GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Datuk Mohd Ajib Ismail

ANTARA sifat rahmah Islam adalah sentiasa memberikan peluang kedua bagi golongan yang berhasrat memperbaiki diri selaras dengan tuntutan syariat. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Zumar ayat 53 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Bagi seorang Muslim, Islam bukan hanya difahami sebagai agama yang membawa keselamatan dan kesejahteraan, tetapi juga bermaksud penyerahan diri dan kepatuhan sepenuhnya kepada perintah dan larangan Allah SWT. Kedatangan Islam membebaskan manusia dari kegelapan jahiliyah serta kezaliman kekufuran dan syirik. Segala cara hidup yang bercanggah dengan syariat Islam dibersihkan dan dimurnikan.

Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud: "Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)."

 Justeru, bagi golongan yang terjebak melakukan maksiat dan khilaf di dalam mentaati syariat, mereka harus disantuni dan dibimbing secara berterusan kerana setiap manusia berhak dibimbing ke arah jalan kehidupan yang lebih baik.

Langkah paling utama bagi seseorang yang berhasrat memperbaiki kehidupannya adalah melalui amalan taubat. Taubat hendaklah dilakukan dengan niat untuk meninggalkan perbuatan yang menyalahi syariat serta melaksanakan perubahan kerana Allah SWT bukan kerana paksaan sesiapa.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha' mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Taubat hendaklah disusuli dengan amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT serta menjauhi sebarang tindakan yang boleh mendorong kepada perbuatan lama. Mereka yang berhasrat melakukan perubahan perlu mencari persekitaran yang baik sama ada rakan, aktiviti serta program yang boleh membantu mengekalkan perubahan agar tidak kembali terjebak.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud: "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut) atau kamu membeli daripadanya atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu  mendapatkan bau yang busuk." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesalahan dan kesilapan yang dilakukan di dalam hidup mungkin disebabkan pelbagai faktor seperti kejahilan, kedegilan dan keangkuhan, terkhilaf atau kealpaan. Hakikatnya, keadaan tersebut sebahagian ujian dalam kehidupan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 1-3 yang bermaksud: "Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta."

Ketika menjadi panel program bual bicara berkonsepkan keprihatinan terhadap kelompok masyarakat yang tersasar, terbitan salah sebuah stesen televisyen minggu lalu, agensi agama seperti Jawi sentiasa menyatakan komitmen untuk memberikan bantuan dan bimbingan kepada golongan yang tersasar seperti bekas penagih dadah, pelacur dan lain-lain untuk kembali ke pangkal jalan.

Tanggungjawab yang dilaksanakan ini selaras dengan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri."  (Riwayat al-Bukhari)

Pelbagai program dijalankan sama ada oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan meliputi kelas bimbingan agama dan fardu ain, latihan kemahiran, khidmat kesihatan dan bantuan kewangan bagi golongan tersebut mengharungi ujian kehidupan. Sebahagian Majlis Agama Islam negeri menyenaraikan golongan ini dalam kalangan asnaf zakat di bawah kategori al-Riqab sebagai sokongan untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Semua pihak harus menawarkan penyantunan dan bimbingan yang berterusan agar golongan ini kembali menjalani kehidupan sosial yang sejahtera serta bertepatan dengan fitrah dan syariat.

Setiap manusia berpotensi menjadi lebih baik serta menerima hidayah daripada Allah sebagaimana maksud ayat al-Quran surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)."

Oleh itu masyarakat terutama ahli keluarga seperti ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara serta rakan dan jiran tetangga perlu berterusan membimbing, memberikan nasihat dan mendoakan kebaikan. Jauhi sifat menghukum, melabel, memfitnah, melempar tuduhan dan kata-kata sinis.

Perubahan yang dilakukan benar-benar kerana Allah akan dipermudahkan jalannya sepertimana maksud hadis: "Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya." (Riwayat al-Bukhari)

Marilah kita berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan dalam mengharungi ujian kehidupan sebagaimana surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.  Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya  (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 5:59 AM