SESUNGGUHNYA sifat malu merupakan benteng diri daripada terjebak dengan perbuatan keji dan mungkar.
SESUNGGUHNYA sifat malu merupakan benteng diri daripada terjebak dengan perbuatan keji dan mungkar.
Mohd Shahrizal Nasir

MANUSIA tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dalam kehidupan. Ada kalanya manusia tergelincir melakukan kesalahan sehingga mendapat dosa kerana tewas dengan godaan syaitan. Ada kalanya pula, syaitan tidak boleh dipersalahkan kerana manusia juga boleh terjebak melakukan perbuatan dosa disebabkan nafsu jahat dalam diri.

Allah SWT merakam kenyataan tentang nafsu dalam al-Quran yang bermaksud: …Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Yusuf, ayat 53)

Keadaan manusia yang terjebak dalam dosa dan kesalahan menunjukkan kelemahan diri yang gagal mematuhi perintah Tuhannya. Itulah sifat hamba yang sepatutnya mendambarkan keampunan daripada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dialah Tuhan yang memiliki segala kesempurnaan termasuk dalam memberi pengampunan kepada sesiapa juga hamba yang kembali bertaubat kepada-Nya.

Daripada Anas bin Malik berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman (maksudnya): "Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Aku ampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Keluasan rahmat Allah SWT dalam mengampuni sesiapa sahaja hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun. Justeru, setiap umat Islam perlu sedar bahawa jika diri terjebak dalam dosa maka menjadi satu kewajipan ke atasnya untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam banyak firman-Nya bahawa tidak ada seorang pun yang dinafikan hak untuk mendapat keampunan melainkan mereka yang terlibat dengan dosa syirik atau menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 48)

Berkait dengan hal dosa, ada satu perkara yang perlu diperhalusi agar diri tidak terjebak melakukannya. Dalam keadaan diri telah melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, ada lagi kesalahan yang boleh terjadi disebabkan dosa tersebut. Perbuatan inilah yang dikenali sebagai 'mujaharah'.

'Mujaharah' bermaksud perbuatan melakukan dosa secara terang-terangan sehingga menyebabkan orang lain mengetahui bahawa diri seseorang telah melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT. Mujaharah juga merujuk kepada perbuatan seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi, namun kemudian menghebahkan perlakuan dosanya kepada khalayak umum.

Orang yang melakukan perbuatan mujaharah dikenali sebagai 'mujahir' atau dalam bentuk kata jamak disebut 'mujahirun' ataupun 'mujahirin'. Golongan ini termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai oleh Allah SWT. Perbuatan mereka menghebahkan dosa yang dilakukan membuktikan tidak ada lagi sifat malu dalam diri.

ongan mujahirin ini juga seolah-olah tidak takut dengan azab yang disediakan oleh Allah SWT bagi mereka yang melanggar ketetapan Allah SWT. Neraka yang disediakan untuk golongan yang ingkar terhadap ketetapan Allah SWT seakan-akan tidak lagi menjadi tempat yang digeruni kerana golongan 'mujahirin' rela perbuatan mereka diketahui oleh orang ramai. 

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan 'al-mujahirin'. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: "Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini". Padahal sungguh di malam harinya, Tuhan telah menutup dosa yang dia lakukan, namun dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutup tentang dosa dirinya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Perbuatan mujaharah juga dilihat sebagai usaha mempromosi kemungkaran agar orang lain turut terjebak melakukannya. Perkara ini perlu dibanteras kerana perbuatan buruk mesti disekat agar tidak berlaku penularan kepada orang lain yang menyaksikannya atau mendengar cerita tentang kemungkaran tersebut. Golongan 'mujahirin' juga dilihat tidak hairan dengan peluang keampunan yang diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh makhluk-Nya. Mereka sanggup mempromosikan kesalahan dan dosa yang dilakukan tanpa memikirkan kesan buruk yang boleh terjadi terhadap maruahnya pada masa akan datang.

Dalam kepesatan dunia teknologi maklumat hari ini, terlalu mudah untuk seseorang mendedahkan dosa yang dilakukannya kepada khalayak umum. Ada yang menyebarkan berita kemungkaran yang dilakukan dalam media sosial sendiri untuk mendapat perhatian ramai. Ada juga yang berasa bangga jika berita tentang kemungkaran yang dilakukan ditularkan sehingga menjadi isu yang dibincangkan secara hangat oleh para netizen.

Tidak kurang juga yang dilihat seolah-olah ingin mencabar pihak berkuasa agama dengan mendedahkan perlakuan tidak baik untuk dijadikan tontonan orang awam. Hak untuk mendapat kebebasan dijadikan modal untuk mewajarkan perbuatan mungkar sehingga timbul ungkapan seperti "Ini dosa saya, saya yang tanggung," "jangan masuk campur urusan peribadi saya," "kamu jaga hal sendiri, jangan jaga tepi kain orang lain," "kalau tak suka, janganlah lihat" dan seumpamanya.

Sesungguhnya sifat malu merupakan benteng diri daripada terjebak dengan perbuatan keji dan mungkar. Sebab itu malu mempunyai perkaitan rapat dengan iman. Orang yang beriman akan memiliki sifat malu yang dapat menyelamatkan diri dan iman mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu suka." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Setiap orang Islam perlu menyedari bahawa setiap kesalahan yang dilakukan mewajibkan diri agar segera memohon keampunan daripada Allah SWT. Dialah Tuhan yang tidak akan sesekali mensia-siakan perbuatan hamba-Nya yang ingin kembali bertaubat dan menjadi orang yang diampuni dosanya. Jangan terlibat dengan perbuatan 'mujaharah' kerana ia menjadikan diri semakin jauh daripada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "…Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat…" (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 11:00 PM