PERBUATAN merokok juga menjurus kepada proses pembaziran wang, masa dan tenaga serta membawa kerugian.
PERBUATAN merokok juga menjurus kepada proses pembaziran wang, masa dan tenaga serta membawa kerugian.
Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow


MEROKOK khususnya perokok dalam kalangan umat Islam perlu mengambil peluang dalam bulan Ramadan yang mulia dan yang penuh berkat ini untuk henti masalah ketagihan mereka terhadap tabiat merokok.

Bulan Ramadan bukan sahaja menuntut umatnya menahan diri daripada makan dan minum di siang hari selama sebulan, malah turut menuntut umatnya menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurangkan serta membatalkan pahala puasa mereka dan ini termasuk dengan melakukan perkara yang berdosa, sia-sia dan yang boleh memudaratkan diri sendiri serta diri orang lain seperti merokok.

Bagi umat Islam, isu merokok ini perlu dipandang berat kerana wujud fatwa jelas mengenai isu rokok dalam negara kita.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 membincangkan isu mengenai 'Hukum Merokok Daripada Pandangan Islam' dan bersetuju untuk memutuskan bahawa 'merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan'.

Berdasarkan fatwa yang dipersetujui pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit jelas menunjukkan bahawa fatwa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan majlis terbabit iaitu lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang.

Pengharaman rokok dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan penggunanya, merokok juga mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok khususnya melalui asap yang dihasilkan melalui rokok terbabit dan perbuatan merokok juga menjurus kepada proses pembaziran wang, masa dan tenaga serta membawa kerugian.

Ini juga selaras firman Allah SWT dalam al-Quran melalui Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan". Allah juga telah berfirman dalam Surah Al-A'raf, Ayat 157 yang bermaksud: "Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran)". Kedua-dua ayat al-Quran ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah menyuruh kita untuk menjaga diri dengan baik serta tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan bahaya terhadap diri sendiri.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua umat Islam memandang serius terhadap isu rokok serta mengambil langkah bagi mengelakkan diri mereka daripada merokok serta menjadi ketagih dengannya.

Pihak berkaitan dalam negara perlu mengambil segala usaha bagi membendung umat Islam daripada terjebak tabiat merokok yang telah difatwakan haram.

Bagi mereka yang ketagih tabiat merokok ini pula, mereka perlu mengambil usaha bagi menghentikan ketagihan mereka terhadap rokok.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 7:10 AM