ADA pendapat menyatakan jasad Imam an-Nasaie dikebumikan di Baitul Maqdis.
ADA pendapat menyatakan jasad Imam an-Nasaie dikebumikan di Baitul Maqdis.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara pengarang al-Kutub as-Sittah yang luar biasa dan banyak mengembara serta menghafaz hadis ialah Imam an-Nasaie. Nama sebenarnya ialah Ahmad bin Syu'aib bin Ali bin Sinan bin Bahr al-Khurasani an-Nasaie.

Beliau dilahirkan di Nasa, Khurasan pada 215H. Beliau membesar dengan mendapat didikan agama daripada ulama di daerahnya. Semasa berumur 15 tahun, beliau mula mengembara mencari hadis ke pelbagai daerah seperti Khurasan, Hijaz, Iraq, Mesir, Syam dan al-Jazirah.

Antara gurunya ialah Qutaibah bin Said, Ishaq bin Rahuyah, Hisyam bin Ammar, Muhammad bin Nadhr bin Musawir, Suwaid bin Nasr, Ahmad bin 'Abdah ad-Dabbi, Abu at-Tahir bin as-Sarh, Ishaq bin Syahin, al-Harith bin Miskin, Ziyad bin Ayyub, Mahmud bin Ghaylan, Ishaq bin Musa al-Ansari, Abu Dawud dan at-Tirmizi.

Imam an-Nasaie mempunyai hafalan yang cukup mantap hingga mampu meriwayatkan banyak hadis. Beliau mengumpulkannya dan menapis secara teliti. Beliau termasuk ulama hadis yang agak ketat dalam mengenakan syarat terhadap perawi bagi menetapkan kriteria riwayat yang diterima atau ditolak. Saad bin Ali az-Zanjani berkomentar, ada persyaratan yang dibuat oleh an-Nasaie lebih ketat berbanding persyaratan al-Bukhari dan Muslim.

Abu Ali an-Naisaburi berkata: "Beliau tergolong daripada kalangan imam kaum Muslimin." Katanya lagi: "Beliau adalah imam dalam bidang hadis tanpa ada lagi pertikaian."

Ad-Daraqutni berkata: "An-Nasaie lebih diutamakan ke atas semua nama yang disebutkan dalam disiplin ilmu ini daripada kalangan mereka yang hidup pada zamannya." Beliau berkata lagi: "An-Nasaie adalah syeikh Mesir yang paling faqih pada zamannya, paling mengetahui tentang hadis sahih dan daif serta paling arif mengenai perawi."

Antara karya beliau ialah as-Sunan al-Kubra, as-Sunan al-Sughra, Khasa'is Ali RA, Musnad Ali RA, Fadha'il al-Quran, al-Manasik, Kitab at-Tafsir, ad-Dhu'afa' wal Matrukin, 'Amal al-Yaum wal-Lailah, Kitab al-Jumu'ah, al-Kuna dan Tasmiyat Fuqaha' al-Amsar min as-Sahabah.

Antara perkara yang masyhur diketahui, kitab as-Sunan as-Sughra adalah ringkasan daripada as-Sunan al-Kubra. Namun, ada yang mengatakan ia karya berasingan kerana terdapat hadis tambahan yang tidak ada di dalam as-Sunan al-Kubra. Bagaimanapun, pandangan ini boleh disatukan dengan menyatakan ia adalah ringkasan daripada as-Sunan al-Kubra berserta penambahan lain. Sebab itu as-Sunan as-Sughra juga dinamakan sebagai al-Mujtaba' yang bermaksud 'yang dipilih'. Kitab inilah yang dikenali sebagai Sunan an-Nasaie dalam kalangan ulama mutaakhirin. Bagaimanapun, Sunan an-Nasaie di sisi ulama mutaqaddimin adalah merujuk kepada as-Sunan al-Kubra beliau.

Sebenarnya kisah yang menyatakan beliau diminta oleh Gabenor Ramlah supaya memilih dan mengumpulkan hadis sahih sahaja daripada as-Sunan al-Kubra belum dapat dipastikan kesahihannya. Buktinya, masih terdapat hadis daif di dalam as-Sunan as-Sughra, walaupun bilangannya sedikit.

Beliau membahagikan kitab Sunannya kepada 52 kitab kecil berdasarkan topik fiqah dan setiap kitab kecil dipecahkan pula kepada bab. Keseluruhannya mengandungi sebanyak 5,761 hadis.

Antara murid beliau ialah at-Tabarani, al-Tahawi, Ahmad bin Muhammad bin Ismail an-Nahhas, al-Hasan bin al-Khidr al-Asyuti, Muhammad bin Musa al-Ma'muni, Muhammad bin Ahmad bin al-Haddad, al-Hasan bin Rasyiq, Abu Bisyr ad-Dulabi, Abu 'Ali an-Naisaburi, Hamzah bin Muhammad al-Kinani dan Abu Bakr Ibn as-Sunni, periwayat kitab Sunannya.

Beliau seorang yang alim, zuhud dan kuat beribadat kepada Allah SWT. Beliau menetap di Mesir sehingga 302H, dan tiga setengah bulan sebelum wafat, an-Nasaie berpindah ke Dimasyq.

Imam an-Nasaie seorang yang cintakan Ahli Bait Nabi SAW. Apabila melihat fahaman Nawasib yang fanatik kepada Muawiyah RA dan benci kepada Ali bin Abi Talib RA di Dimasyq masih kuat, beliau menulis kitab Khasa'is Ali RA bagi menyedarkan mereka mengenai kelebihan Saidina Ali RA. Berpunca daripada situ, golongan Nawasib akhirnya menyerbu dan memukulnya semasa di masjid. Beliau yang sudah lanjut usia mengalami kecederaan teruk hingga menyebabkannya meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Terdapat perselisihan pendapat mengenai tempat pengebumiannya. Menurut muridnya, Abu Said Ibn Yunus, beliau meninggal dunia di Ramlah, Palestin pada Isnin 13 Safar 303H dan dikebumikan di Baitul Maqdis. Pendapat ini turut didokong oleh Ibn an-Nuqtah dan az-Zahabi.

Sementara ad-Daraqutni menyatakan, an-Nasaie ingin ke Makkah untuk menunaikan haji, namun semasa di Dimasyq beliau mendapat ujian berat. Beliau berpesan untuk segera dibawa ke Makkah. Sesampainya di sana beliau meninggal dunia lalu dikuburkan di antara Safa dan Marwah.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:01 AM