DR Takdir menunjukkan sebahagian produk kesihatan yang di gunakan dalam rawatan berhenti merokok.
DR Takdir menunjukkan sebahagian produk kesihatan yang di gunakan dalam rawatan berhenti merokok.

Kuala Lumpur: “Saya mengganggap kedatangan Ramadan kali ini adalah detik permulaan bagi berubah ke arah lebih baik dengan menjadikan hasrat berhenti merokok sebagai tekad utama untuk dilaksanakan,” kata Muhd Alif Zakaria, 35, yang menyertai Khidmat Berhenti Merokok di Klinik Tanglin.

Bagi Muhd Alif, bulan Ramadan waktu tepat menunaikan hasrat itu memandangkan dia menjalani ibadah puasa yang membolehkannya berhenti dengan lebih mudah.

“Ada banyak faktor saya mahu berhenti, tetapi saya merasakan bulan ini masa paling sesuai melaksanakan hasrat itu memandangkan pada waktu siang kita fokus pada ibadah puasa, sekali gus mengehadkan waktu untuk merokok.

“Sebagai umat Islam, saya percaya perubahan ke arah kebaikan ini pasti dipermudahkan,” katanya ketika ditemui selepas menjalani rawatan pertama Khidmat Berhenti Merokok di Klinik Kesihatan Tanglin, di sini semalam.

Menurutnya, keputusannya untuk berhenti merokok juga dipengaruhi keadaan kewangannya yang banyak dihabiskan untuk membeli rokok berbanding digunakan bagi keperluan keluarganya yang jauh lebih penting.

Setiap bulan, dia menghabiskan lebih RM300 daripada pendapatannya yang bekerja sebagai buruh membeli rokok kerana tabiat merokoknya memerlukannya membeli sekotak rokok untuk bekalan selama dua hari.

“Sepanjang sembilan tahun merokok, saya sedar banyak menghabiskan duit membeli rokok padahal ia boleh digunakan untuk keperluan harian keluarga. Ketika mula merokok pada usia 18 tahun dulu, saya tidak pernah memikirkan mengenai duit membeli rokok sebagai satu bebanan kerana pengaruh rakan begitu kuat sehingga sanggup mengumpul duit asalkan dapat merokok.

“Namun usia yang semakin dewasa dan tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan saya membuat keputusan berhenti merokok kerana pendapatan diperolehi lebih RM1,000 dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan isteri dan anak,” katanya yang menetap di Sungai Besi, Selangor.

Muhd Alif yang pertama kali berkunjung ke klinik itu bagi mendapatkan khidmat terbabit yakin mampu menghentikan tabiat merokoknya dengan memanfaatkan kedatangan bulan Ramadan sebagai langkah pertama bagi menunaikan hasrat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 9:46 AM