ALLAH memberi pujian kepada orang yang dapat menahan maaf dan memberi kemaafan kepada manusia lain.
ALLAH memberi pujian kepada orang yang dapat menahan maaf dan memberi kemaafan kepada manusia lain.
Mohd Rizal Azman Rifin

 

Ikhlas saya katakan bahawa kerana dunia manusia selalu bersengketa. Kehidupan manusia pada hari ini memberikan kita gambaran jelas bagaimana kedudukan dunia di hati manusia sehingga sanggup berbuat apa sahaja, asalkan hajat dan impian keduniaan tercapai.

Lalu tidak kurang perselisihan dan permusuhan sesama Muslim dan sesama manusia lain berlaku. Tiada lagi rasa bahawa perbuatan salah laku akhlak buruk sebagai satu fobia yang perlu dihindari, sebaliknya perhitungan dosa dan pahala sudah tidak termasuk dalam 'rak peribadi' yang perlu dipelihara sepanjang hidup.

Yang berselisih faham atas isu apapun, terus-menerus membiarkan hati bersarang dengan dendam kesumat. Yang tersinggung hati dan perasaan terus membiarkan hati kecewa dan marah berada dalam diri. Hanya menunggu detik dan masa untuk membalas kembali dendam dan marah lama. Maka, bersambungan api permusuhan dan persengketaan sesama sendiri.

Salah satu nilai yang sangat ditekankan oleh Islam ialah sikap memaafkan orang lain. Di dalam al-Quran banyak kali Allah menyentuh soal memaafkan dan ini menggambarkan maaf suatu sikap terpuji yang dicintai Allah. Orang yang bersikap suka memaafkan kesalahan orang lain membuktikan keluhuran hati budinya yang suci.

Sesungguhnya Allah memberi pujian kepada orang-orang yang dapat menahan maaf dan memberi kemaafan kepada manusia lain dan Allah mengatakan yang Dia sangat mencintai golongan ini kerana peribadinya yang baik. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu menyatakan suatu kebaikan atau menyembunyikannya atau memaafkan suatu kesalahan orang lain, maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa." (Maksud Surah An-Nisa' ayat 149).

Allah masih memaafkan dan mengampunkan kesalahan hamba-hamba-Nya, masakan kita semua sebagai makhluk ciptaan-Nya bersikap berdendam dan ingin membalas segala perbuatan orang lain terhadap kita. Kita hendaklah berasa malu kepada Allah seandainya masih bersarang dendam kesumat terhadap manusia lain sedangkan Allah sentiasa membuka pintu keampunan. 

Kita renungi satu lagi peringatan Allah ini: "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Maksud Surah An-Nur ayat 22).

Berdasarkan maksud ayat-ayat Allah ini bermakna kita dapat mendekatkan diri kepada Allah melalui kaedah amalan memaafkan orang lain dan ini juga satu saranan ke arah mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah. Nabi SAW sendiri sering menunjukkan teladan kepada umatnya tentang sikap memaafkan ini. Ada yang beranggapan dengan memaafkan kesalahan orang lain menggambarkan lemah dan rendahnya seseorang itu, namun di sisi Allah tidak sedemikian. Ini kerana apabila kita memaafkan orang lain, Allah akan mengangkat darjat kemuliaan. Hal itu jelas melalui penyataan Nabi SAW yang katanya: "Tidak ada yang Allah tambahkan untuk hamba-Nya yang memaafkan kecuali tambahan kemuliaan." (Hadis riwayat Muslim)

Ibnu Abbas ada berkata: "Barangsiapa yang meninggalkan hak qisas dan melakukan kebaikan antara dirinya dengan orang yang menzaliminya dengan memberi maaf, maka pahalanya adalah atas (tanggungan) Allah." Ketahuilah bahawa bersikap memaafkan adalah sifat Allah manakala sikap marah dan berdendam pula sebahagian daripada sifat syaitan. Jadi, kita seharusnya banyak bersabar atas perbuatan buruk orang lain terhadap diri kita dengan menahan perasaan marah. Cubalah bawa bertenang dan jangan mengeruhkan keadaan sehingga timbulnya perbalahan. Allah menjelaskan antara ciri orang yang bertakwa ialah bersikap memaafkan orang lain. Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 133-134 Allah mengatakan: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya sama ada waktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan."

Jadi, sebagai seorang Mukmin yang beriman dan bertakwa, perasaan panas baran dan cepat bertindak balas kepada orang lain hendaklah dihindari. Ini tidak, sedikit sahaja perkara terus membawa pergaduhan dan konflik sesama sendiri. Orang yang cepat marah bermakna emosinya dikawal nafsu dan peluang bagi syaitan menembusi hati mereka. Dengan bersikap memaafkan orang lain juga bermakna kita telah menutup ruang bagi syaitan untuk menguasai diri dan inilah ubat paling ampuh membina jati diri seorang Mukmin yang hebat. Suasana lebih kondusif dan harmoni pasti terbina kukuh dengan mengamalkan sikap suka memaafkan dan hubungan silaturahim tetap utuh berpadu. Inilah yang dikehendaki Allah kepada setiap hamba-Nya agar jangan memutuskan hubungan sesama umat. 

Pembinaan negara dan masyarakat yang aman sejahtera dan kehidupan sentiasa dalam rahmat Allah menjadi visi kita semua. Oleh itu, salah satu elemen yang mesti wujud tertanam dalam diri setiap manusia yang cintakan perdamaian dan keamanan ialah sikap memaafkan orang lain. 

Kini, kita berada di bulan sambutan kemerdekaan yang seharusnya kita lupakan badai amarah dan dendam politik demi kembali sepakat menunjukkan kebanggaan kepada negara. 

Walau di sebelah mana sekalipun kita berada dalam dunia politik, marilah kita bersama untuk kekal hidup berharmoni dalam ikatan kasih sayang dan persaudaraan. Kita teruskan nilai akhlak murni yang menjadi tiang seri masyarakat kita sejak sekian lama. 

Marilah kita sama-sama menjalani kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan menegakkan prinsip amalan akhlak terpuji. Kayakan diri dengan sikap saling bermaafan kerana itu sahaja yang akan memadamkan persengketaan yang lama. 

Bersamalah kita membuka lembaran baru dengan mencorakkan sikap dan tindakan berlandaskan nilai-nilai yang diredai Allah. Semoga kita teguh mempertahan akhlak murni.


Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 7:01 AM