DUNIA yang tercela merujuk kepada ketertambatan hati manusia secara mendalam terhadap aspek keduniaan sehingga ke tahap sanggup menceroboh hak Allah.
DUNIA yang tercela merujuk kepada ketertambatan hati manusia secara mendalam terhadap aspek keduniaan sehingga ke tahap sanggup menceroboh hak Allah.
Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

PERIHAL dunia dan segala apa yang ada di dalamnya serta bagaimana ia seharusnya didekati daripada perspektif tasawur Islam, ia adalah satu lagi perkara yang berkait langsung dengan gaya hidup zuhud. Gambaran tepat mengenai intisari dan selok-belok dunia dalam pandangan tasawur Islam ini perlu difahami dengan sebaik mungkin oleh umat Islam bagi memudahkan mereka menghayati gaya hidup zuhud yang sebagai model hidup Islam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): "Dunia adalah sesuatu yang manis dan menyenangkan. Justeru sesiapa yang mengambilnya secara betul, Allah SWT memberkatinya dalam pengambilan tersebut.

Namun ramai golongan yang mengharungi dunia berasaskan perkara yang digemari oleh nafsu mereka, maka bagi golongan ini tidak ada lain selain neraka di hari kiamat nanti." (Hadis Riwayat al-Tabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa hakikat dunia tersebut terbahagi dua. Pertama, baik dan tidak tercela, malah diberkati dan keduanya, buruk dan tercela yang akan membawa golongan itu tercebur ke neraka. Kedua-duanya kelihatan berkait langsung dengan cara bagaimana dunia itu didekati dan diambil.

Justeru, pada sisi inilah sesungguhnya setiap manusia Muslim amat perlu memahami dengan jelas dan memberi perhatian serius berkaitan dengan hakikat dunia tersebut bagi menjayakan dengan tepat sikap hidup zuhud.

Kalangan ulama menjelaskan bahawa dunia yang diiktiraf sebagai tidak tercela, malah adalah suatu aset penting yang perlu diambil manfaat dan dipergunakan sebaik mungkin untuk tujuan kebaikan hidup akhirat adalah merujuk kepada dua perkara utama antaranya:

  • Tempoh waktu yang terdapat dalam kehidupan di dunia. Tempoh waktu yang silih bergantinya malam dan siang adalah nikmat utama kepada manusia kerana sesuatu amal perbuatan yang tidak sempat dilakukan waktu malam akan boleh dilakukan pada waktu siang.
  • Tempat dan ruang kehidupan yang terdapat di dunia. Seumpama bumi yang terbentang luas sebagai tempat kediaman manusia, bersama dengan segala yang tersedia padanya seperti bukit-bukau, lautan, sungai dan berbagai-bagai perkara lagi yang semuanya adalah nikmat Allah kepada hamba-Nya.

    Sesungguhnya unsur dunia sebeginilah di mana manusia sudah ditakdirkan hidup di dalamnya perlu digunakan secara bijaksana khususnya oleh manusia Muslim, untuk kepentingan hidup akhirat, sebagaimana dijelaskan oleh kalangan Salaf al-Salih, antaranya Sa'id Jubayr menjelaskan: "Istilah mata' al-ghurur (kesenangan yang memperdaya) ialah perkara yang melalaikan engkau daripada mencari habuan akhirat, sedangkan perkara yang tidak melalaikan engkau tidak termasuk dalam istilah mata' al-ghurur. Malahan ia adalah kesenangan yang boleh menyampaikan kepada perkara yang lebih baik."

    Yahya Mu'az al-Razi pula mengatakan: "Bagaimana aku tidak mencintai dunia yang telah ditakdirkan aku beroleh makanan di dalamnya, dunia yang padanya aku berusaha untuk hidup, dunia yang dengannya aku ada ruang untuk berlaku taat dan dengan dunia juga aku mencapai kesejahteraan akhirat."

    Dengan itu boleh difahami bahawa sekalipun dunia itu dilihat sebagai suatu kesenangan yang memperdaya, namun ia tetap suatu yang amat penting yang menyediakan peluang keemasan untuk manusia beroleh kesejahteraan hidup akhirat asalkan sahaja ia didekati secara yang betul dan diredai Allah.

    Adapun aspek dunia yang buruk dan tercela - lalu perlu ditinggalkan oleh manusia Muslim dalam kerangka kehidupan zuhud, hanyalah merujuk kepada perbuatan manusia yang dilakukan dalam kehidupan di dunia. Ini kerana biasanya ia berlaku dalam keadaan yang boleh membawa akibat dan kesudahan yang tercela dan mudarat.

    Di samping itu, dunia yang tercela tersebut juga merujuk kepada ketertambatan hati manusia secara mendalam terhadap aspek keduniaan, sehingga ke tahap sanggup menceroboh hak Allah dan hak kehidupan akhirat. Hal ini terhubung langsung dengan kemahuan atau iradah yang sudah tertanam secara mendalam dalam diri seseorang sebelum sesuatu perkara dilakukan. Justeru, dalam konteks ini, titik pemisah di antara kebinasaan atau kejayaan manusia dalam melayari hidup dunia adalah tertumpu kepada kemahuan atau iradah, iaitu sama ada kemahuan kepada dunia ataupun kemahuan kepada akhirat. Dan apabila seseorang itu mempunyai kemahuan terhadap perkara dunia, maka seluruh tenaga dan pemikirannya tertumpu sepenuhnya kepada aspek dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja tanpa mengambil kira halal dan haram.

    Sesungguhnya, dapatlah di simpulkan dunia itu sendiri dan segala apa yang ada di dalamnya tidaklah dengan sendirinya menjadikan ia tercela. Adapun yang tercela tersebut adalah sikap manusia dalam menggunakan segala apa yang ada di dunia tersebut.

    Justeru, manusia Muslim yang faham dengan tepat intisari kandungan al-Quran mestilah bertekad dan malahan berjihad sehabis kudrat bagi menegakkan gaya hidup yang direstui oleh agama yang mereka anuti iaitu gaya atau sikap hidup zuhud.

    Penulis adalah Profesor Emeritus Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:59 AM