PEMANDANGAN bandar raya Gaza, Palestin. Imam Syafie dilahirkan di Gaza pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi.
PEMANDANGAN bandar raya Gaza, Palestin. Imam Syafie dilahirkan di Gaza pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi.
Dr Mohd Khafidz

IMAM as-Syafie atau nama sebenarnya Muhammad bin Idris as-Syafie (wafat 204H) adalah seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam.

Imam as-Syafie terkenal dengan gelaran Nasir as-Sunnah (Penolong Sunah) kerana pegangannya yang teguh terhadap hadis. Dr Rif'at Fauzi Abd al-Muttalib berusaha menghimpunkan semua hadis riwayat Imam as-Syafie daripada pelbagai sumber termasuk kitab al-Umm. Beliau mendapati jumlah hadis dan athar yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafie berjumlah 4,663.

Sumbangan Imam as-Syafie dalam bidang hadis dapat dirujuk kepada beberapa kitab terutama kitab al-Risalah, Ikhtilaf al-Hadith, Musnad as-Syafie dan Sunan as-Syafie.

Kitab al-Risalah susunannya diiktiraf oleh ulama sebagai kitab pertama yang dihasilkan mengenai ilmu usul al-fiqh dan juga sebagai kitab pertama mengandungi perbahasan ilmu ulum al-hadith.

Kitab beliau, Ikhtilaf al-Hadith pula adalah kitab pertama yang dikarang mengenai ilmu mukhtalif al-hadith. Kitab ini membincangkan hadis yang secara zahir bercanggah antara satu sama lain namun dapat dirungkaikan melalui kaedah jam, kaedah tarjih atau kaedah naskh.

Dua kitab hadis yang dinisbahkan kepada beliau pula ialah Musnad as-Syafie dan Sunan as-Syafie. Meskipun ada sebahagian orang yang keliru dengan menganggap kitab Musnad dan Sunan adalah kitab yang sama.

Bagaimanapun, kitab Musnad yang dinisbahkan kepada beliau sebenarnya adalah himpunan hadis yang dikumpulkan dan disusun daripada karya beliau oleh ulama yang datang kemudian iaitu Abu al-Abbas Muhammad bin Ya'qub al-Asom (wafat 346H).

Kitab Sunan as-Syafie adalah kitab karangan beliau sendiri. Fakta ini berdasarkan kajian dan penelitian yang dikemukakan oleh Dr Khalil Ibrahim Mulla Khatir. Pihak yang mendakwa kitab Sunan as-Syafie sebenarnya adalah susunan Imam Abu Ja'far al-Tahawi (wafat 321H) dapat ditolak kerana bertentangan dengan banyak bukti ilmiah.

Antaranya, pada awal semua manuskrip jelas menyebut Imam at-Tahawi mendengar kitab Sunan as-Syafie daripada bapa saudaranya, Imam al-Muzani yang juga murid Imam as-Syafie. Dicatatkan juga at-Tahawi mendengarnya daripada Imam al-Muzani pada 252H dan tentunya pada masa itu beliau masih remaja dalam usia sekitar 13-14 tahun. Ini membuktikan at-Tahawi hanya sebagai perawi bukan pengarang kitab dalam usia semuda itu. Malah, banyak tempat di dalam kitab as-Sunan yang mengisyaratkan demikian.

Pak ciknya, Imam al-Muzani juga sebagai perawi kitab sahaja dan dalam sesetengah manuskrip disebutkan beliau mendengarnya daripada Imam as-Syafie secara imlak (penyampaian lisan). Ibn Yunus menegaskan di dalam kitab Tarikh Misr bahawa at-Tahawi mendengar kitab as-Sunan daripada pak ciknya, al-Muzani yang meriwayatkannya daripada Imam as-Syafie.

Terdapat banyak fakta yang menunjukkan periwayatan kitab as-Sunan ini oleh murid Imam as-Syafie seperti Qahzam bin Abdullah al-Aswani, Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Hakam, Harmalah bin Yahya at-Tajibi, Abu Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzani, al-Hasan bin Muhammad bin as-Sabbah az-Za'farani dan ar-Rabi' bin Sulaiman.

Kitab as-Sunan sebagai karya Imam as-Syafie turut disebut oleh ramai ulama seperti Imam al-Baihaqi dalam kitab Manaqib as-Syafie, al-Hafiz Ibn Kathir dalam Tabaqat as-Syafieyyah, al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab al-Mu'jam al-Mufahras, al-Hafiz as-Suyuti dalam Husn al-Muhadharah dan Syeikh Muhammad bin Ja'far al-Kattani dalam ar-Risalah al-Mustatrafah.

Menurut Dr Khalil Ibrahim Mulla Khatir, kitab Sunan as-Syafie yang sampai kepada kita pada hari ini adalah satu daripada enam kitab hadis yang disusun oleh Imam as-Syafie dengan judul as-Sunan. Bilangan hadis kitab as-Sunan ini pula hanya 666 hadis. Sebahagian sanadnya agak tinggi dan kebanyakan hadisnya pula adalah sahih.

Menurut Dr Khalil, tidak ada di dalam kitab as-Sunan ini satu hadis pun yang tidak diamalkan atau daif yang tidak ada baginya sebarang penyokong. Bahkan, semuanya adalah sahih kecuali yang diterangkan daifnya oleh Imam as-Syafie.

Usaha menggabungkan kitab Musnad as-Syafie dan Sunan as-Syafie dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin Abd al-Rahman al-Banna as-Sa'ati dan diberi judul Bada'i' al-Minan. Beliau turut mensyarahkannya secara ringkas dengan judul al-Qawl al-Hasan.

Jika sebelum ini ramai pengkaji hanya menyebut Imam Malik (wafat 179H) dan Imam Ahmad (wafat 241H) sahaja daripada kalangan imam mazhab fiqah yang empat menyusun kitab hadis. Iaitu Imam Malik menyusun kitab al-Muwatta' dan Imam Ahmad menyusun kitab al-Musnad. Dengan pencerahan ini, sewajarnya ditambah bahawa Imam as-Syafie juga turut menyusun kitab hadisnya sendiri iaitu kitab as-Sunan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:30 AM