SIFAT majmuk adalah alam semula jadi ciptaan Allah yang amat unik. FOTO BERNAMA
SIFAT majmuk adalah alam semula jadi ciptaan Allah yang amat unik. FOTO BERNAMA
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Umat Islam di Malaysia sewajibnya bersyukur ke hadrat Allah atas nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai harganya itu. Dengan naungan rahmat dan hidayah Ilahi setiap lapisan masyarakat negara ini dapat menyambut hari kemerdekaan yang ke-65 pada 31 Ogos ini.

Seiringan dengan kerancakan laungan kemerdekaan berkumandang seluruh negara, bendera Jalur Gemilang dikibarkan yang mencerminkan kegemilangan Malaysia mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera dalam segala lapangan hidup.

Sudah menjadi satu hikmah yang cukup besar Allah mewujudkan Malaysia dengan masyarakat majmuk kerana sifat majmuk adalah alam semula jadi ciptaan Allah yang amat unik, sekali gus merupakan suatu realiti yang sepatutnya menjadi bahan renungan untuk dihayati setiap manusia yang berakal waras. Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak suapaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Mafhum ayat suci di atas memaparkan ramuan yang dijadikan Allah di atas permukaan bumi-Nya ini adalah ramuan yang sangat indah dengan berbagai-bagai bangsa, bahasa dan agama yang dengannya umat manusia boleh bertukar-tukar buah fikiran, pendapat, pengalaman dan mewujudkan perpaduan yang jitu dengan keadilan Ilahi melalui perhiasan moral dan akhlak yang terpuji. Ini kerana banyak negara di dunia ini yang hanya terdiri daripada satu bangsa sahaja, tetapi mereka tidak boleh bersatu dengan baik dan tidak dapat hidup dengan aman, sedangkan mafhum firman Allah di atas menegaskan bahawa manusia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa boleh bersatu dan hidup dalam sebuah negara dengan aman harmoni. Fakta ini menyerlahkan lagi tanda-tanda kekuasaan Allah dan kebijaksanaan-Nya untuk hamba-hamba-Nya berfikir dan seterusnya mengakui keesaan Allah dan kebesaran-Nya ke atas alam semesta ini.

Di samping itu, pengibaran Jalur Gemilang ketika memperingati kemerdekaan melengkapkan penghayatan setiap manusia terhadap erti dan hakikat kemerdekaan yang sebenarnya dalam hidup. Bendera sendiri adalah satu lambang yang cukup simbolik bagi setiap warga Malaysia moga setiap warga Malaysia dapat menggemilangkan diri dengan sifat-sifat kemanusiaan yang mulia, yang dimuliakan oleh Allah dengan moral dan akhlak yang terpuji kerana aset manusia yang termahal di sisi Allah ialah akhlak yang terpuji.

Bendera mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam lipatan sejarah Islam apabila Rom sebagai sebuah kuasa besar dunia ketika itu mengumpulkan bala tenteranya untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Madinah. Dalam kerancakan peperangan, akhirnya seorang panglima tentera Islam iaitu Jaafar bin Abi Talib yang memegang bendera tentera Islam hingga tangan kanannya dipotong lalu beliau memegang dengan tangan kiri pula. Apabila tangan kirinya dipotong, beliau memegang dengan tunggul tangannya sehingga kepalanya dipancung dan mereka yang berikutnya pula datang mengibarkan bendera tentera Islam.

Begitu nilai bendera dalam kalangan sahabat yang berasa bangga dengan Islamnya di samping penampilan akhlak terpuji mempertahankan Islam daripada sebarang pencerobohan luar. Sekurang-kurangnya bendera yang dikibarkan itu mencetuskan semangat dan daya juang tentera Islam untuk terus berjuang menegakkan hingga titisan darah yang terakhir.

Itu makna bendera yang sepatutnya dijelmakan dalam setiap peribadi setiap Muslim secara khususnya dan umat manusia secara umumnya untuk terus berusaha dan berjuang memartabatkan kembali ketuanan Islam dan umat Islam sebagai umat terbaik dalam semua lapangan hidup.

Hakikat kemerdekaan bukan sekadar suatu bentuk kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan sama ada bangsa, fikiran, kebudayaan dan sebagainya sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang.

Kemerdekaan yang sebenarnya menurut perspektif Islam ialah kebebasan manusia untuk dapat menikmati kehidupan seuai dengan fitrahnya yang merupakan sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah. Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beibadat kepada-Ku." (Surah al-Dzariyat, ayat 56)

Manusia yang merdeka ialah manusia yang hidup dalam keadaan fitrahnya, hidup dalam ketentuan dan pedoman penciptanya. Manusia yang hidup sesuai dengan hak asasinya sebagai manusia yang berakal waras dan bebas melaksanakan keyakinan sesuai dengan fitrahnya di bawah landasan perintah dan larangan Allah. Malah hidup merdeka adalah hak asasi setiap manusia yang menghuni alam semesta ini.

Dewasa ini, kebanyakan orang Islam tersalah tafsir dalam memahami hak asasi manusia. Hak asasi difahami sebagai hidup menurut kehendak hati dan nafsu tanpa mengambil kira tindakan yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Dari sini, mereka memahami erti merdeka sebagai bebas berfikir, berkehendak dan berbuat tanpa dibatasi sebarang peraturan, nilai atau undang-undang termasuk hukum syarak. Malah agama dianggapnya sebagai candu kehidupan yang seharusnya disingkirkan terus daripada pentas kehidupan yang global ini.

Tanpa disedari, pengertian salah dan sempit terbabit yang menguasai pemikiran sebahagian umat Islam pada hakikatnya adalah salah satu bentuk penjajahan moden yang dicanangkan oleh barat sehingga umat Islam jauh daripada fitrah semula jadi mereka dan jauh daripada pedoman Ilahi yang ditetapkan oleh Allah. Akibatnya, muncul generasi acuan barat yang berperibadian materialisme, mengutamakan telunjuk hawa nafsu, mengagungkan budaya dan gaya hidup barat dan sebagainya.

Amat malang apabila umat Islam menguar-uarkan kemerdekaan negara mereka sedangkan seluruh aspek kehidupan mereka seperti pemikiran, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya masih didominasi oleh idea barat.

Malah kehidupan umat Islam kini jauh terpesong daripada kehidupan hakiki yang ditetapkan oleh Allah. Sehubungan itu, umat Islam sewajibnya menyedari hakikat yang memedihkan ini dan seterusnya berusaha untuk menyelamatkan diri daripada kemelut yang meruncing itu.

Satu-satunya jalan keluar bagi umat Islam ialah kembali kepada pimpinan al-Quran dan sunnah kehidupan Rasulullah yang merupakan tonggak utama yang menjadi tunjang kepada kemerdekaan sebenar dan kebangkitan semula Islam.

Demikian erti kemerdekaan menurut ajaran Islam yang bermaksud setiap Muslim bebas untuk berfikir, berkehendak dan bertindak dengan berpaksikan kemerdekaan yang akan bertemu pada suatu titik nilai Ilahiah yang wajib ditaati dan seterusnya dijulang sebagai pedoman atau perlembagaan utama yang mendasari setiap ruang lingkup kehidupan umat.

Itu kemerdekaan hakiki yang akan melonjakkan umat Islam ke era kegemilangan dan kesejahteraan hidup di bawah naungan keredaan Allah.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 7:00 AM