KELAHIRAN Rasulullah adalah rahmat untuk sekalian alam.
KELAHIRAN Rasulullah adalah rahmat untuk sekalian alam.

Rabiulawal antara bulan yang tercatat detik bersejarah bagi umat Islam sejagat. Kedatangan bulan mulia ini amat dinanti-nantikan dan sentiasa diingati oleh masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya kerana tanggal 12 haribulan dalam bulan ini junjungan besar Rasulullah SAW diputerakan.

Hari peringatan ini yang akhirnya dikenali sebagai Maulidur Rasul disambut sebagai satu bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah Taala yang mengutuskan seorang manusia ke alam semesta ini untuk merubah suasana serta keadaan hidup manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah Taala berfirman maksudnya: "Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam." (Surah al-Anbia, ayat 107)

Perutusan Rasulullah SAW ke alam maya ini sebagai menyambung tradisi perjuangan nabi dan rasul terdahulu dalam menegakkan kalimah Allah seterusnya mengakhiri salasilah kerasulan dengan memikul amanah menyampaikan risalah Islam yang lebih lengkap serta menyeluruh kepada sekalian alam semesta. Di samping itu, Rasulullah SAW juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia dalam menelusuri titian hidup yang penuh cabaran.

Serentak dengan itu, sambutan Maulidur Rasul amat penting dalam kehidupan umat Islam dengan harapan untuk memantapkan lagi keyakinan mereka terhadap Rasulullah SAW di samping menebalkan kecintaan kepada baginda.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan yang paling dicintai memandangkan baginda adalah insan contoh atau manusia mithali dalam serba-serbi aspek kehidupan.

Oleh sebab itu, umat Islam diperintahkan Allah Taala supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam segala lapangan hidup selaras dengan firman-Nya yang bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Untuk menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW, ia tidak cukup sekadar dizahirkan dengan kata-kata pujian dan sambutan dengan pelbagai acara, malah ia akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan kecintaan itu dengan meneladani jejak langkah kehidupan baginda SAW, sama ada sebagai pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa, bahkan juga sebagai manusia biasa.

Pendek kata, Rasulullah SAW memiliki banyak dimensi dan sudut yang patut dicontohi
umat Islam sejagat.

Kehidupan Rasulullah SAW yang sarat dengan sifat peribadi yang mulia dalam tingkah lakunya dan setiap detik perjalanan hidupnya adalah seumpama mukjizat yang berjalan atas permukaan bumi. Oleh sebab itu, diri Rasulullah SAW, sirahnya dan sunahnya tetap relevan kepada umat Islam dari dulu, kini dan selamanya.

Oleh itu, kehidupan Rasulullah SAW menyediakan jawapan ampuh yang berupaya memecahkan segala persoalan dan masalah yang dihadapi manusia moden dewasa ini.

Kehidupan Rasulullah SAW sendiri sebenarnya adalah satu manifestasi menyeluruh daripada inti pati al-Quran sebagaimana yang dijelaskan sendiri oleh isteri tercinta, Saidatina Aisyah apabila beliau ditanya mengenai akhlak baginda. Lantas Saidatina Aisyah menjawab: "Sesungguhnya akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran." (Hadis Riwayat Muslim)

Ringkasnya, kehidupan Rasulullah SAW adalah manifestasi keseluruhan al-Quran al-Karim dalam setiap ruang lingkup kehidupan seharian daripada ibadahnya, pergaulannya dengan anggota keluarga dan masyarakat sekeliling, aktiviti sosialnya, politik dan sebagainya.

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran, namun diingkari. Ini bermakna bahawa Islam yang diutuskan Allah Taala melalui pesuruh-Nya Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.

Islam sarat dengan hukum-hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin hidup manusia dalam menyelesaikan segala masalah serta kemelut yang melanda serta penawar bagi semua penyakit kehidupan. Sehubungan itu, Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman." (Surah Yunus, ayat 57)

Jelas daripada maksud ayat suci bahawa al-Quran yang diturunkan Allah Taala melalui pesuruh-Nya, Rasulullah SAW untuk umat manusia seluruhnya sebagai nasihat pengajaran untuk memperbaiki akhlak dan amal perbuatan, sebagai ubat penawar bagi penyakit batin seperti penyakit kufur dan syirik, hasad dengki dan khianat serta penyakit jiwa lain.

Di samping itu, al-Quran juga adalah hidayah petunjuk ke jalan di redai Allah yang memimpin manusia mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Al-Quran pula secara khusus menjadi sinaran rahmat yang menyuluhi setiap detik kehidupan orang beriman.

Ini adalah satu seruan suci daripada Allah Taala untuk semua umat manusia supaya mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat dengan syarat mereka berpegang teguh dengan ajaran serta hukum yang telah ditetapkan-Nya. Ini juga adalah satu janji atau jaminan yang sangat manis yang tidak akan dimungkiri oleh Allah Taala. Oleh sebab itulah, Allah Taala menurunkan risalah Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh buat mengatur kehidupan manusia sejagat ke arah kebahagiaan abadi di bawah keredaan Ilahi jua. Ini bermakna jalan keluar sudah sedia ada, penawar sudah ada depan mata, maka terserah kepada umat manusia memilih sama ada hendak hidup berbahagia atau hidup menderita yang tiada titik penghujungnya.

Akhirnya, umat Islam sewajibnya bermuhasabah dan merenungi diri tentang nasib serta maruah mereka dewasa ini yang sudah sekian lama tercalar. Maka, ini masanya untuk mereka kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, mudah-mudahan mereka dapat memartabatkan kembali imej mereka sebagai umat terbaik serta umat contoh sebagaimana yang dikehendaki Allah Taala lewat firman suci-Nya. Setiap Muslim semestinya sama-sama mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan sehingga keadilan Islam dapat menghiasi kembali kemakmuran bumi Allah ini dan insya-Allah Islam kelak akan menerajui kepemimpinan umat manusia ke arah keharmonian, kesaksamaan serta kesejahteraan abadi di dunia hingga akhirat.

 

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 7:00 AM