HADIS mengenai qunut pada solat Subuh antara perkara menimbulkan perdebatan. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
HADIS mengenai qunut pada solat Subuh antara perkara menimbulkan perdebatan. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam siri lalu dijelaskan bahawa untuk mendakwa dan menisbahkan sesuatu hukum kepada mazhab Syafie setelah menemui hadis yang dilihat sahih bukanlah perkara mudah melainkan bagi orang yang mencapai darjat ijtihad atau hampir dengannya.

Namun, ia bukan sesuatu yang mustahil. Kata Imam Ibn as-Solah: "Sesiapa dari kalangan ulama Syafie yang menemui hadis yang menyalahi mazhabnya, hendaklah dia lihat dulu, sekiranya lengkap alat ijtihad padanya secara mutlak ataupun hanya di dalam bab atau masalah berkenaan, barulah boleh baginya untuk beramal dengannya secara sendirian. Sekiranya tiada alat berkenaan dan terasa berat baginya untuk menyalahi hadis itu, malah selepas membuat kajian, dia tidak menemui jawapan yang memuaskan mengenainya jika menyalahinya, maka bolehlah baginya untuk beramal dengannya. Dengan syarat ia turut diamalkan oleh seorang imam mujtahid lain selain Imam as-Syafie. Ini dikira satu keuzuran baginya untuk meninggalkan mazhab imamnya dalam hal berkenaan."

Antara pendapat muktabar ulama Syafie berdasarkan kaedah Imam as-Syafie: 'Jika hadis itu sahih maka ia adalah mazhabku' ialah dalam masalah tathwib iaitu ucapan 'as-solatu khairun min an-naum' (solat itu lebih baik daripada tidur) semasa azan Subuh dan masalah mensyaratkan boleh tahallul daripada ihram dengan sebab uzur sakit.

Antara ulama Syafie yang dikatakan berfatwa dengan hadis ialah Abu Ya'qub al-Buwayti dan Abu al-Qasim ad-Daraki. Antara yang menetapkan kaedah ini di dalam kitab usul fiqah pula ialah Abu al-Hasan Ilkiya at-Tabari. Antara ulama Syafie muhaddithin yang mengamalkannya juga ialah termasuk Imam al-Baihaqi.

Menurut al-Nawawi, terdapat sekumpulan ulama Syafie dahulu apabila melihat suatu masalah yang ada hadis, manakala mazhab Imam as-Syafie pula menyalahinya, mereka terus beramal dengan hadis itu dan memfatwakan: "Mazhab Imam as-Syafie adalah yang menepati hadis ini."

Bagaimanapun, tiada pendapat yang tepat menyebelahi mereka kecuali secara nadir. Ada juga masalah yang dinukilkan mengenainya daripada pandangan Imam as-Syafie namun hakikatnya ia turut menepati hadis.

Imam Taqiyyuddin as-Subki pernah meninggalkan bacaan qunut ketika solat Subuh setelah mendengar kisah Abu al-Hasan al-Karaji meninggalkannya. Ini kerana menurutnya sahih bahawa Nabi SAW meninggalkan qunut Subuh. Namun, selepas beberapa ketika Imam as-Subki kembali semula berqunut setelah memahami apa yang ditinggalkan oleh Nabi SAW ialah berqunut selama sebulan memohon laknat ke atas kaum Ri'l dan Zakwan yang dilakukan dalam semua solat dan tidak khusus dalam solat Subuh sahaja. Ertinya baginda SAW bukannya meninggalkan qunut Subuh secara mutlak.

Ulama Syafie sebenarnya berdalilkan kepada pelbagai hujah seperti hadis Nabi SAW berqunut Subuh sehinggalah baginda wafat yang diriwayatkan oleh Anas RA. Walaupun pada sanadnya terdapat perawi Isa ibn Mahan yang diperselisihkan kredibilitinya, namun dilihat sebagai kuat oleh ulama Syafie.

Meskipun terdapat pelbagai hadis dan athar yang berbeza mengenai masalah qunut ini hingga menimbulkan pelbagai pandangan dalam kalangan imam. Namun menurut Imam as-Subki, tidak ada sebarang kemusykilan sebenarnya pada pendapat Imam as-Syafie dalam hal itu, tetapi disebabkan oleh kekurangan kita di dalam membuat penelitian.

Oleh itu, pada masa kini adalah sukar untuk kita mendakwa wujud hadis sahih yang ditinggalkan oleh Imam as-Syafie atau ulama Syafie tanpa sebarang hujah. Imam as-Syafie menuangkan segala ilmunya di dalam karyanya seperti al-Umm. Kemudian mazhabnya dikhidmati oleh ramai muridnya seperti Abu Ya'qub al-Buwayti (wafat 231H), Harmalah al-Tujibi (wafat 244H), al-Rabi' bin Sulayman al-Jizi (wafat 256H), al-Hasan al-Za'farani (wafat 260H), Ismail al-Muzani (wafat 264H), Yunus bin Abd al-A'la (wafat 264H) dan al-Rabi' bin Sulayman al-Muradi (wafat 270H).

Kemudian dikhidmati pula oleh ulama yang datang sesudah mereka antaranya Imam al-Baihaqi dengan karyanya seperti as-Sunan al-Kubra dan Ma'rifat as-Sunan, Imam ar-Rafi'i, Imam an-Nawawi dengan karyanya seperti al-Majmu' hingga kepada Imam Taqiyyuddin as-Subki, al-Hafiz Ibn Hajar, Imam as-Suyuti, Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari, Imam Ibn Hajar al-Haytami, Imam ar-Ramli dan ramai lagi. Ringkasnya, mazhab Syafie dikhidmati oleh mereka semua dengan cukup baik.

Maka, sudah tentu mereka lebih memahami usul dan kaedah mazhab Imam as-Syafie. Adalah mustahil tokoh ulama Syafie yang disebutkan dan ratusan lagi yang lain tidak mengendahkan saranan imam mereka. Oleh itu, tidak pantas jika kita menjumpai sebuah hadis yang dilihat sahih, namun tidak diambil oleh mereka lalu terus diamalkan dan didakwa sebagai mazhab Syafie.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Malaysia (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 7:15 AM