Kesempatan waktu pada penghujung tahun ini menjadi medan untuk kita bermuhasabah diri.
Kesempatan waktu pada penghujung tahun ini menjadi medan untuk kita bermuhasabah diri.
Oleh Mohd Ajib Ismail

Tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya kurang 24 jam lagi.

Kita semua memulakan tahun ini dengan pelbagai jangkaan dan perancangan.

Namun sebagai seorang Mukmin, kita beriman dengan segala ketentuan Allah SWT dan hikmah di sebalik ketetapan itu.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Begitulah lumrah kehidupan. Sering kali terjadi sesuatu yang dirancang tidak berlaku, sebaliknya yang terjadi adalah sesuatu yang tidak dijangkakan atau diharapkan.

Oleh itu, kesempatan waktu pada penghujung tahun ini menjadi medan untuk kita bermuhasabah diri.

Dalam konteks seorang pekerja, kita bukan sahaja perlu mengisi laporan prestasi tahunan untuk dibuat penilaian, tetapi lebih utama adalah melakukan penilaian terhadap prestasi amalan sebagai hamba Allah.

Kita juga sering diingatkan agar berusaha menjadi seorang Muslim yang hari ini lebih baik daripada semalam.

Jika kita ada melakukan kesilapan atau tersasar dalam perjalanan kehidupan, mohonlah istighfar dan pengampunan daripada Allah SWT.

Sesungguhnya setiap manusia cenderung melakukan kesilapan berulang kali dalam hidupnya akibat kealpaan.

Namun sebaik-baik manusia ialah yang sering bertaubat dan memohon keampunan di atas dosa dan keterlanjuran yang telah dilakukan.

Allah SWT menggambarkan berkenaan hal ini dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 23 yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami daripada orang yang rugi."

Allah SWT juga menyeru kepada golongan yang melampaui batas terhadap diri supaya tidak berputus asa dengan rahmat dan pengampunan-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 53 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Setiap insan berpeluang untuk memperbaiki dirinya sebagaimana seorang pekerja berpeluang memperbaiki prestasi kerjanya untuk tahun yang mendatang.

Justeru kita disarankan supaya sentiasa berdoa agar diberikan petunjuk daripada Allah SWT di dalam menjalani ujian kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

Doa berkenaan penting kerana hidayah boleh datang dalam pelbagai bentuk dan asbab.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Bulatkanlah azam dan tekad kita dalam mendepani tahun baharu yang bakal tiba.

Niat yang betul akan memandu perjalanan kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.

Di dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Sempena ketibaan tahun baharu ini, hindarilah diri dan ahli keluarga daripada melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat.

Jauhi pergaulan bebas, pesta hiburan, minum arak dan budaya berhibur yang melampau.

Bagi umat Islam di Wilayah Persekutuan, elakkan diri daripada terjebak dengan kesalahan syariah seperti yang termaktub di dalam Akta 559, iaitu Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Di antaranya ialah Seksyen 29 berkenaan perbuatan tidak sopan di tempat awam yang menyebut 'Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.'

Begitu juga Seksyen 19 mengenai minuman yang memabukkan yang menyebut (1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Seksyen 27 mengenai khalwat juga menyebut 'Mana-mana (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.'

Begitu juga Seksyen 24 mengenai perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah yang menyebut 'Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.'

Oleh itu, awasilah diri kita dan ahli keluarga daripada melakukan perbuatan yang dilarang syariat terutama dalam keghairahan menyambut ketibaan ambang tahun baharu.

Lakukanlah aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga, menziarahi ibu bapa, serta perbanyakkan bermunajat dan berdoa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."

Marilah kita berdoa agar diberi kekuatan menjauhi perbuatan maksiat sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW 'Wahai Tuhanku kasihanilah diriku dengan meninggalkan maksiat selama mana Engkau kurniakan kehidupan kepadaku (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 8:59 AM