam memandang serius keputusan ditetapkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terhadap pengunaan rokok dan vape ini. Semoga Ramadan ini bawa keberkatan kepada kita semua.

Penulis Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 7:00 AM