KEINDAHAN dunia sememangnya memikat, tetapi akhirat jua kekal abadi. FOTO AFP
KEINDAHAN dunia sememangnya memikat, tetapi akhirat jua kekal abadi. FOTO AFP
Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

DALAM tulisan sebelum ini di ruangan ini tersimpul satu kesimpulan bahawa kehidupan yang lebih baik, lebih kekal dan mempunyai ciri kehidupan yang hakiki dalam ajaran Islam adalah merujuk kepada hidup akhirat bukannya hidup di dunia.

Sikap hidup mengutamakan akhirat daripada dunia ini diistilahkan dalam tradisi Islam sebagai sikap hidup zuhud. Hal ini disentuh secara sepintas lalu dalam tulisan sebelum ini. Oleh itu, dalam tulisan ini selok-belok dan ruang lingkup sikap hidup berkenaan akan diberikan sedikit pencerahan.

Berdasarkan pembacaan terhadap sejumlah literatur mengenai zuhud adalah jelas terdapat kefahaman yang keliru dalam memahami istilah ini. Sebagai contoh, ada orang yang berpendapat zuhud bererti tidak memiliki apa-apa.

Di samping terdapat yang menghubungkan istilah zuhud dengan persoalan sedikit makan, mengabaikan kepentingan jasad, berpakaian selekah dan kusut masai.

Jadi, dikatakan gaya hidup zuhud tidak sesuai sama sekali dengan ajaran Islam yang progresif dan berdaya maju.

Bagi mendapatkan kefahaman yang tepat mengenai ruang lingkup istilah zuhud ini, pandangan tokoh ulama tersohor boleh dijadikan pedoman. Pertama, al-Ghazali sebagaimana tercatat dalam kitab tersohor beliau iaitu Ihya' 'Ulum al-Din menjelaskan istilah zuhud pada dasarnya adalah merujuk kepada gambaran sikap seseorang memalingkan kegemarannya daripada 'satu perkara' kurang baik kepada 'satu perkara' lain yang lebih baik apabila perkara kurang baik itu ialah dunia, sedangkan perkara lebih baik pula ialah akhirat.

Dalam pandangan al-Ghazali sikap pemalingan ini diasaskan kepada keyakinan kehidupan akhirat adalah jauh lebih baik daripada kehidupan dunia sebagaimana sedia terungkap dalam penjelasan al-Qur'an dan al-Hadis.

Dalam lain perkataan, al-Ghazali mahu menegaskan bahawa zuhud adalah sikap hidup yang mengutamakan akhirat daripada dunia atas asas hidup akhirat jauh lebih baik berbanding dunia sebagaimana ditegaskan oleh sumber Islam yang autoritatif iaitu al-Qur'an dan al-Hadis.

Kemudian, Ibn Taymiyyah, sebagaimana dicatat oleh Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam Madarij al-Salikin menegaskan istilah zuhud merujuk kepada sikap hidup yang meninggalkan segala sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada kehidupan akhirat.

Pernyataan ini bermakna semua kerja di dunia yang dalam ajaran Islam boleh memberi pahala dan kebaikan untuk kehidupan akhirat mestilah tidak ditinggalkan oleh seseorang zahid (orang bersifat zuhud).

Ini bermaksud kerja di dunia ini seperti meneroka ilmu sedalam mungkin untuk diwariskan bagi manfaat sejagat, pencarian harta agar boleh diinfak sebagai amal jariah dan mendidik anak untuk melahirkan generasi ummah bertakwa antara lain adalah kerja yang mesti dilakukan oleh seseorang zahid kerana semua itu tuntutan ajaran Islam yang dapat memberi manfaat besar untuk hidup akhirat.

Sikap hidup seperti inilah yang kerap diungkapkan sebagai al-dunya mazra'at al-akhirah (dunia adalah ladang untuk kehidupan akhirat) iaitu dalam pengertian bahawa hidup di dunia satu-satunya peluang yang mesti dipergunakan sebaik mungkin oleh manusia asalkan segala itu sesuai dengan ajaran Islam bagi merealisasikan cita-cita besarnya untuk mendapat kebahagian abadi dalam kehidupan akhirat.

Seterusnya, al-Ghazali sekali lagi menjelaskan syarat membolehkan seseorang zahid melaksanakan kezuhudannya ialah apabila perkara yang dia hendak berzuhud (memalingkan kegemaran) itu mestilah berada di bawah penguasaannya iaitu dalam pengertian dia mesti memiliki perkara itu.

Oleh itu, apabila Ibn al-Mubarak (seorang zahid yang hidup pada akhir abad kedua Hijrah) diberi gelaran zahid, beliau enggan menerimanya kerana kata beliau zahid itu ialah orang seperti khalifah Umar Abdul Aziz yang datang kepadanya kebendaan dunia namun dia tidak mengendahkannya.

Hal ini sesuai dengan kefahaman ulama bahawa sifat zuhud ialah sesuatu yang terpacak kukuh di hati iaitu dalam pengertian bahawa hati tidak tertambat dengan sesuatu yang bersifat keduniaan, sekalipun perkara dunia berada dalam genggaman.

Demikianlah sesungguhnya keseluruhan inti sari sikap hidup zuhud yang perlu dijadikan model hidup dan mesti direalisasikan dalam kehidupan harian setiap umat Islam.

Ia satu sikap yang mengutamakan hidup akhirat tanpa mengabaikan kehidupan di dunia malah menggunakan hidup dunia seluruhnya untuk kepentingan hidup akhirat yang lebih baik dan lebih kekal.

Dalam proses merealisasikan sikap hidup ini seseorang semestinya mengambil peluang yang terbentang dalam kehidupan dunia seumpama meneroka ilmu, mencari harta dan pelbagai kegiatan keduniaan yang lain namun hati orang berkenaan tidak tertambat dengan penghasilan keduniaan itu, malah dipergunakan semuanya untuk mendapatkan tukaran kebahagian abadi dalam hidup akhirat.

Hal ini semuanya bermakna bahawa hidup dunia adalah satu pelaburan yang amat besar keuntungannya untuk akhirat kerana begitulah sesungguhnya ajaran Islam dalam kaitan dengan kehidupan.

 

Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 8:00 AM