UMAT Nabi Muhammad turut diberi keistimewaan di akhirat kelak.
UMAT Nabi Muhammad turut diberi keistimewaan di akhirat kelak.
Mohd Shahrizal Nasir

Rasulullah adalah rasul terakhir yang diutuskan kepada umat akhir zaman. Umat baginda bukan sahaja terdiri daripada kalangan manusia yang hidup sezaman dengannya sahaja.

Seluruh umat Islam daripada yang hidup pada zaman baginda hingga hari kiamat diiktiraf sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Kita yang hidup pada hari ini tidak pernah berjumpa Rasulullah namun kita adalah umat baginda yang mengakui kerasulannya.

Umat Nabi Muhammad adalah kelompok manusia yang mempunyai kedudukan istimewa. Hal ini seperti dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran yang maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..." (Surah Ali 'Imran, ayat 110)

Kita menjadi sebaik-baik umat kerana melakukan tugas dakwah menyeru manusia supaya melakukan kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan perkara yang buruk dan keji. Sebenarnya umat Nabi Muhammad sangat beruntung kerana dianugerahkan keistimewaan yang tidak dikurniakan kepada umat sebelum pelantikan Nabi Muhammad sebagai rasul terakhir.

Sebagai umat Islam, kita perlu menyedari hakikat bahawa umat Islam adalah kelompok manusia yang dikurniakan banyak kelebihan.

Pertamanya, umat Nabi Muhammad dikurniakan sebuah kitab suci yang kandungannya kekal terpelihara sehingga hari ini. Tidak ada kuasa yang dimiliki manusia untuk mengubah kandungan al-Quran atau melenyapkannya daripada muka bumi ini. Perkara ini tidak berlaku kepada umat terdahulu kerana ada dalam kalangan mereka yang mengubah kandungan kitab suci.

Oleh kerana al-Quran masih ada sehingga hari ini, maka umat Islam terus berada pada jalan yang lurus seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Allah menjelaskan bahawa al-Quran dipelihara oleh-Nya dan ini yang membuatkan umat Nabi Muhammad terus mendapat hidayah dan petunjuk daripada-Nya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9)

Selain itu, umat Nabi Muhammad beruntung kerana dikurniakan pelbagai jenis pahala kebajikan yang berlipat kali ganda. Amalan yang sedikit boleh mendatangkan pahala yang berganda dan semuanya menggambarkan keluasan rahmat Allah SWT yang mengasihi hamba-Nya daripada kalangan umat Nabi Muhammad.

Contohnya malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadan yang kemunculannya berlaku setiap tahun tanpa henti. Pahala beribadah pada malam Lailatul Qadar dinyatakan lebih baik daripada pahala beribadah selama seribu bulan. Firman Allah SWT dalam al-Quran: "Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 3)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari bahawa Lailatul Qadar khusus untuk umat Nabi Muhammad sahaja dan tidak ada pada umat sebelumnya. Umat terdahulu dikurniakan oleh Allah SWT dengan usia yang panjang untuk mereka beribadah. Manakala umat Nabi Muhammad dikurniakan dengan kelebihan amalan yang digandakan pahalanya. Ini membuktikan rahmat Allah SWT yang sangat luas untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Umat Nabi Muhammad juga beruntung kerana diberi peluang untuk kembali bertaubat kepada Allah SWT selepas melakukan dosa. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Qudsi bermaksud: "Allah SWT berfirman: Wahai anak Adam, sesungguhnya Engkau berdoa kepada-Ku dan memohon kepada-Ku, maka akan Aku ampuni engkau, Aku tidak peduli (berapa banyak pun dosamu). Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu (sebanyak) awan di langit kemudian engkau minta ampun kepada-Ku nescaya akan Aku ampuni engkau. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan Aku sedikitpun maka akan Aku temui engkau dengan sepenuh itu pula keampunan." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Keampunan yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad menandakan kasih sayang-Nya kepada umat ini. Bayangkan kesalahan yang dilakukan umat terdahulu semuanya ditimpa dengan azab yang cukup mengerikan kerana kesalahan mereka yang menolak agama yang dibawa rasul masing-masing. Azab seksa yang diturunkan ke atas umat terdahulu dirakamkan dalam al-Quran supaya umat Nabi Muhammad mengambil pengajaran daripadanya.

Umat Nabi Muhammad turut diberi keistimewaan di akhirat kelak. Antaranya apabila umat Nabi Muhammad diperlihatkan sebagai umat yang akan bercahaya pada hari kiamat nanti kesan daripada wuduk. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri (bercahaya) disebabkan kesan daripada wuduk. Barang siapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia." (Muttafaq 'alaih)

Bukan sekadar anggota yang bercahaya sahaja, umat Nabi Muhammad SAW juga adalah kalangan manusia yang akan mula-mula dinilai amalan mereka oleh Allah SWT. Ini berdasarkan penjelasan daripada Rasulullah SAW bermaksud: "Kami adalah orang yang terakhir (hidup) di dunia ini dan yang pertama pada hari kebangkitan akan dihakimi (dinilai amalan) sebelum manusia lainnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, penjelasan mengenai keadaan umat Nabi Muhammad sebagai umat pertama akan dihisab pada hari akhirat nanti menjadi bukti bahawa umat ini adalah kelompok manusia yang akan mula-mula memasuki syurga.

Betapa beruntungnya kita menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad SAW. Keistimewaan yang diterima sebagai umat Nabi Muhammad bukan sahaja ketika kita berada di dunia, malah berlanjutan sehingga dalam syurga. Ketika berada di syurga pula, umat Nabi Muhammad masih diberi keistimewaan apabila menjadi manusia yang paling ramai menjadi penghuni syurga.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang mafhumnya: "Ahli syurga terdiri daripada 120 barisan, 80 daripada barisan itu adalah daripada kalangan umat ini (umat Nabi Muhammad) dan 40 barisan lagi daripada kalangan sekalian umat lain." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Sesungguhnya kita amat beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Maka sebagai umat Nabi Muhammad, sewajarnya kita menuruti setiap ajaran yang dibawa baginda dan menolak sebarang bentuk fahaman yang bersalahan dengan Islam. Pada masa sama, berhati-hatilah dengan bisikan iblis yang ada kalanya melemahkan iman manusia sehingga ada yang mengagungkan insan lain melebihi pengiktirafan kepada Nabi Muhammad sebagai penghulu sekalian nabi dan rasul.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:45 AM