TAJDID iman merupakan salah satu tajdid yang amat penting dilakukan umat Islam mutakhir ini kerana berdepan pelbagai cabaran hebat.
TAJDID iman merupakan salah satu tajdid yang amat penting dilakukan umat Islam mutakhir ini kerana berdepan pelbagai cabaran hebat.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Akidah adalah intisari utama dan tunjang terpenting yang terkandung  dalam ajaran Islam. Akidah jugalah yang mesti mendasari dan menunjangi dalam setiap gerak geri dan aspek kehidupan kita. Tanpanya, maka sia-sialah saja amalan yang dilakukan oleh seseorang manusia di sisi Allah Taala dan dia pastinya termasuk ke dalam golongan yang rugi di akhirat kelak. 

Akidah Islam ini terdiri daripada enam rukun asas yang menjadi titik tolak dan penentu kepada keimanan seseorang kepada Allah Taala. Rukun iman tersebut ialah beriman kepada Allah Taala, beriman kepada malaikat, beriman kepada nabi dan rasul, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada Hari Akhirat dan akhirnya beriman kepada qada dan qadar sebagaimana jawapan Rasulullah SAW apabila ditanya seorang lelaki tentang makna iman, lantas baginda bersabda maksudnya: "Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, Nabi dan Rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Hari Akhirat dan kamu beriman  dengan qadar-Nya, baik dan buruknya." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam kehidupan seharian, kekuatan iman yang bertapak dalam jiwa sanubari Muslim ada pasang surutnya atau naik turunnya. Hal ini kerana alam semesta ciptaan Ilahi ini terhampar pelbagai cabaran dan ujian di sepanjang perjalanan hidup manusia. Cabaran dan ujian sama ada berupa kenikmatan mahupun kesusahan kesemuanya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan iman yang bertakhta dalam jiwa Muslim. 

Jika Muslim itu seorang yang kuat imannya kepada Allah, maka segala cabaran dan ujian yang dihadapinya merupakan satu gilapan terhadap imannya agar bertambah kukuh dan mantap. Sebaliknya jika dia seorang yang amat lemah imannya, maka segala cabaran dan ujian yang diharunginya itu hanya mengakibatkannya semakin jauh daripada rahmat Ilahi. 

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW selalu memperingatkan umatnya melalui sabdanya yang bermaksud: "Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya memperbaharui iman kami? Ujar baginda: "Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah." (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Iman seseorang boleh menjadi usang dan lusuh sebagaimana usang dan lusuhnya sehelai pakaian. Maka hendaklah kamu memohon ke hadrat Allah supaya memperbaharui iman kamu yang ada dalam hatimu." (Hadis riwayat Tabrani dan Hakim)

Jelas daripada sabda Rasulullah SAW, betapa pentingnya tajdid iman dilakukan setiap Muslim agar iman dapat digilap dan diperkukuhkan supaya menjadi lebih utuh dan jitu. Tajdid secara etimologinya merujuk kepada memperbaharui, menilai, membangkitkan dan menghidupkan.

Tajdid dengan makna ini perlu dilakukan untuk menilai kembali kefahaman dan pengamalan umat Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kerana kefahaman dan pengamalan umat Islam boleh jadi terpesong atau menyimpang daripada landasan Islam sehingga ia menuntut tajdid ke arah kefahaman yang sebenar. 

Dalam kata lain, tajdid dalam kerangka pengertian pertama seringkali difahami oleh kebanyakan umat Islam sebagai islah atau pemurniaan Islam daripada segala jenis khurafat dan bidaah. Ini bermakna tajdid lebih menjurus ke arah menghidupkan kembali roh ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan umat Islam sejagat.

Tajdid iman merupakan salah satu tajdid yang amat penting dilakukan terutamanya umat Islam mutakhir ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang cukup hebat yang datang daripada berbagai-bagai arah seperti cabaran globalisasi, cabaran media massa dan sebagainya. Hal ini kerana iman bagi Muslim adalah ibarat sebuah enjin yang ada pada sebuah kereta. Semakin baik dijaganya enjin kereta tersebut, maka semakin baiklah pula perjalanan kereta itu. Begitulah juga iman Muslim jika baik, benar dan selalu digilap, maka akan baiklah pula tingkah laku dan peribadinya serta akan mendorongnya untuk melakukan ketaatan dan menjauhi larangan Ilahi.

Jelas bahawa tajdid iman amat penting dalam kehidupan Muslim kerana iman itu akan bertambah dan berkurang dalam diri seseorang. Sehubungan itu, proses tajdid iman berdasarkan sabda Rasulullah SAW hanya dapat dilakukan dengan mempertingkat kuantiti dan kualiti ibadat kepada Allah Taala di samping memperbanyakkan amal kebajikan kepada sesama manusia. 

Selanjutnya, Rasulullah menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah sebagai usaha untuk memperbaharui iman. Walaupun begitu, adalah tidak memadai dan belum lengkap dengan hanya sekadar menggerakkan bibir menggemakan keyakinan dan kenyataan bahawa tiada yang patut disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, malah memperbanyakkan ucapan zikir adalah refleksi kepada memperbanyakkan renungan dan pemahaman bahawa tiada Tuhan selain Allah dalam persoalan ibadat, hubungan keluarga, makanan, minuman, akhlak, ekonomi, pendidikan dan lain-lain aspek kehidupan sejagat. 

Justeru, tanpa renungan dan pemahaman terhadap kalimah Tayyibah tersebut, maka tahap iman dan amal tetap statik, bahkan ia kadang-kadang akan menjadi lebih buruk. Oleh kerana itu, renungan dan pemahaman kalimah suci tersebut amat mustahak untuk meningkatkan iman, malah amal pun akan semakin meningkat. Perlu diingat bahawa amal yang dilakukan sepatutnya dilandasi dengan asas tauhid kepada Allah.

Hal ini kerana ucapan mempunyai kaitan yang amat rapat dengan amalan sebagaimana ditegaskan Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: "Amat besarlah kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah al-Saff, ayat 3)

Amatlah tidak wajar apabila Muslim itu rajin mengucapkan kalimah suci tetapi dalam masa yang lain dia tidak menghindarkan diri daripada amalan bidaah dalam ibadat. Tajdid iman hanya akan terhasil apabila kuantiti dan kualiti amalan Muslim yang tulus ikhlas bertambah saban hari di samping gerakan lisan yang dibasahi dengan kalimah Tayyibah. 

Pendek kata, pemahaman kalimah suci menuntut beberapa perkara berikut iaitu, pertama, pengakuan bahawa Allah sahaja satu-satunya yang diagungkan dalam hidup ini. Kedua, Allah Taala satu-satunya tempat manusia memperhambakan diri. Ketiga, peraturan Ilahi sahajalah yang wajib diikuti dan dijadikan panduan dalam hidup. Ketiga-tiga perkara inilah yang menjadikan tajdid iman lebih bermakna dan lebih diredai Allah. 

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:00 AM